Friday, January 14, 2005

 

ULASAN SAJAK HARI IBU

ULASAN 8 PUISI SEMPENA HARI IBU
TAJUK PUISI
BISIKAN HATI UNTUK IBU OLEH : ALAIEFFA
KITA SAMA BERDIRI MEMAYUNGI : SRI DIAH
SETELAH DIA BERNAMA IBU : DAHRIE
KERANA DIA BONDAKU :MSHUKRINASIAR
SEJUNJUNG KASIH BONDA : NILAMSARI
SELAMAT HARI IBU : JOKERFC3
BONDA : ARISEL BA
IBU SANJUNGAN JIWA : NAKHODA
WEB: PENYAIR
PENGULAS: ABDULLATIP

PRAKATA

11 Mei pada setiap tahun adalah “ Hari Ibu “ yang disambut oleh seluruh masyarakat dunia tanpa mengira bangsa atau agama dan pada tahun 2003 ini temanya ialah “ Ibu Sihat Keluarga Bahagia.”
Menurut sejarahnya hari ibu mula disambut di Amerika Syarikat dan diamalkan oleh pengaut agama Kristian sebagai memperingati perngorbanan seorang ibu. Namun pada hari ini masyarakat yang beragama Islam juga merayakannya kerana tidak ada ulamak yang mengatakannya haram kerana bertujuan untuk memberi penghormatan kepada seorang ibu.
Walaubagaimanapun, Islam menyarankan supaya anak-anak menghormati ibu sepanjang masa bukan pada 11 Mei sahaja dan alangkah malangnya nasib seorang ibu jika pada hari ibu pun anak-anak tidak mahu menghormati dan mengingatinya.
Pada hari ibu ini kunjungilah ibu anda dan hormatilah dia walau sekadar mencium tangannya atau lebih baik lagi jika anda tunjukkan kasih sayang dengan mencium pipinya sambil memohon kemaafan dan lebih baik lagi jika anda berikan dia hadiah sekadar yang termampu pasti mengembirakan hatinya.
Sempena Hari Ibu yang jatuh pada hari ini, Komuniti Penyair disajikan dengan 8 puisi yang bertemakan ibu dihasilkan oleh 8 penyair, 3 penyair wanita dan 5 penyair lelaki.

BISIKAN HATI UNTUK IBU - HAJAH SITI
Oleh: Alaieffa

Ampuni dosaku
Kerana kelahiran ku
Darah mu tumpah ke bumi

Ampuni dosaku
Kerana sakit, sedih ku
Airmata mu membasahi pipi

Ampuni dosaku
Kerana membesarkan ku
Resah gelisah selalu kau alami

Terima kaseh ku pada mu
Atas jasa mu membesarkan ku
Atas segala kasih sayang mu

Terima kaseh ku pada mu
Atas bimbingan dan ajaran mu
Aku dapat menjadi ibu seperti mu

Doakan dan restuilah diriku agar berjaya
Mejadi ibu seperti mu jua
Melahirkan anak bangsa yang berwibawa

Setinggi gunung seluas lautan
Bukan dapat jadi ukuran
Pengorbanan ibu tak ada batasan
Kasih sayangnya tetap berkekalan

Doaku untuk mu ibu
Agar ALLAH memberi restu
Atas segala jasa dan bakti mu
Pahala Syurga ganjaran untuk mu

Alaieffa, atau nama penuhnya Syarifah Mariani Malai Othman lahir di Negeri Brunei Darus Salam pada 6 ogos 1955. Walaupun baru di bidang penulisan namun telah menunjukkan minat dan kesungguhan. Selain puisi beliau juga menulis cerpen yang pernah disiarkan di kumuniti Cerpenis. Beliau juga berkebolehan menulis sajak jenaka (sajen) yang banyak disiarkan di ruangan komuniti sajen.
Ibu kepada tiga orang anak, 2 lelaki dan 1 perempuan, dan isteri kepada seorang pegawai tertinggi polis negara Brunei ini walaupun mula menghasilkan puisi di ketika usia lewat 48 tahun namun dengan kematangan fikiran disertai pula oleh pengalaman menjadikan karyanya menarik.
Alaieffa melalui sajaknya BISIKAN HATI UNTUK IBU memulakan kata-katanya seperti berikut:

Ampuni dosaku
kerana kelahiranku
darahmu tumpah ke bumi”.

Sempena hari ibu ini Penyair ingin mengingati pengorbanan seorang ibu yang menanggung kesakitan ketika melahirkannya. Di samping itu Penyair juga ingin memohon ampun dan maaf jika ada salah dan silap terhadap ibunya.

Ampuni dosaku
Kerana sakit, sedih ku
Airmata mu membasahi pipi

Seperti yang kita maklum, saat yang paling mencemaskan bagi seorang ibu ketika hendak melahirkan bayinya. Dan saat yang paling membahagiakan bagi seorang ibu pula apabila telah berjaya melahirkannya. Ketika itu hilang segala kesakitan yang dirasakannya. Allah swt dengan rahmatNya telah memberikan rasa kasih sayang di hati seorang ibu kepada anaknya sehingga si ibu walaupun tahu ketika bersalin ibarat bersalin nyawa namun tidak pernah serik untuk terus melahirkan lagi cahaya mata dari zuriat suaminya.

Ampuni dosaku
Kerana membesarkan ku
Resah gelisah selalu kau alami

Selain melahirkan anak, si ibu juga sanggup bersusah payah memelihara anak sejak dilahirkan hinggalah besar. Si Ibu sanggup berjaga malam apabila anak menangis dan Si Ibu turut merasa sakitnya jika anak jatuh sakit, seperti kata penyair “ Kerana sakit, sedihku, air matamu membasahi pipi”.
Penyair juga merakamkan penghargaan kepada ibu yang telah bersusah payah mendidik dan membesakan dengan kata-katanya “ kerana membesarkan ku, resah gelisah selalu kau alami.”
Pada rangkap pertama kedua dan ketiga, penyair memulakan ayat dengan “ Ampuni dosaku…”. Mungkin timbul persoalan, adakah seorang ibu boleh mengampun dosa anaknya?. Bukankah Allah yang mengampunkan dosa?.
Di Zaman Rasullullah saw pernah terjadi satu kisah seorang pemuda bernama al Qomah mengalami masalah ketika hendak meninggal dunia. Berita itu disampaikan kepada Rasullulah saw, dan setelah di siasat baginda dapati ibu kepada pemuda itu merasa sakit hati akibat perbuatan anaknya. Dan setelah si ibu memaafan kesalahan anaknya barulah pemuda itu meninggal dunia dengan mudah.
Kita juga selalu mendengar bahawa “ Syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu” yang menunjukkan begitu besarnya peranan seorang ibu terhadap anak yang dikandungnya.
Dari kisah tersebut menunjukkan bahawa kemaafan dari ibu adalah penting sebelum mendapat keampunan daripada Allah swt. Walaubagaimanapun Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Terima kaseh ku pada mu
Atas jasa mu membesarkan ku
Atas segala kasih sayang mu

Di rangkap seterusna penyair mengucapkan terima kasih kepada ibu yang telah memberi bimbingan serta tunjuk ajar sehingga penyair juga mampu menjadi ibu kepada anak-anaknya. Lalu penyair merakamkannya begini;

Terima kaseh ku pada mu
Atas bimbingan dan ajaran mu
Aku dapat menjadi ibu seperti mu

Selain mengucapkan terima kasih penyair juga memohon keredhaan daripada ibunya dengan kata-kata;

Doakan dan restuilah diriku agar berjaya
Mejadi ibu seperti mu jua
Melahirkan anak bangsa yang berwibawa

Bagi Penyair kejayaan yang dicapainya adalah dengan berkat doa dan restu dari seorang ibu. Kejayaannya menjadi ibu kepada anak-anaknya juga adalah dari tunjuk ajar dari seorang ibu.
Penyair memohon doa restu dari ibunya semoga dia juga berjaya di dunia dan akhirat. Dan akhir sekali penyair memohon doa semoga Allah swt mengampunkan dosa ibunya dan menempatkannya di dalam Syurga.

Setinggi gunung seluas lautan
Bukan dapat jadi ukuran
Pengorbanan ibu tak ada batasan
Kasih sayangnya tetap berkekalan

Pengorbanan seorang ibu amat bernilai dan tentulah tidak mampu dibayar upahna oleh anak. Penyair menganggap sekiranya di berikan kepada ibu segunung emas sekalipun tidak sama nilainya dengan jasa seorang ibu melahirkan anaknya. Dan penyair mengakhiri puisinya dengan sebuah doa semoga ibunya mendapat rahmat daripada Allah swt dan seterusnya di tempatkan ke alam Syurga.

Doaku untuk mu ibu
Agar ALLAH memberi restu
Atas segala jasa dan bakti mu
Pahala Syurga ganjaran untuk mu


PUISI SRI DIAH

KITA SAMA BERDIRI, MEMAYUNGI
(Dedikasi untuk bonda – Hajah Halijah Ibrahim
Sempena Sambutan Hari Ibu)

Aku harum berkembang dalam wangi tamanmu, bonda
Telah tersebar keseluruh alam, engkau selamanya ratu
Di sisiku kita sama-sama berdiri, memayungi
Bonda, sinambungkan nafiri, laungkan gema
Kita sama; siang dan malammu kita serupa
Kau ibu dan aku kini mama buah cintaku
Sesekali aku tersadung, rebah aku di ribaanmu
Engkau membalut luka hatiku, bonda
Tanganmu hangat memanjakan
Bibirmu santun menabur pesan;
Hidup adalah keras perasaan
Ya, aku hanya ada seorang bonda, kamu
Hidup ini manis, mari kita hirup bersama
Kemanisan sepanjang zaman
Dipenghujung hayat nikmatnya milik kita
Walau ke dunia mana
Kujunjung setingginya hormat rasa
Dirgahayu untukmu, bonda...

Sri Diah
7 Mei 2003

Sri Diah atau nama penuhnya Radhiah Saharuddian anak kelahiran negeri Kedah Darul Aman pada 10 July 1962,beliau seorang penulis yang sudah mencipta nama di bidang penulisan. Beliau antara penulis wanita yang mampu bertahan dan banyak menghasilkan novel, cerpen dan puisi. Sri Diah bertugas sebagai Managing Editor Kumpulan Karangkraf dan beliau bertanggung jawab menjaga 30 buah majalah keluaran syarikat gergasi itu.
Ibu kepada 3 orang anak ini (semuanya putera) telah menghasilkan hampir 20 buah novel dan 100 buah cerpen dan 100 buah puisi yang pernah tersiar di akhbar dan majalah tempatan dan beliau juga pernah memenangi 7 hadiah pertandingan menulis cerpen dan puisi.

ULASAN

Sri Diah pula tampil dengan tajuk puisinya “ Kita Sama Berdiri, Memayungi.” Dan sebelum itu penyair dalam intro puisi ini menuliskan “ Seorang wanita itu lebih memahami hati seorang ibu setelah dia menjadi seorang ibu.”
Tajuk puisi ini membawa maksud, dengan asuhan, bimbingan serta kasih sayang seorang ibu maka sekarang anakmu juga sudah berjaya menjadi seorang ibu.
Sri Diah memulakan Puisinya dengan ayat-ayat berikut:

Aku harum berkembang dalam wangi tamanmu, bonda
Telah tersebar keseluruh alam, engkau selamanya ratu
Di sisiku kita sama-sama berdiri, memayungi

Penyair merasakan dirinya membesar dengan kasih sayang dari seorang ibu. Kerana itu bagi Penyair ibulah “Ratu” hatinya buat selamanya kerana di Dunia dan di Akhirat ibu cuma satu sahaja.
Seterusnya penyair berbangga kerana tunjuk ajar dari ibu menyebabkan dia juga mampu menjadi seirang ibu dan dia juga akan mengasuh anak-anaknya dengan penuh kasih sayang seperti yang dilakukan oleh ibunya.
Walaupun penyair kini sudah boleh berdikari, mempunyai rumah tangga dan anak-anak sendiri namun Penyair masih memerlukan perhatian dan tunjuk ajar dari ibu seperti katanya

“ Sesekali aku tersadung, rebah aku di ribaanmu. Engkau membalut luka hatiku, tanganmu hangat memanjakan, bibirmu santun menabur pesan. Hidup adalah keras perasaan.”

Ya, aku hanya ada seorang bonda, kamu
Hidup ini manis, mari kita hirup bersama
Kemanisan sepanjang zaman
Dipenghujung hayat nikmatnya milik kita

Penyair merasakan kejayaan yang dicapainya pada hari ini berkat doa restu dari seorang ibu. Kerana itu Penyair merasakan ibunya juga berhak untuk menikmati kejayaan yang dinikmatinya.
Bagi Penyair di penghujung usia ibunya ini biarlah dia merasa bahagia dan merasa senang setelah bersusah payah membesarkan anak-anak. Alangkah bertuahnya seorang ibu mendapat anak yang tahu membalas jasa dan dapat menumpang kasih untuk menghabiskan sisa-sisa umur di hari tuanya.

Penyair menutup puisinya dengan kata-kata

Walau ke dunia mana
Kujunjung setingginya hormat rasa
Dirgahayu untukmu, bonda...

Penyair berjanji tidak akan melupakan jasa seorang ibu yang telah melahir dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang.
Kasih sayang dari seorang ibu bukan sahaja dihargai oleh anak perempuan malah anak-anak lelaki juga turut serta kerana dalam mendidik anak-anak bagi ibu tidak ada perbezaan kasih sayang antara anak lelaki dengan anak perempuan.

SETELAH DIA BERNAMA IBU
Oleh: Dahri Zakaria

Tiba-tiba dia bernama ibu.
Setelah lelah membawa si anak ke sana sini
sembilan bulan lamanya, dia mula bernama ibu.

Susu di tubuh, peluh di dahi, nyamuk di tangan, sunyi di mulut, kantuk di mata, lelah di kaki, - apalah sangat bagi yang bernama ibu.

Dan kemudian bertahun dijaga, dibaja, dididik, diasuh,
akhirnya si anak menjadi manusia.

Apakah lagi yang diharapkan oleh seorang ibu,
setelah semua ini menjadi milik seorang anak?

Sungguh aku fikir, inilah sebenar yang bernama ibu!

Dahrie atau nama penuhnya Mohd Dahri Zakaria, anak kelahiran Negeri Terengganu Darul Iman. Di lahirkan pada 4 jun 1998 di bawah naungan bintang Gemini dan memegang diploma khusus dalam bidang sastera dan kini melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di sebuah Universiti di Kuala Lumpur. Mula menulis semasa berada di tingkatan tiga dan bidang penulisan beliau ialah cerpen dan sajak dan karyanya pernah tersiar di media tempatan. Kini Mohd Dahri menjadi kolumnis “Galeri Seni” mahasiswa net.


ULASAN:

Sempena menyambut Hari Ibu, Mohd Dahri menyiarkan sajaknya berjudul “SETELAH DIA BERNAMA IBU”.
Melihat tajuk Puisi ini dan idea yang ingin disampaikannya saya berpendapat Mohd Dahri seperti sudah mempunyai isteri. Ayat setelah dia menjadi ibu membawa dua maksud, pertama Penyair ada bersama seorang wanita sebelum dia menjadi ibu. Kalau dia sudah berkahwin, yang dimaksudkannya ialah si isteri yang apabila sudah melahirkan anak maka isteriah yang dimaksudkan setelah dia menjadi ibu.
Tetapi kalau Mohd Dahri masih bujang, maka tentulah ada seseorang yang dikenalinya telah menjadi seorang ibu. Walau apapun status Mohd Dahri, saya ingin mengulas mengikut tafsiran sendiri secara bebas berdasarkan puisi ini.
Mohd Dahri membawa idea yang agak berlainan dengan Puisi-puisi yang dihasilkan oleh Alaieffa, Sri Diah, Mshukri dan Nilamsuri. Walaupun temanya sama iaitu “ibu” namun bagi Mohd Dahri ibu yang dimaksudkannya ialah isterinya yang sudah bergelar ibu. Ini saya kesan dari ayat dipermulaan puisi ini:

Tiba-tiba dia bernama ibu.
Setelah lelah membawa si anak ke sana sini
sembilan bulan lamanya, dia mula bernama ibu.

Ayat tiba-tiba “dia” menjadi ibu ini menguatkan tafsiran saya bahawa ibu yang dimaksudkan oleh penyair ialah isterinya atau orang lain seperti kawan, kakak, saudara atau sesiapa sahaja tetapi bukan ibunya sendiri.
Hujah saya begini, biasanya anak yang halus budi bahasanya tidak memanggil ibunya “Dia” di depan atau di belakang ibunya,paling kurang si anak akan kata “Dia ibuku”. Namun bagi suami perkataan “Dia” itu biasa digunakan sebagai pengganti nama isterinya.
Ayat setelah lelah membawa si anak kesana sini sembilan bulan lamanya menguatkan lagi tafsiran saya bahawa ibu yang dimaksudkan penyair ialah isterinya. Hanya suami sahaja yang mengetahui berapa lama isterinya mengandung kerana biasa berlaku usia kandangan tidak sampai sembilan bulan malah ada juga yang melebihi sembilan bulan. Kalau tidak silap saya Nabi Muammad saw dikandungkan ibunya selama dua belas bulan.

“Susu ditubuh, peluh didahi, nyamuk ditangan, sunyi dimulut, kantuk dimata, lelah dikaki,” adalah gambaran bagaimana kasih sayang seorang ibu terhadap anak kesayangannya. Bagi seorang ibu dia merasa satu kepuasan apabila si anak meminum susu dari badannya. Si Ibu rela berpenat lelah kerana anak, dan si ibu tidak rela anaknya di gigit walau oleh seekor nyamuk.
Ketika si anak sedang tidur si ibu akan menjaganya dengan rapi, suasana biarkan sunyi supaya anak jangan terkejut dari tidur. Si Ibu juga akan pastikan keselamatan anak semasa tidur dimana kalau boleh seekor semut pun tidak mahu menjalar di badan anaknya.
Di waktu malam apabila anak menangis kerana hendak menyusu atau lampinnya basah oleh kencing atau mungkin juga perutnya kembung, maka si ibu rela bersengkang mata sehingga si anak nyenyak tidurnya.

Dan kemudian bertahun dijaga, dibaja, dididik, diasuh,
akhirnya si anak menjadi manusia.

Kasih seorang ibu bukan setakat melahirkan anak sahaja tetapi juga memelihara, mengasuh serta mendidik si anak supaya apabila sudah dewasa menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. itulah impian seorang ibu terhadap anak-anaknya.
Bagi seorang suami pula apabila dia melihat bagaimana susah payahnya si isteri mengandungkan anak, kemudian melahirkannya, kemudian membesarkannya maka dia akan sedar begitulah pemgorbanan yang telah dilakukan oleh ibunya sendiri.
Malah ramai suami yang mengatakan setelah mempunyai anak barulah dia terasa bagaimana susahnya mendidik anak. Dengan arti kata lain, puisi ini juga menyedarkan kita betapa besarnya pengorbanan isteri setelah menjadi ibu.

Apakah lagi yang diharapkan oleh seorang ibu,
setelah semua ini menjadi milik seorang anak?

Setiap ibu mengharapkan anaknya apabila sudah dewasa kelak menjadi orang yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia dan bahagia hidupnya di dunia dan di akhirat. Dengan arti kata lain, Tidak ada ibu yang mahu anaknya hidup sengsara atau menjadi sampah masyarakat.
Si Ibu yang mendidik dan mengasuh anaknya bukanlah mengharapkan upah atau balasan daripada anaknya. Apa yang dilakukannya berpunca dari rasa kasih sayang dan tanggung jawab seorang ibu.
Kerana itu tidak semua ibu sanggup menumpang hidup dengan anak-anak apabila mereka sudah berjaya. Kebanyakan ibu lebih suka terus tinggal di rumah lama kerana disanalah tempat yang paling selesa dirasakanya dalam meniti usia tuanya.
Lebih takjub ada ibu yang sudah tua sanggup tinggal seorang diri di kampung kerana tidak mahu menyusahkan anak-anak di bandar.
Bagi penyair “ Inilah sebenar yang bernama ibu!” kerana mereka tidak meminta balasan daripada anak-anak tetapi terpulang kepada anak-anak untuk membalas jasa mereka.

MSHUKRINASIAR
Kerana Dia Bondaku

Bukan, kau bukan seperti kekasihku,
yang bijak menuang kisah kasih lalu,
dari cangkir terhias indah,
di bawah lingkar bulan malam,
mengadukkan tabir racun di celahan haus, tak kusedari telah pun kureguk ia di runcing hari.
Kau bondaku, telah semikan aku dengan limpah kasih mawar setanggi,
tak mungkin kutemui cangkir itu lagi,
buat kutuang kembali ke raut resahmu, sepertimana telah kautuang untukku, di musim-musim lukaku, dulu.
Tuhan, aku takkan jadi racun untuknya,
dan harapku melimpah pada-Mu, jangan Kau jadikan dia racun untukku, kerana jika itu benar, rela jua kutelan pahitnya takdir itu.
Kerana dia bukan bandingan berkasih,
kerana dia adalah bondaku.


Mshukrinasiar, berasal dari negeri Jelapang Padi. Mendapat pendidikan awal di SM Pokok Sena, SM Teknik Alor Setar dan seterusnya dianugerahkan Ijazah Kejuruteraan Awam(UTM) pada tahun 1990. Sekarang bekerja dengan sebuah syarikat perunding kejuruteraan awam di utara tanah air. Berminat di bidang sains dan sastera. Mula menulis sewaktu di sekolah menengah dan amat meminati pantun atau puisi yang indah-indah gaya bahasanya.
Karya-karyanya pernah di siarkan dalam majalah kampus, akhbar Berita Harian/ Berita Minggu, Mingguan Famili, Radio Malaysia JB dan Radio Malaysia Kawasan Utara(Kedah/Pulau Pinang). Pernah menghadiri perhimpunan puisi di sekitar Lembah Kelang dan juga di Pulau Mutiara. Pernah menggunakan nama ringkas Mosna.

ULASAN

MshukriNasiar pula muncul dengan puisi “ KERANA DIA BONDAKU”
Penyair memulakan puisinya dengan kata-kata berikut:

Bukan, kau bukan seperti kekasihku, yang bijak menuang kisah kasih lalu,

Bagi Penyair Mshukri, kasih seorang ibu tidak sama seperti kasih seorang kekasih. Kasih ibu adalah kasih sejati yang tidak boleh bertukar ganti. Dalam dunia ini hanya seorang sahaja insan yang bergelar ibuku.
Ayat “yang bijak menuang kisah kasih lalu” dimaksudkan kepada kekasih yang pandai memujuk rayu sehingga mereka berkasih sayang seperti mengulangi kisah percintaan sejak zaman Adam dan Hawa.

dari cangkir terhias indah, di bawah lingkar bulan malam, mengadukkan tabir racun di celahan haus, tak kusedari telah pun kureguk ia di runcing hari.

Ayat “ dari cangkir terhias indah, di bawah lingkar bulan malam” itu bolehlah ditafsirkan sebagai pesona cinta yang didambakan bersama kekasih menjadikan penyair merasa indah dan bahagia. Namun ayat “ Mengadukkan tabir racun dicelahan haus,” itu agak mengelirukan. Adakah ayat “mengadukkan” itu berasal dari perkataan “adu?”. Atau dari perkataan campur “aduk?”.
Ayat “ Tak kusedari telah pun kureguk ia diruncing hari,” membawa maksud penyair menikmati kasih sayang yang diberikan oleh kekasih setelah dia dewasa dan pandai berdikari. Berbanding kasih ibu yang diperolihinya sejak dilahirkan.
Penyair juga ingin menyatakan bahawa kasih sayang dari seorang kekasih ada madu dan racunnya. Ada kalanya sikap kekasih membuatkan kita menangis dan rasa terseksa.
Berbanding kasih seorang ibu adalah kasih selamanya.

Kau bondaku, telah semikan aku dengan limpah kasih mawar setanggi, tak mungkin kutemui cangkir itu lagi, buat kutuang kembali ke raut resahmu,

Ayat ini tidaklah begitu sukar untuk mentafsirkan maknanya kerana seperti Penyair yang lain, Mshukrinasiar juga menghargai jasa seorang ibu dan Penyair menganggap kasih sayang seorang ibu tidak ada bandingannya dan tidak boleh ditukar ganti.
Kasih sayang seorang ibu adalah kasih semata tidak mengharapkan apa balasan tetapi kasih sayang seorang kekasih meminta balasan sekurangnya perhatian dan kasih sayang.
Walaupun ada perkara yang kekasih boleh lakukan tetapi ibu tidak mampu lakukan namun Penyair tetap meletakkan kasih ibu di tempat yang paling atas.
Bagi penyair kasih sayang yang diberikan oleh kekasih datang kemudian setelah dia berjaya dalam hidup sedangkan kasih ibu sejak dia tidak memiliki apa-apa.
Kerana begitu agongnya kasih seorang ibu, Penyair tidak sanggup melukakan hati seorang ibu apatah lagi menjadi racun hidup kepada seorang ibu yang sudah tua.

Penyair berjanji dengan mengatakan “ Tuhan, aku takkan jadi racun untuknya” dengan arti kata lain penyair tidak akan menyusahkan lagi ibunya cukuplah dengan kesusahan yang dialami oleh ibunya ketika dia masih kecil.
Namun penyair sanggup buat apa sahaja demi seorang ibu walaupun itu menyusahkan dirinya seperti kata penyair
“ jangan Kau jadikan dia racun untukku, kerana jika itu benar, rela jua kutelan pahitnya takdir itu. Kerana dia bukan bandingan berkasih, kerana dia adalah bondaku.”

Bertuahlah bagi seorang ibu jika melahirkan anak yang pandai mengenang budi. Sebaliknya malanglah nasib seorang ibu jika tidak ada anak-anak yang sanggup membela nasibnya di hari tua.
Benarlah kata orang tua-tua, seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak tetapi 10 orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.

Tambahan pula di zaman yang serba sibuk ini apabila anak-anak sudah berkeluarga dan mempunyai kerja maka kesibukannya menyebabkan perhatian kepada seorang ibu/ayah seolah tidak ada masa.Kerana itu sering kita dengar ibu-ibu yang sudah tua menumpang hidup di rumah kebajikan.Alangkah baiknya jika sikap yang ada kepada penyair ini juga dimilik oleh semua anak-anak yang masih mempunyai ibu /bapa.
Berkaitan dengan perakara ini saya ingin menceritakan 2 kisah bagaimana balasan Allah terhadap anak yang taat kepada ibunya.

Di zaman para sahabat, tiga orang pemuda terperangkap dalam sebuah gua. Mereka cuba menolak batu besar yang jatuh dan menutup pintu gua itu namun tidak berjaya. Akhirnya salah seorang daripada mereka mencadangkan supaya berdoa dengan menyatakan kebajikan yang telah mereka lakukan dengan harapan Allah akan mempernankan doa mereka.
Salah seorang pemuda menceritakan bahawa dia pernah membuat kebajikan kepada kedua orang tuanya dengan berkata,
“ Ya Allah, pada satu hari aku pulang ke rumah membawa susu. Ketika itu anak-anakku sedang kelaparan. Namun aku tidak berikan susu itu kepada anak-anakku selagi ayah dan ibuku tidak meneguknya dan ketika itu mereka sedang tidur. Aku terus menunggu mereka terjaga dari tidur walaupun anak-anakku menangis kehausan. Apabila ayah dan ibuku sudah terjaga dari tidur dan mereka telah minum susu itu barulah aku berikan kepada anak-anakku. Ya Allah, jika itu ada kebajikannya maka lepaskan kami dari bahaya ini.”
Selesai berdoa mereka menolak batu yang besar itu dan dengan takdir Allah swt batu itu bergerak hingga mereka boleh keluar dengan selamat.
Kisah kedua berlaku di zaman Nabi Sulaiman as. Pada suatu hari Nabi Sulaiman berjalan di tepi laut lalu dia melihat di dasar laut itu ada satu kubah berwarna putih. Sebenarnya antara kelebihan Nabi Sulaiman dia boleh memahami bahasa semua haiwan yang melata termasuk bahasa semut. Nabi Sulaiman juga boleh melihat sesuatu hingga tembus seolah matanya ada kuasa X-Ray.
Nabi Sulaiman memerintahkan Jin menyelam ke dalam lautan untuk membawa kubah putih itu ke darat.Setelah berjaya di bawa maka Nabi Suklaiman berdoa kepada Allah untuk mengetahui apa yang ada dalam kubah tersebut.
Tiba-tiba pintu kubah itu terbuka dan keluar seorang pemuda. Apabila ditanya bagaimana pemuda itu boleh berada dalam kubah itu yang terletak di dasar laut, maka pemuda itu bercerita dimana ketika ibunya sudah terlalu tua, dialah yang menjaga ibunya. Dia yang menyuap makaan ke mulut ibunya dan dia yang memandikan ibunya.
Sebelum ibunya meninggal dia berdoa supaya Allah menempatkan anaknya si satu tempat yang belum pernah ditempatkan manusia.

Pada suatu hari pemuda itu berjalan ke tepi pantai lalu menjumpai sebuah kubah berwarna putih lalu masuk ke dalamnya. Dan sejak hari itu pemuda tersebut tidak pernah keluar lagi. Ketika di tanya bagaimana dia mendapat makanan dan minumnya pemuda itu mengatakan setiap hari dengan izin Allah akan memancut mata air di dalam kubah itu dan tumbuh sepohon kayu yang buahnya paling lazat dan apabila memakannya dia tidak akan merasa lapar lagi.
Itulah balasan berbuat baik terhadap seorang ibu.

NILAMSATRI PULA MELAHIRKAN PUISI BERJUDUL “SEJUNJUNG KASIH UNTUKMU IBU”


SEJUNJUNG KASIH UNTUKMU IBU

Ini aroma kecintaan milikmu, ibu
izinkan kuhidu narwastu sayangmu
dari haruman mimpi yang melintas
di jalanan tidurku. Sejunjung kasih
terhias dari sehimpunan sirih pedoman
indah tersusun di jambangan pengalaman.
Sejunjung kasih ini
kupersembahkan untukmu, ibu
dan keramat ungkap ini terucap ikhlas
setulus rasa dari percikan wangi katamu.
Ibu, betapa getir pengorbanan dan pesanan
menjadi penyuluh pekerti dalam sedarku.

NilamsuriÒ
11.55 Malam
10 Mei 2003
Kamar Ilham, Kuala Perlis

Nilamsuri atau nama sebenarnya Haniza binti Hamzah dilahirkan di Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.

Pernah mengikuti Perkampungan Penulis Rakan Muda Seni Budaya Peringkat Kebangsaan pada tahun 1995. Bermula dari sinilah beliau terus bergiat menulis sehingga kini. Merupakan ahli Persatuan Penulis Perlis (3P) sejak 1995 dan kini menjadi Ahli Jawatankuasa 3P (dilantik menjadi Pengerusi Biro Penulisan Puisi) dan Ahli Jawatankuasa Sekretariat Penulis Muda Persatuan Penulis Perlis (SPM-3P).
Nama beliau ikut tersenarai di antara 250 penyair Malaysia yang turut mendeklamasikan puisi di dalam acara besar ‘Ratib 1000 Syair’ yang diadakan di halaman rumah GAPENA, Kuala Lumpur dan telah tercatat di dalam ‘The Malaysian Book Of Records’.
Karya-karya beliau seperti puisi pernah tersiar di dalam beberapa penerbitan seperti akhbar Suara Perlis, Wadah, Berita Harian, Berita Minggu, Tunas Cipta, Keluarga dan Mingguan Malaysia. Antologi bersama cerpen dan puisi (DBP), antologi bersama cerpen (Pustaka Prinsip) dan skrip drama radio (Radio Malaysia Perlis). Beliau juga turut berminat di dalam penulisan cerita kanak-kanak.

Ulasan

Bila membaca keseluruhan puisi ini ternyata kasih sayang Nilamsari kepada ibunya bukan sekadar sejunjung kasih sahaja malah tak terkira junjungan kasihnya terhadap ibu yang tercinta. Sesungguhnya kasih sayang seorang ibu terhadap anak tidak terkira banyaknya dan kita tidak sepadan kalau membalasnya hanya dengan sejunjung kasih. Kerana itu saya rasa lebih tepat kalau tajuk puisi ini “Junjungan kasih untukmu Ibu?” kerana junjungan kasih lebih banyak dari sejunjung kasih. Itulah persepsi saya.
Penyair berbakat dari negeri Perlis Indera kayangan ini membuka kata-kata pada baris pertama puisinya;

Ini aroma kecintaan milikmu, ibu

Penyair dapat merasakan betapa kasih sayang seorang ibu tercurah kepadanya. Dia dibesarkan dengan penuh kasih sayang dari seorang insan bernama ibu.

izinkan kuhidu narwastu sayangmu
dari haruman mimpi yang melintas
di jalanan tidurku. Sejunjung kasih

Bagi penyair selagi hayat ibu masih di kandung badan biarlah kasih itu dapat dinikmatinya dan sebagai anak kasih ibulah yang dirasakan paling agung sekali. Dan seterusnya Penyair tidak mahu kasih itu hilang dalam hidupnya.

terhias dari sehimpunan sirih pedoman
indah tersusun di jambangan pengalaman.

Sehimpunan sirih pedoman yang dimaksudkan oleh penyair ialah kata-kata nasihat serta tunjuk ajar dari si ibu dan di jambangan penglaman itu bermaksud apa yang ditunjuk ajar oleh si ibu adalah dari pengalaman hidup untuk dijadikan teladan bagi mengharungi cabaran masa depan.

Sejunjung kasih ini
kupersembahkan untukmu, ibu
dan keramat ungkap ini terucap ikhlas
setulus rasa dari percikan wangi katamu.

Sempena hari ibu ini Penyair ingin mengucapkan terima kasih dengan seikhlas hati kepada seorang ibu sebagaimana tulus ikhlasnya kasih seorang ibu terhadap dirinya.

Ibu, betapa getir pengorbanan dan pesanan
menjadi penyuluh pekerti dalam sedarku.

Susah payah ibu membesarkan anak akan diaingati oleh peyair dan tunjuk ajar yang diberikan oleh ibu akan dijadikan ingatan sepanjang hayat.


SELAMAT HARI IBU
Begitu dalam makna Bagi ku,
Aku terharu ungkapan itu,
Ibu kaulah sumber ilham,
Penerang di kala malam,
Pelindung di waktu susah,
Pendorong bila gundah,
Aku terharu ungkapan itu,
Begitu dalam makna bagi ku,
Selamat Hari Ibu

Mohd Fauzie B. Ramlee atau lebih di kenali sebagai jokerfac3. Lahir pada 07-07-1987 di Segamat, JOHOR. Pendidikan awal di SK Temenggong Ibrahim Penggaram. Melanjutkan persekolahan menengah di SMK Dato Bentara Luar. Kini beliau sedang mengambil peperiksaan muzik ABRSM Grade 3 atau lebih dikenali sebagai The Associated Board of the Royal School of Music. Cita-cita beliau ialah ingin memasuki BERKLEE COLLEGE, US dan menjadi ahli muzik. Beliau ialah anak pertama daripada tiga orang adik-beradik. Ayah beliau adalah salah seorang ahli komuniti ini, iaitu NAKHODA. Moto hidup beliau ialah "sentiasa berfikiran terbuka".

Mohd fauzie atau Jokerfac3, merupakan penyair yang paling muda iaitu baru berusia 16 tahun. Beliau kerap menyiarkan puisi di komuniti ini di bawah asuhan dan bimbingan ayahnya Nakhoda. Sempena hari ibu Jokerfac3 menghasilkan puisinya berjudul “ SELAMAT HARI IBU”.

Begitu dalam makna Bagi ku,
Aku terharu ungkapan itu,

Bagi Penyair ucapan Selamat Hari Ibu bukan sekadar ucapan manis di bibir sahaja. Baginya ucapan itu begitu mendalam maknanya dan beliau merasa terharu dengan ucapan tersebut. Memang sewajarnya ucapan selamat hari ibu itu difahami dan dihayati oleh semua yang masih ada ibu terutama anak-anak muda dengan harapan penghargaan dan rasa kasih sayang terhadap seorang ibu tertanam di jiwanya.

Ibu kaulah sumber ilham,
Penerang di kala malam,
Pelindung di waktu susah,
Pendorong bila gundah,

Ibu sebagai sumber ilham yang dimaksudkan oleh Penyair ialah segala yang dilakukannya mendapat perhatian, bimbingan dan kasih sayang daripada seorang ibu. Bagi penyair ibulah yang menjadi pendorong untuk mengejar cita-citanya. Apabila dalam kesulitan maka kepada ibulah tempat mengadu atau meminta bantuan. Dan apabila mendapat kesusahan seperti kesakitan, ketakutan dan sebagainya kepada ibulah tempat bergantung harapan.

Aku terharu ungkapan itu,
Begitu dalam makna bagi ku,
Selamat Hari Ibu

Pernyair mengulangi lagi perasaan terharunya dengan ucapan tersebut. Beliau seolah ingin memahatkan ucapan itu ke dalam jiwanya supaya tidak melupakan pengorbanan seorang ibu.
Ingin juga saya bertanya apakah yang dilakukan oleh Penyair terhadap ibunya sempena hari yang bersejarah ini?. Kalaulah penyair sekadar mengucapkan selamat hari ibu sahaja kepada ibunya bermakna ucapan tersebut masih belum sempurna dihayati.
Sebaiknya selepas mengucapkan Selamat hari ibu, penyair bersalaman dengan ibu kemudian mencium tangannya. Paling baik berikan ciuman juga di pipi ibu sebagai tanda kasih sayang dan penghormatan. Dan paling baik lagi berlutut di kaki ibu dan tidak keterlaluan jika seorang anak mencium kaki ibunya. Tapi apa yang penting hendaklah meminta ampun dan maaf jika ada terdapat sebarang kesilapan atau kersalahan terhadap ibu.
Dalam Islam seorang anak yang mengucapkan “ ah “kepada ibunya sudah berdosa apatah lagi kalau melawan atau engkar dengan suruhan ibunya. Anak yang menderhaka kepada ibunya mendapat pembalasan di dunia lagi.
Sebagai contoh di negara kita terdapat kisah si Tenggang anak derhaka yang menjadi batu akibat sumpahan ibunya. Di Indonesia pula terdapat cerita Malim Kunang anak derhaka yang akhirnmya mati akibat disumpah oleh ibunya. Begitu juga di Brunei terdapat cerita Nakhoda Manis yang mana ada persamaan ceritanya seperti Si Tenggang.
Kerana itu janganlah disakiti hati seorang ibu kerana dia yang melahirkan kita dan dia yang membesarkan kita. Tanpa ibu siapalah kita.

Sekarang kita cuba hayati pula puisi yang ditulis oleh penyair yang ibunya sudah tiada. Arisel dengan puisinya berjudul BONDA.


BONDA

pusara bondaku
puas sepi hening muzika hijau
pada nesannya kutitipi rindu
pasti bonda sonder kasam
praja lena panjang yang diam

dikala hayatmu, cintakasih bondaku
dihempas episod dukalara dan ilu
demi baktimu kutitipi puisi semara
dipusaramu bonda, bening membisu
dihala-kebala rohmu, tasbih nirmala
11 Mei 2003
Kuantan, Pahang


Arisel Ba, atau nama sebenarnya Subari bin Ahmad, dilahir pada 11 Ogos 1953 di Ladang Selborne, Kuala Lipis. Mulai menulis pada tahun 1976 apabila puisinya Gua Bama tersiar di majalah Dewan Sastera, April 1977. Selain puisi, Arisel menulis cerpen, drama pentas, berita dan rencana. Karya Arisel telah terbit di akhbar, majalah dan antologi puisi/cerpen bersama. Arisel Ba pernah menjadi Setiausaha Agung DPMP selama 10 tahun (1983 - 1993) dan Setiausaha Hari Sastera 1987. Kini Arisel menjadi ahli PENA di samping sebagai Ketua Pemberita Daerah, akhbar tabloid Pentas Dunia. Arisel Ba telah diberi anugerah Pingat Jaksa Kebaktian (PJK) pada 24 Oktober 1997 atas jasanya terhadap bahasa, sastera dan budaya Melayu di Pahang. Nama-nama pena yang lain yang selalu digunakan ialah: Ismail Al-Selbornei, Olie Dharma, Rodong Siber, Gus Tranum, Pena Cempaka dan Ismail Ahmad. Arisel Ba boleh dihubungi melalui telefon/fax: 609-5144328 atau Handphone 010-9867590 atau melalui email: arisel5356@hotmail.com
atau subaria@skali.com. Kini sedang mengikuti pengajian Komunikasi

ULASAN

Penyair menamakan tajuk puisi ini BONDA.

Dalam bahasa Melayu selain dari panggilan “ibu” di sebut juga emak atau mak. Selain itu ada juga yang menyuruh anak memangil “ummi”. Panggilan Bonda walaupun jarang di sebut namun nama itu satu penghormatan daripada anak terhadap seorang ibu. Umpamanya dalam surat si anak akan memulakan ayatnya dengan “menemui bondaku…”


Oleh kerana ibu penyair telah meninggal dunia maka beliau memanggil “Bonda” sebagai satu penghormatan.

pusara bondaku
puas sepi hening muzika hijau

penyair memulakan puisinya dengan kata-kata “Pusara bongaku” lantas kita terbayang sebuah kawasan perkuburan yang mana disitu terdapat pusara seorang ibu kepada penyair. Pada baris kedua puisi itu terdapat kata-kata “Puas sepi hening muzika hijau”.
Kata-kata itu merupakan sebuah gambaran di satu kawasan perkuburan yang suasananya cukup sepi dan hening. Tambahan pula kalau terletak di kawasan kampung yang mana kesepian dan keheningannya amat menyentuh perasaan.
Ayat muzika hijau membawa maksud, walaupun suasana di tanah perkuburan itu hening dan sepi namun sesekali kedengaran bunyi kicauan burung-burung yang sedang mencari makan, di selang seli bunyi riang-riang dan berbagai seranga hutan. Sayup-sayup kedengaran bunyi siamang atau ungka dan juga kokokan ayam jantan.Dan biasanya kawasan tanah perkuburan juga di kelilingi pokok-pokok hutan dan kawasan belukar yang menghijau.

pada nesannya kutitipi rindu
pasti bonda sonder kasam
praja lena panjang yang diam

Sempena menyambut hari ibu, Penyair mengambil kesempatan menziarahi pusara bondanya sebagai tanda ingatan dan penghormatan. Pada nisannya kutitipi rindu membawa maksud, penyair duduk bersimpuh di pusara bondanya sambil membacakan al fatihah dan surah Yasin dan pahala bacaannya di hadiah kepada arwah ibunya yang sedang mengharapkan hadiah dari anak yang soleh.
Bagi penyair hanya itu sahaja yang mampu dilakukannya sebagai mengingati arwah ibu di alam sana. Penyair berdoa kepada Allah swt semoga roh ibunya tenang dan mendapat keampunan dari yang Maha Esa.
Pasti bonda sonder kasam praja lena panjang yang diam itu membawa maksud, penyair yakin ibunya pasti gembira apabila anak yang soleh membacakan surah al fatihah dan surah yasin dan mendoakan kesejahteraannya di alam kubur. Dan Penyair yakin Roh bondanya tenang dan tenteram di alam sana.

dikala hayatmu, cintakasih bondaku
dihempas episod dukalara dan ilu

Penyair teringat bagaimana bondanya ketika masih hidup memberikan sepenuh cinta kasih sayang terhadap suami dan anak-anak. Dalam usaha membesarkan anak-anak bonda penyair menempuh berbagai kesusahan dan keperitan hidup. Namun demi kerana anak-anak bonda sanggup berkorban bersusah payah asalkan anak-anak bahagia.

demi baktimu kutitipi puisi semara
dipusaramu bonda, bening membisu
dihala-kebala rohmu, tasbih nirmala

sempena hari ibu ini juga penyair menulis sebuah puisi ditujukan khas kepada bonda sebagai mengenang jasanya. Selain menulis puisi penyair juga menzarahi pusara bondanya di tempat persemadiannya yang hening dan tenteram.
Maaf pak, saya cuba tafsirkan ayat “ Dihala kebala rohmu, tasbih nirmala”. Sebagai tanda ingatan kepada bonda yang telah tiada maka Penyair membuat kenduri arwah dan bacaan tahlil untuk bonda yang dirinduinya.

nakhoda
IBU SANJUNGAN JIWA
Kasihmu ibu mesraku rindu
Sayangmu ibu riangku selalu
Pilumu ibu rasaku sayu
Dukamu ibu laraku sendu.
Ibu, engkau bagai tetes embun
Ibu, engkau nagai mawar rimbun
Ibu, engkau bagai dingin salju
Ibu, engkau bagai lembut baldu.
Siapalah aku tanpamu, ibu
Kosong jiwaku ketiadaanmu
Kemanalah aku tanpamu, ibu
Kesasar arahku kehilanganmu.
Ibu, engkaulah kekasih jiwaku
Walau kemana aku pergi
Akan kukenang jasamu
Budimu mekar kekal abadi.


RAMLEE BIN WAHAB lahir pada:25-02-1960 dan tanah kelahiran: Segamat, Johor. Bersekolah di Sek. Rendah Bkt. Hampar dan lulusan Sek.Tinggi Muar, Johor-1979 (MCE) kemudian bekerja sebagai kerani di sektor perbankan (Bank Bumiputra), mengambil kursus PJJ jurusan B/Inggeris: Dip.Business English-UK/Dip.bEnglish For Everyone-UK/Dip.bEveryday English-UK dan Dip.bCommunication English-UK dan kini menyandang pangkat Eksekutif-CSO (Bumiputra-Commerce Bank Bhd - Batu Pahat, Johor). Pernah menjadi pensyarah sambilan (B/Inggeris) di Maktab Infotech Mara, Batu Pahat, Johor.
Menjadi ahli PJJ (waktu sekolah - kini tidak lagi), masih lagi ahli PENA hingga kini.
Karya pertama berupa cerpen 'Kebebasan' tersiar di Berita Minggu tahun 1979, beberapa buah cerpen tersiar di akhbar Warta Tebrau, berita/rencana/kritikan sastera banyak tersiar di akhbar Mingguan Famili serta Berita Minggu, 'Visi Sebuah Generasi' (puisi) Dewan Sastera 1982, dua buah puisi tersiar di majalah Nona dan terbaru di majalah Wanita (puisi) 'Kalau Aku Berbadan Dua'.
Hobi masa lapang: membaca dan menulis karya sastera
serta melayari laman web yang menyiarkan karya sastera seperti;
melayu.com, anjungcafe.com, gedung puisi.com, sekolah.com, dll., dan terkini ialah communityzero.com/penyair.
Moto penulisan: Hidup Sentiasa Kreatif.
Nama samaran lain: Ramayana, Flora, Rawa, Nakhoda.
Laman Web(dipersilakan melawat):
www.geocities.com/halamansastera/ramayanaflora.html
"Harapan semoga laman sastera ini akan terus bertapak dan berkembang maju dalam memberikan sokongan kepada karya-karya sastera anak watan, demi memartabatkan bahasa kebangsaan dan dunia kesusasteraan"
"Bersama-sama kita memelihara @ memulihara dunia sastera ibunda tercinta sebagai harta warisan bangsa
berbudaya dan negara bangsa merdeka"
Karya beliau di Internet dapat dibaca di http://www.communityzero.com/penyair.
Nakhoda @ Flora: Batu Pahat/13-10-02

IBU SANJUNGAN JIWA

Dari luahan hati seorang anak yang merindui seorang ibu yang telah tiada maka Penyair memilih judul puisinya “Ibu Sanjungan Jiwa” membawa arti segala budi dan jasa ibu akan tetap disanjung dan dikenang, pasti tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Kasihmu ibu mesraku rindu
Sayangmu ibu riangku selalu
Pilumu ibu rasaku sayu
Dukamu ibu laraku sendu.

Walaupun ibu sudah tiada namun kasih dan kemesraan yang diberikan oleh seorang ibu semasa hayatnya tetap menjadi ingatan. Tambahan pula pada hari ibu ini maka rasa rindu itu semakin mencengkam jiwa.
Walaupun pepatah ada mengatakan “sayang anak tangan tangankan” dan itu yang kerap dilakukan oleh seorang ibu terhadap anaknya dalam usaha untuk mengasuh dan mendidik anak. Namun apa yang dilakukan oleh ibu akan tetap dihargai oleh anak apabila dia sudah dewasa. Kerana sayanglah maka ibu menegur apa yang tak kena di hatinya. Kerana sayanglah maka seorang ibu kekadang merotan si anak.

Ibu, engkau bagai tetes embun
Ibu, engkau nagai mawar rimbun
Ibu, engkau bagai dingin salju
Ibu, engkau bagai lembut baldu.

Kata-kata seperti “Tetes Embun, Mawar Rimbun, Dingin Salju, Lembut baldu” itu sebagai gambaran betapa kagumnya Penyair kepada ibunya. Keikhlasan seorang ibu terhadap anak diibaratkan sejernih embun di waktu pagi tanpa dicemari oleh sebarang kekotoran. Kasih sayang yang diberikan oleh seorang ibu ibarat kuntum-kuntum mawar yang menghiasi jambangan. Marah dan rajuk seorang ibu bukan seperti api yang membakar malah bagaikan salju yang menyejukkan anak. Kata-kata nasihat yang diberikan oleh seorang ibu bagaikan selembut baldu yang akan menjadi hamparan kehidupan.

Siapalah aku tanpamu, ibu
Kosong jiwaku ketiadaanmu
Kemanalah aku tanpamu, ibu
Kesasar arahku kehilanganmu

Memang tidak dinafikan bahawa ajal maut seseorang itu Allah yang menentukan. Apabila telah sampai ajalnya maka tidak lambat sesaat atau tidak cepat walaupun sesaat. Namun kematian adalah sesuatu yang amat mengharukan perasaan apatah lagi jika kematian itu melibatkan orang yang kita sayang.
Seorang anak yang kehiangan seorang ibu tentulah merasa hidup ini bagaikan kosong kerana ibu yang menjadi tempat bergantung harapan dan kasih sayang telah pergi buat selamanya.
Ibarat anak ayam kehilangan ibu, begitulah gambaran seorang anak apabila kematian seorang ibu, apatah lagi jika anak-anak masih kecil. Namun sebagai seorang Islam kita kenalah yakin setiap yang berlaku ada hikmahnya. Kekadang dengan ketiadaan ibu menjadikan anak-anak lebih berdikari dan yakin untuk meneruskan kehidupan. Ramai juga anak-anak yang berjaya dalam hidup walaupun tanpa kasih sayang seorang ibu. Dan ada pula anak-anak yang hiang pedoman walaupun sejak kecil di asuh dan diberikan sepenuh kasih sayang oleh seorang ibu.

Penyair mengakhiri Puisinya dengan kata-kata “Ibu, engkaulah kekasih jiwaku, walau kemana aku pergi, akan ku kenang jasamu, budimu mekar kekal abadi.”

Begitulah gambaran betapa kasih sayangnya penyair terhadap ibunya. Walaupun ibu sudah tiada namun kasih sayang kepada seorang ibu tetap bersemi di hati. Dan sebagai anak sudah sewajarnya kita mengenang jasa seorang ibu. Tanpa ibu kita tidak dilahirkan ke dunia…

KESIMPULAN

8 buah puisi yang menghiasi komuniti Penyair ditujukan khas sempena menyambut hari ibu. Puisi-puisi ini ditulis oleh 8 orang penyair dan walaupun temanya sama namun dihidangkan oleh setiap Penyair dengan cara yang berbeza. Masing-masing dengan gaya sentuhannya.
Bagi penyair wanita dengan sentuhan jiwa halusnya manakala penyair lelaki pula dengan curahan kerinduan dan kasih sayangnya. Kita juga dapat berkongsi perasaan dengan Jokerfac3 yang mana begitulah perasaan anak yang sedang mendapat perhatian dan kasih sayang dari seorang bonda.
Kita juga dapat berkongsi pengalaman dengan Mohd Dahri bagaimana perasaan seorang suami apabila isterinya bergelar seorang ibu. Dan akhir sekali kita dapat berkongsi perasaan dengan Pak Arisel bagaimana perasaan mereka yang sudah kehilangan seorang ibu.
Namun yang pasti setiap penyair melakukan berbagai cara sempena menyambut hari ibu. Kabarnya Alaieffa menjemput ibunya ke rumah dan menghadiahkannya sejambak bunga dan sebuah puisi siap bergambar. Bila puisi itu dibacakan di depan ibunya, dia mengalirkan air mata.
Sri Diah pula memasak bubur kacang seperiuk untuk dimakan di rumah ibunya manakala dia sendiri mendapat hadiah sepasang kasut dari anak-anaknya.
Pak Arisel pula selain menulis sebuah puisi untuk bonda, turut menziarahi pusara bonda dan menghadiahkan bacaan tahlil untuk arwah bonda.
Akhir sekali saya mohon maaf jika tafsiran saya tersasar. Namun sebagai pengulas saya mengulas mengikut kefahaman saya berdasarkan apa yang saya baca. Maafkan saya jika ada salah dan silap. Wassalam.

ABDULLATIP
11.5.2003
(AHAD: 11.45 MALAM).





 

ULASAN SAJAK ABDULLATIP OLEH HASIMAH

Ulasan Sajak Sahabat
SAHABAT

Kita bertemu di sini
tiba - tiba aku rasa gembira
ingin kupetik buah-buah ranum
dari pohon sahabat
Ingin ku cium semerbak harum
dari bunga sahabat

Saban hari ia bertiup padaku
sebab aku rindukan kabar
Senyum itu...memberi arti
Canda itu...melembut jiwa
rasa ini pun menjelma
diriku merasa aman
jiwaku rasa bahagia

kesunyian pasti mengamit jika tidak bertemu
walau cuma di alam mimpi
Tapi aku yakin Ini garis pertama
dan kita tidak boleh melangkah
Kerana takdir kita. adalah
sahabat

Sahabat yang kuharap jadi cermin diri
menegur jika aku silap
membela jika aku salah
dan arti sahabat ini
hingga ke akhirnya.


Pendahuluan:

Dalam ulasan ini saya tidak akan tumpukan kepada aspek bentuk, rima bunyi, asonansi, aliterasi, simile, metafora dsbnya kerana Abdullatip amat arif dalam bidang ini. Saya akan beri perhatian kepada aspek lain. Harap saya diberi kebebasan untuk mengulas sajak “ Sahabat.” Izinkanlah.

Makna setiap rangkap:

Rangkap satu menggambarkan harapan Abdullatip yang menginginkan sahabat yang baik berdasarkan pilihan perkataan “buah-buah ranum, pohon sahabat, semerbak harum, bunga sahabat”. Abdullatip sekarang dalam keadaan gembira kerana mungkin dia berasa hasrat dan cita-citanya dalam pencarian persahabatan akan atau telah ditemuinya.

Rangkap kedua menyatakan bahawa Abdullatip menyukai sahabatnya itu berdasarkan
binaan ayat ini “… aku rindukan khabar, senyum, canda.” Pada akhir rangkap kedua Abdullatip menegaskan bahawa memang dia berasa tenteram, damai, gembira, dan puas dengan sahabatnya itu.

Rangkap ketiga menyentuh tentang kemanisan dalam persahabatan dinikmati kerana Abdullatip akan berasa sepi jika tidak menemui sahabatnya. Dan yang uniknya, pertemuan mereka hanya wujud dalam khayalan, fantasi, dan ilusi sahaja, atau pertemuan itu di alam maya sahaja.
“aku yakin ini garis pertama…” Kurang faham Abdullatip, sorry! (tolong huraikan semasa memberi maklum balas nanti. Ini permintaan saya). Abdullatip menganggap bahawa sudah takdirlah yang menentukan bahawa mereka ialah sahabat.

Rangkap keempat, sekali lagi Abdullatip menyatakan harapannya yang sahabatnya akan membuat teguran jika dia terpesong dalam sebarang tindakan.
“membela jika aku salah” saya kurang “tangkap” bahagian ini kerana saya rasa seperti kurang tepat kalau sesuatu yang salah mesti dibela. Eloklah jika sesuatu yang salah kita betulkan. Abdullatip mengakhiri sajaknya dengan harapan bahawa persahabatan itu akan berkekalan dan berterusan hingga ke akhir hayat.

Perbincangan:

Sdr Abdullatip, saya mengulas tidak berdasarkan teori-teori kritikan kesusasteraan. Bukanlah ini suatu kebanggan. Ini suatu kekurangan yang mesti saya uruskan jika saya mahu serius dalam bidang penulisan ulasan. Walau bagaimanapun, setakat ini teruslah nampaknya saya menulis mengikut gerak hati seikhlas rasa. Di komuniti ini tempat saya belajar-belajar menulis dan kebetulan pula ada galakan daripada sahabat-sahabat semua. Saya tidak suka berpura-pura (orang lain begitu juga saya rasa). Kalau suka saya katakana suka. Kalau tidak suka , dan kalau tidak ada apa-apa keperluan untuk saya nyatakan perasaan “tidak suka”, saya pilih untuk berdiam diri. Jadi di sini saya ingin menegaskan bahawa saya suka perkataan “sahabat.” Sdr menghasilkan sebuah sajak yang berjudul “Sahabat” yang memang mengajak diri saya dengan rela hati untuk mengulasnya.

Sebenarnya pelbagai perkara yang boleh diperkatakan tentang sahabat. Sahabat sinonim dengan perkataan teman, taulan, rakan. Kalau dikatakan sahabat nabi, kita dapat bayangkan nama-nama agung seperti Abu Bakar as-Sidiq, Umar al-Khattab, Uthman Affan, dan Ali ibn Abi Talib. Mereka ini sanggup berbuat apa sahaja untuk mempertahankan keselamatan Nabi s.a.w dan menyebarkan Islam. Kalau dikatakan sahabat pena atau dalam era globalisasi ini disebut sahabat maya bererti sahabat melalui penulisan surat (sahabat pena) dan medium komputer dan internet (sahabat maya).

Personaliti sahabat adalah pelbagai. Ada yang pendiam, pemalu, peramah, suka bergurau, garang, berterus terang, baik hati dsbnya. Jadi lain orang lain pula prioritinya dalam memilih sahabat yang disukai. Bagi Abdullatip saya dapat kesan ciri-ciri orang yang dianggapnya sebagai sahabat : mukanya dihiasi senyuman (tidaklah masam dan muram), suka berjenaka (tidaklah boring sahaja), menegurnya jika dia salah (tidaklah membiarkan sahaja dia berbuat apa sahaja).

Di sini saya cuba turunkan ciri-ciri sahabat pada anggapan saya.(Maaf… saya tidak membuat rujukan kerana mahu menulis seikhlas-ikhlasnya mengikut sukatan ilmu yang sedia ada).
1. Kita gembira, dia gembira (tidak cemburu atau dengki dengan kejayaan kita).
2. Kita susah, dia simpati dan menolong (tidaklah dia lari tinggalkan kita seorang diri).
3. Kita tersilap menyinggung perasaannya, dia maafkan.
4.Kita bahagia, dia tidak ganggu kebahagiaan kita malah dia berusaha untuk menambah kebahagiaan kepada kita.
5.Kita ada kelebihan (kaya, berkedudukan, dll), dia tidak mengambil kesempatan.

Tetapi jangan pula disebabkan sahabat, maka kita asyik minta tolong kepadanya. “Eh… awak tak tolong saya, awak bukan sahabat saya.” Tak acilah macam itu. Pada saya, tidak wajar kita hendak uji sahabat dengan cara hendak pinjam duit misalnya. Seboleh-bolehnya, tidak usahlah kita berkelakuan seperti itu. Jangan susahkan sahabat. Mungkin di sini boleh kita anggap sebagai garis sempadan dalam persahabatan. Kita jaga etikanya.

Menyentuh tentang etika persahabatan, kalau dalam akhbar Berita Minggu misalnya, sering dipaparkan masalah-masalah rumah tangga, termasuklah kisah orang yang pada mulanya mengaku sahabat, selepas itu, dia sanggup pula kebas suami atau isteri sahabatnya. Saya sungguh kesal membaca berita-berita seperti ini, apatah lagi nampaknya kejadian seperti ini semakin berleluasa. Pada saya inilah petanda masyarakat sudah semakin bobrok. Saya amat takut akan kemurkaan Allah. Sudah tentu Allah amat murka dengan perlakuan yang menikam sahabat dari belakang, berpaling tadah, curang, dan tidak setia. Sebenarnya orang yang mengaku sahabat seperti itu ialah seteru yang akan memerangkap kita dalam sangkar sengsara dan kehancuran.

Sebagai orang dewasa, saya rasa kita semua amat mengerti erti sahabat. Tiada harga yang dapat diletakkan untuk sebuah persahabatan. Getaran persahabatan amat mujarad, tidak tersukat. Kita dapat menikmati dan merasainya. Dan jika kita mencapai tahap yakin bahawa “dia” ialah sahabat, kita cukup-cukup rasa terharu dan bersyukur kerana kuasa Allahlah yang mempertemukan kita.

Bagi wanita seperti saya yang telah diikat dengan beberapa “tali” iaitu tali perkahwinan (sehingga ada suami dan 7 orang anak), tali tugas (berkhidmat sebagai guru), tali persaudaraan (tanggungjawab terhadap ibu dan adik-beradik), saya hampir tidak ada masa berkawan-kawan. Maksud saya, pergi bertandang ke rumah kawan, bersembang-sembang dsbnya… kecuali rakan-rakan guru semasa berada di sekolah. Jadi, apabila adanya communityzero ini dan melalui lapangan penulisan, hati saya berkata bahawa saya menemui sahabat-sahabat sejati. Dan pada ketika ini saya berasa amat syahdu,
gembira, terhibur, bersyukur kepada Allah. Saya tidak menyangka sebenarnya dalam usia 45 tahun begini, saya diberi peluang dan kesempatan untuk mempunyai sahabat-sahabat di alam maya. Seperti Tuhan memberi keizinan dan peluang kepada saya untuk menikmati apa yang saya suka.

Saya suka bersunyi-sunyi. Duduk dalam bilik, atas katil, dikelilingi anak-anak dan suami. Saya tidak suka pergaulan luas, lepas, bebas. Ke mana-mana saya pergi, sama ada dengan suami atau anak-anak. Dengan kawan-kawan, jarang. Adalah sekali-sekala ‘hi-tea’ untuk guru /sahabat saya yang pencen. Dan sebenarnya saya tidak merungut. Saya sudah berpuas hati dengan perjalanan hidup seperti ini. Apalah lagi yang dimahukan oleh seorang wanita melainkan ketenteraman dalam berumah tangga. Tetapi apabila ada kesempatan untuk menulis sedikit sebanyak (bukanlah serius pun, main-main saja… mengisi masa yang ada), saya rasa ria ceria penulisan yang beroperasi di rumah, dikelilingi suami dan anak-anak. Saya sungguh gembira dan bersyukur, dan saya seperti Abdullatip juga berharap semoga
“erti sahabat ini
hingga ke akhirnya”

Kesimpulan:

Kalau saya hendak senaraikan nama sahabat-sahabat, bimbang pula jika saya tercicir mana-mana sahabat kita. Memandangkan saya mengulas sajak “sahabat” tulisan sdr, sukacita saya maklumkan bahawa sdr Abdullatip memenuhi kriteria sahabat yang saya maksudkan. Saya harap sdr sudilah menerima saya sebagai sahabat sdr. Biarlah sungai persahabatan yang jernih akan terus mengalir walaupun mungkin hanya di alam maya. Sudah tentulah maksud saya di sini bahawa kita tidak bersahabat berdua sahaja tetapi disertai juga oleh keluarga sdr dan keluarga saya. Allah jua yang maha mengetahui keikhlasan kita. Semoga keikhlasan ini akan terus terpelihara. Sekian ulasan saya. Wassalam.

Hasimah Harun
Kuala Lumpur, 9.5.03



 

ULASAN SAJAK HASIMAH HARON

ULASAN SAJAK “BAHASA GINCU”
KARYA HASIMAH HARUN
TARIKH 29. 04. 2003
WEB PENYAIR
PENGULAS ABDULLATIP.

BAHASA GINCU

Tenggelam dalam asyik
merah gincuku berbekas di bajumu
biar sahaja
pada rekahnya abadi pesona cinta.
Rosak baju putihmu
usah dikesali
kerana pada lembut baju
terukir rahsia kita.
Kau membiarkan
putih bajumu merakam kenangan
yang tidak terucapkan.
Jika timbul ragu akan diriku
berbicaralah dalam bahasa gincu
yang pernah memerahkan putih bajumu.

HASIMAH HARUN
Kuala Lumpur, 29.4.03

PRAKATA

Terlebih dulu saya ingin menampalkan beberapa komen atau riaksi daripada ahli-ahli komuniti terhadap Sajak “BAHASA GINCU” karya Hasimah Harun.

has1mah
Apr-30-2003 5:15 PM
sdr abdullatip, sdrlah sebenarnya beri idea kpd saya utk tulis "bhs gincu" semasa sdr tanya saya ttg hadiah utk diberikan kpd isteri sdr pd 2 mei nanti.


-halisasayangku-
Apr-30-2003 12:12 PM
Tahniah untuk Dr. Irwan dan Cikgu Hasimah. Semoga bertambah jalinan cinta dan berkekalan kasih sayang yang tercipta sehingga selama-lamanya. Hanya dari jauh saya mengutus doa.


mshukrinasiar
Apr-30-2003 3:35 AM
Syabas buat Bahasa Gincu, jangan mainkan irama yang amat mengharukan itu..., jangan lupa Beritahu Dia untuk memakai baju berwarna putih





Abdullatip

Apr-30-2003 8:37 AM
Sdr hasimah, luahan hati sdr sungguh syahdu dan mempesonakan. Beritahu dia jangan menolak rezeki dan berpegang teguh dengan sandaran sumpahNya.



nahkoda
May-1-2003 1:01 AM
sdr has1mah...amboiiii, merah gincunya mak ngah...alahai, baju siapa yang putih kena gincu 'dia', pesan jangan menolak Rezeki...lagipun itulah Sandaran SumpahNYA....hahah, gincu jenama apa iya...Maybelline atau Avon...kehkehkeh...lagunya pun semacam aje...syahdu wei, syabas cikgu!


Sarennande



Apr-30-2003 1:24 AM
Cikgu hasimah, denyut degup bahasa gincu menusuk dada. Irama pun merdu, saya terharu. Kayanya kata-kata kita, indahnya bahasa kita... anda hebat!







alaieffa
Apr-30-2003 12:44 AM
Sdri.."BAHASA GINCU" amat terharu saya membaca nya sebab ianya membawakan satu nostalgia yang mengusik jiwa dan membawa bahagia .. lagu iringan juga adalah kesukaan saya .. selalu mendendangkan lagu itu jika ada majlis karaoke .. hmm ini buat saya nak mendekati abg yang dah lena tu ha .. hehehehe nak picit2 dan nak garu2 serta usap2 dia... faham ekkk


ULASAN SAJAK BAHASA GINCU

Ciri-ciri yang wajar ada pada sesebuah sajak ialah isi yang baik, bahasa yang baik dan teknik /gaya yang baik. Kerana itu puisi didefinasikan sebagai kata-kata terbaik dalam susunan terbaik.

ISI

Sajak bertemakan cinta selalu diperkatakan sejak dahulu tapi apa yang menariknya bila ada sesuatu yang baru dari kisah percintaan tersebut.

Sajak Bahasa Gincu menceritakan kenangan manis Hasimah
Yang pernah memerahkan baju kekasihnya dengan gincu. Ini dijelaskannya dengan kata-kata berikut:

“ Merah Gincuku Berbekas di bajumu”

Ayat tersebut menjelaskan kepada pembaca bahawa peristiwa “Merah Gincuku Berbekas di Bajumu” itu merupakan kenangan paling manis bagi Hasimah. Peristiwa itu juga membuktikan kejujuran orang yang dikasihinya atau dengan arti kata lain membuktikan cinta sejati mereka.
Peristiwa memerahkan baju kekasih dengan Gincu samaada disengaja atau tidak sengaja biasa berlaku kepada pasangan kekasih yang sedang dilamun asmara. Namun untuk merakamkannya dalam bentuk sajak tidak ramai yang berkebolehan melakukannya. Hanya Penyajak berbakat besar sahaja dapat menyatakan sesuatu yang kecil menjadi besar.

Inilah kelebihan penyajak sepertima mana kata Albert Camus “ Sebagai seorang seniman kita akan mempengaruhi santun bahasa kita. Dan kalau tidak melalui bahasa, lalu seniman apa namanya kita?”


TEKNIK

Bahasa Gincu sajak bebas yang mengandungi 14 baris dengan gaya bahasa dan teknik persajakan yang sungguh meyakinkan.

Dalam persajakan melayu moden wujud Line Of Demarcation) yang mengasingkan sajak polos (diaphanous) dan sajak taksa (ambiguous).

Sajak polos dimulakan oleh Muhammad Yassin Makmur kemudian diteruskan oleh Usman Awang dan penyair yang seangkatan dengannya. Manakala sajak taksa dipelopori oleh Noor S.I dan diteruskan oleh A. Latiff Mohidin dan penyair yang seangkatan dengannya.

Namun perkembangan dunia penyair tidak berhenti setakat itu sahaja kerana jiwa penyair suka kepada perubahan dan pembaharuan. Manusia penyair yang sifatnya tidak pernah puas untuk mencipta terus melakukan berbagai percubaan.

Maka muncul pula sajak yang ketiga iaitu campuran sajak polos dengan sajak taksa atau lebih tepat memadukan kepolosan dengan ketaksaan. Antara penyair yang mempelopori sajak ini ialah Rahman Shaari dan penyajak yang seangkatan dengannya. Malah sajak jenis bebas, santai dan bersahaja ini amat digemari oleh penyajak masa kini.

Walau bagaimanapun, mutu sesebuah sajak bukan bergantung kepada teknik yang digunakan oleh penyair kerana terbukti kesemua teknik tersebut telah pun diakui oleh umum.

Sajak Usman Awang seperti “Duri Dan Api, Ke Makam Bonda” dan sebagainya masih popular hingga sekarang walaupun tergolong sajak polos. Begitu juga dengan sajak-sajak A.Latiff Mohidin seperti “Sungai Mekong.”,masih dianggap antara sajak-sajak yang bermutu walaupun tergolong sajak taksa.

Dan sajak BAHASA GINCU karya Hasimah Harun adalah campuran antara polos dengan taksa. Kalau sajak Usman Awang terdapat kata-kata “Akan Kupetik Bintang Kejora Buat Keronsang Baju Tidurmu” maka dalam sajak Hasimah pula terdapat kata-kata “ Merah Gincuku Berbekas Di bajumu”.

BAHASA


Bahasa yang digunakan oleh Hasimah dalam sajak Bahasa Gincu mengandungi makna yang berlapis-lapis. Selepas membacanya Saya terkesan ada tiga lapis makna dalam sajak ini. Malah tajuknya “Bahasa Gincu” juga membawa lebih dari satu makna.

Tidak dapat dinafikan bahawa keindahan sesebuah sajak bergantung kepada bahasa yang digunakan oleh penyajak. Namun jika bahasa yang digunakan terlalu bombastik atau terlalu berbunga-bunga untuk menceritakan sesuatu yang remeh temeh maka akan hilang keindahan sajak tersebut.

Begitu juga kalau penyair ingin menyampaikan persoalan yang besar atau penting dengan menggunakan bahasa yang kering dan hambar maka akan hilanglah keindahannya.

Keindahan Sajak BAHASA GINCU kerana bahasanya lembut, lancar dan segar. Walaupun temanya cuma kisah cinta yang berkait dengan gincu dan baju putih namun gaya romantis sajak ini memberikan kita perspektif baru tentang kejujuran sebuah cinta.

METAFORA

Metafora ialah lambang-lambang yang menarik untuk menghidupkan imaginasi. Dalam pengucapan puisi,Penyair begitu akrab dengan metafora kerana fungsinya ntuk melahirkan kiasan dan analogi. Barangkali inilah keistimewaan penyair kerana berupaya mencari persamaan dalam hal-hal yang kelihatan berbeza pada pandangan mata kasar.

Hasimah berjaya menampilkan beberapa metafora dalam sajak Bahasa Gincu. Antaranya:

Merah gincuku berbekas di bajumu
Rosak baju putihmu
Baju putihmu merakam kenangan
Berbicaralah dalam bahasa gincu

Ayat-ayat tersebut tidak boleh dikatakan bombastik ataupun klise kerana antara sifat metafora ialah memperbandingkan dua hal yang tidak mungkin.

SAMILI

Selain metafora, Hasimah juga menggunakan juga unsur-unsur samili untuk memberi keseimbangan pada sajaknya. Contohnya:

Terukir rahsia kita
Tenggelam dalam asyik
Pada rekahan abadi pesona cinta
Berbicaralah dalam bahasa gincu


PENGGUNAAN VOKAL

Penggunaan vokal penting dalam sajak atau puisi kerana ia boleh mempengaruhi emosi pembaca. Penggunaan vokal “U” dan “A” oleh Hasimah dalam sajaknya memberi rasa syahdu apabila membacanya. Contohnya

Merah gincuku berbekas di bajumu
Rosak baju putihmu
Jika timbul ragu akan diriku

MENTAFSIR MAKNA YANG TERSIRAT

Pada awal ulasan tadi saya katakan ada makna berlapis-lapis dalam sajak Bahasa Gincu.

Secara logikanya Gincu tidak boleh mengucapkan kata-kata kerana lidahlah yang berhak untuk melafaskannya. Namun gincu boleh berbahasa kerana ia dicipta untuk menghiasi rekahan bibir. Dalam hal ini Kita biasa mendengar “Bahasa Isyarat”, “Bahasa Cinta” “Bahasa Anggota” “Bahasa Kerlipan Mata” “Bahasa Pergerakan Bibir” dan sebagainya.

Biasanya apabila lelaki memandang wanita, tempat yang menjadi tumpuannya ialah bahagian mulut. Mulut yang cantik dihiasi bibir yang menarik bagai ulas limau akan memukau perhatian lelaki, apatah lagi kalau dihias dengan gincu. Kerana itu logik Hasimah mencipta istilah “Bahasa Gincu.”

Hasimah mendapat idea menulis sajak ini apabila saya bertanya apakah hadiah yang paling disukai oleh seorang isteri di hari ulangtahun perkahwinannya. Hasimah mencadangkan Gincu kerana itulah hadiah yang paling bermakna buat dirinya. Dan saya bersetuju kerana Gincu satu-satunya hadiah yang belum pernah saya berikan.

Dari segi Saikologi, seseorang wanita begincu untuk menambah keyakinan dirinya. Contohnya, apabila seorang wanita hendak bertemu kekasihnya maka dia bergincu supaya kelihatan lebih cantik.

Namun ada juga berpendapat, wanita tanpa gincu adalah wanita yang mempunyai keyakinan diri…

Tenggelam dalam asyik
merah gincuku berbekas di bajumu

Ada dua perkataan yang menjadi tumpuan ulasan saya pada ayat ini iaitu “asyik” dan “bajumu”. Ayat tersebut bolehlah di lengkapkan begini;

Masihkah kau ingat semasa kita sedang (TENGGELAM DALAM) alam percintaan yang sungguh meng(ASYIK)kan, hingga tidak ku sedari (MERAH GINCU) di bibir(KU) telah (BERBEKAS DI BAJUMU).

Sajak itu menggambarkan bahawa peristiwa itu berlaku semasa Hasimah sedang bercinta dengan kekasihnya (sekarang kekasih sudah menjadi suami ).Saya beranggapan begitu kerana hanya orang yang sedang bercinta sahaja boleh tertinggal gincu di bibir, di baju kekasihnya. Suami isteri jarang berlaku kerana semasa dilamun gelombang asmara mereka ibarat bayi dilahirkan.

Bercakap pasal Bahasa Gincu, saya teringat satu kisah benar yang berlaku kepada seorang kawan saya (bukan Zainallasim) yang sudah beristeri dan mempunyai anak tetapi mengaku bujang kepada teman wanitanya. Namun wanita yang bijak itu dapat
memberi pengajaran kepada lelaki itu dengan sengaja meninggalkan bekas gincu pada bahagian belakang baju orang yang nakal itu. Akibatnya “Bahasa Gincu” telah berjaya mencetuskan perang dunia…

Namun Hasimah bernasib baik kerana mendapat seorang lelaki yang jujur. Walaupun gincu di bibirnya berbekas di baju namun tidak mendatangkan malapetaka sebaliknya mendatangkan rasa bahagia. Ini tergambar apabila penyair mengungkapkan kata-kata berikut:

Biar sahaja
pada rekahnya
abadi pesona cinta

Atau dalam ayat lengkapnya lebih kurang begini:

Kekasih ku berkata, (BIAR) kan (SAHAJA) gincu bibir mu berbekas di bajuku. Kerana bagiku (PADA REKAHNYA) di bibirmu adalah menjadi lambang (ABADI) nya (PESONA CINTA ) kita.

Rosak baju putihmu
usah dikesali
kerana pada lembut baju
terukir rahsia kita.

Kalau “BAJU PUTIHMU” itu dimaksudkan sebagai baju berwarna putih yang dipakai oleh kekasih, maka adakah ayat “ROSAK” itu sesuai digunakan?. Rosak biasa digunakan kepada kereta, rumah atau sebagainya. Bila warna gincu berbekas di baju apakah ayat
“ROSAK” sesuai digunakan?.

Pada saya ada tiga (3) tafsiran makna ROSAK BAJU PUTIHMU itu. Tafsiran pertama, baju putih memang telah dianggap rosak dan tidak akan dipakai lagi oleh kekasih. Sebaliknya baju itu akan disimpan dalam almari khas sebagai tanda kenangan manis percintaan mereka.

Ini dijelaskan oleh Hasimah di ayat seterusnya KERANA PADA LEMBUT BAJU, TERUKIR RAHSIA KITA.

Kalaulah baju putih berbekas gincu itu benar-benar wujud dan masih ada dalam simpanan, alangkah bahagianya pasangan suami isteri ini.

Kau membiarkan
putih bajumu merakam kenangan
yang tidak terucapkan.

Ayat ini memberi harapan baju putih berbekas gincu itu memang wujud dan masih tersimpan sebagai tanda kenangan. Mungkin dari seribu orang lelaki,hanya satu sahaja yang dapat menyimpan baju yang terkena gincu kekasihnya. Atau lebih tepat lagi hanya kekasih awal dan akhir sahaja yang mampu melakukannya.

Tafsiran kedua saya, baju putih itu sebagai lambang cinta sejati kekasih Hasimah kerana lelaki itu belum pernah menyintai orang lain. Cintanya kepada Hasimah umpama kain putih yang belum diwarnai oleh wanita lain, atau hanya Hasimah sahaja yang berjaya mencemarkan “baju putih” kekasihnya.

Tafsiran saya yang ketiga (3) merah gincu itu lambang keperawanan dan baju putih itu lambang keterunaan.Dengan arti kata yang lain “ DARA DAN TERUNA “ itu menjadi lambang keagongan cinta mereka.

Cuba kita hayati ayat seterusnya yang menjadi penutup sajak ini;

Jika timbul ragu akan diriku
berbicaralah dalam bahasa gincu
yang pernah memerahkan putih bajumu.

Ayat pada rangkap ini membuktikan bahawa Cinta Hasimah hanya untuk suaminya sahaja. Tidak ada orang ketiga dalam hidupnya atau lebih tepat bahasa sekarang tidak terlibat dengan cinta tiga segi.

Hasimah juga ingin meyakinkan suaminya bahawa janganlah merasa ragu-ragu dengan kesetiaannya kerana cintanya hanya untuk suami yang tersayang sahaja.

Tulisan Hasimah di bawah ini membuktikan betapa kukuhnya kasih sayang mereka.

medium percintaan saya pada tahun 1979 adalah melalui surat (banyak) dan telefon (sedikit).

Sebaik-baik sahaja kami berkahwin, aktiviti bersama yang kami lakukan ialah kami bakar semua surat kerana segala kenangan telah bersebati di dalam jiwa. Lepas itu, kami menyesal kerana sepatutnya kami pilih-pilih untuk disimpan dan musnahkan yang “over” sahaja. Hee…sayangnya. Itulah akibat terlalu tidak mahu orang tahu rahsia.

Jarang-jarang sekali, saya menanggung rindu akibat berjauhan jika suami berseminar di luar negara. Tidak pernah lama sebenarnya, sama ada 2—3 hari atau 1 minggu paling lama. Pada tahun 1990 itu, saya sudah mempunyai 5 orang cahaya mata berusia 9 tahun, 8 tahun, 6 tahun, 4 tahun, dan 2 tahun. Memang gelisah hidup tanpa suami. Maklumlah menguruskan anak-anak yang masih kecil seorang diri. Penat cukup terasa, apatah lagi saya sendiri bekerja. Tabiat saya pula memang mudah menitiskan air mata. Gembira saya menangis, kalau sedih lagi saya menangis. Oleh itu, apabila saya terbaca sajak “Surat-surat”, saya “disedarkan” bahawa suami juga menderita jika terpaksa berpisah dengan isteri. Apabila hari makin lewat, wajah anak, wajah isteri akan bermain-main di ruang mata. Dari jauh seorang suami yang penyayang tetap menunjukkan simpatinya terhadap isterinya yang gelisah dalam penantian. Ketika terpisah begini, suami terbayangkan isterinya yang berkorban masa dan tenaga menguruskan makan pakainya. Isterilah tempat bermanja, bergurau senda, berkongsi cerita, merajuk dsbnya. Hal ini mengingatkan saya tentang sajak Drirwan “Rindu Sunyi” yang ditulisnya sewaktu berada di Jakarta buat beberapa hari.

KESIMPULAN

Walaupun sajak “BAHASA GINCU” ideanya datang secara spontan iaitu selepas saya bertanyakan hadiah yang paling berarti buat seorang isteri, namun sajak ini berjaya meninggalkan kesan sekaligus berjaya mengembalikan kenangan manis masa silam.

Saya dapati HASIMAH HARUN semakin matang dalam menghasilkan sajak. Nampak keyakinan dirinya untuk terus berkecimpung di alam dunia penyair. Bahasa yang diguna pakai semakin cantik dan bertenaga. Dan ini diakui juga oleh beberapa penulis di komuniti ini termasuk Sri Diah.

Sekiranya:
1) Baju putih berbekas gincu masih tersimpan
2) Percintaan mereka merupakan kekasih awal dan akhir
3) Teruna dan Dara hanya di temukan selepas di ijab kabul

Mereka adalah pasangan yang paling bahagia.

Hasimah dan suami kesayangannya baru sahaja menyambut hari ulangtahun perkahwinan yang ke 23. Kita doakan semoga pasangan bahagia ini terus mengecap bahagia serta mendapat rahmat dan hidayat daripada Allah SWT. Amin.

Sekian wassalam.


Abdullatip
02. 05. 03


 

ULASAN SAJAK HASIMAH

ULASAN PUISI “ AKU, ABDULLAH POGADAEV, DAN RAFFLES”
KARYA : HASIMAH HARUN
TARIKH TERSIAR : 19/4/2003
WEB : PENYAIR
PENGULAS : ABDULLATIP

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------

AKU, ABDULLAH POGADAEV, DAN RAFFLES

Mahu kutulis puisi
dalam bahasa yang dia tidak mengerti
agar di dalamnya dapat kusembunyi
suatu luka bangsa
yang terus meminggir bahasa sendiri

Sedangkan dia berkelana ke mari
mengangkat khazanah bahasaku
dengan indah kata, indah rasa

Keringlah kesedihan
jangan kaubasahi kertas tulisku
tidakkan mampu kaubasuh
ego yang terus bernafsu
menyiat daging bahasa
dengan taring bisa
bagaimana mahu kujelaskan
jika Tuan Raffles bertanya
"Kenapa kaubiarkan
mereka memijak-mijak kedewasaan bahasa sendiri
bukankah sudah aku amanahkan
kau menobat bahasamu ke taraf dunia"

Aku hilang kata-kata
untuk menjawabnya
kalau mungkin aku bicara
tentang suatu luka bangsa
akan aku lakukan
dalam bahasa yang tidak difahaminya
buat melindungi malu
tapi ini saja milikku
bahasa Melayu
yang kata mereka
masa depannya sudah tiada.
Hasimah Harun,
Kuala Lumpur, 19.04.2003.

PENDAHULUAN

Keindahan rasa seni sebuah sajak atau puisi bergantung kepada kebijaksanaan penyair menyampaikan sesuatu kesan kepada pembaca. Dalam perkara ini ketajaman daya renung dan sensiviti penyair amatlah diperlukan.

Sajak AKU, ABDULLAH POGADAEV, DAN RAFFLES menarik kerana ia membawa satu persoalan yang cukup besar mengenai masa depan bahasa melayu di negara kita Malaysia. Sedangkan di negara jiran kita Indonesia dan Brunei, Bahasa Melayu lebih terjamin masa depannya.

Di Indonesia, mereka mempelajari Bahasa Inggeris cuma untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tetapi Bahasa Melayu tetap mendapat tempat yang istimewa di kalangan mereka. Para pemimpin, cendikiawan, ahli akademik dan sebagainya, mereka lebih suka bercakap Bahasa Melayu Indonesia berbanding Bahasa Inggeris.

Begitu juga di Brunei Darussalam, Bahasa Melayu tetap terpelihara walaupun Bahasa Inggeris menjadi bahasa utama. Malah di kebanyakan tempat Bahasa Melayu lebih di utamakan daripada Bahasa Inggeris. Malah tulisan jawi yang hampir pupus di negara kita mendapat tempat yang istimewa di negara Brunei. { tanyalah Alaieffa)

Persoalan yang dikemukakan oleh Penyair Puan Hasimah Harun melalui puisinya Aku, Abdullah Pogadaev, dan Raffles ialah Bahasa Melayu semakin terpinggir di negara kita Malaysia akibat adanya golongan yang memuja bahasa Inggeris dan memandang rendah kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu atau dalam bahasa yang lebih tepat “ Mereka tidak cintakan Bahasa Melayu.”

Memang benar Bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu yang perlu dipelajari namun sikap menganak tirikan atau meminggirkan Bahasa Melayu itulah yang dikesalkan.

Walaupun berbagai usaha yang mereka lakukan kononnya untuk menjaga kepentingan Bahasa Melayu namun kebanyakan keputusan yang mereka buat ibarat “Tikus Membaiki Labu”. Meminjam Istilah yang digunakan oleh Profesor DiRaja Ungku Aziz ketika diwawancara oleh sebuah akhbar arus perdana berkaitan arahan pihak atasan supaya mata pelajaran Matematik dan sains di ajar dalam bahasa Inggeris.

Persoalan Bahasa Melayu dipinggirkan ini bukan sahaja menarik perhatian ahli politik tetapi juga menarik perhatian ahli akademik seperti Pak Ungku Aziz, Nik Safiah Karim termasuk Cikgu Hasimah, seorang pendidik, seorang penyair dan isteri kepada seorang pejuang bahasa.

Ibarat menjolok sarang tebuan maka berterbanganlah “ Tebuan-Tebuan” yang selama ini berdiam diri dalam sarangnya. Walaupun sengatan tebuan tidak mematikan yang menjolok namun sedikit sebanyak telah berjaya melebam birukan muka “Penjolok” kerana setakat itu sahaja kemampuan “ Sang Tebuan.”

ULASAN

AKU, ABDULLAH POGADAEV, DAN RAFFLES

Judul atau tajuk sesebuah puisi amat penting kerana ia bukan sahaja untuk menarik perhatian pembaca malah ada kaitan dengan mesej yang hendak disampaikan. Dalam perkara ini, amat jarang penyair meletakkan nama seseorang pada tajuk puisinya kecuali atas maksud tertentu.

Nama Raffles memang sudah dikenal ramai terutama di kalangan ahli sastera dan ahli sejarah kerana nama itu ada kaitan dengan pengumpulan manuskrip melayu lama dan sejarah penjajahan Inggeris di negeri-negeri Melayu.

Walaupun ada yang menganggap musnahnya manuskrip melayu lama itu berpunca dari Raffles , kerana kapal yang membawanya terbakar dan tenggelam, namun usaha beliau mengumpulkan manuskrip itu tetap di ingati.

Abdullah Pogadaev pula ialah nama kepada Dr. Victor Pogadaev berasal dari Rusia dan kini menjadi pensyarah bahasa dan budaya Rusia di Universiti Malaya. Nama Abdullah Pogadaev di rakamkan oleh penyair kerana sumbangannya terhadap kesusasteraan Melayu terkini dengan menterjemahkan puisi-puisi yang ditulis oleh penulis Merlayu ke Bahasa Rusia. Selain itu Abdullah Pogadaev juga berkebolehan menulis sajak dalam bahasa Melayu. Sajak Dr Victor Pogadaev berserta ulasannya pernah tersiar di komuniti Penyair.

Siapakah pula Aku?. Pada anggapan saya, Aku bukan milik Hasimah seorang. Aku adalah pembaca sajak ini. Kalau judulnya HASIMAH, ABDULLAH POGADAEV DAN RAFFLES maka barulah aku itu milik Hasimah seorang. Aku itu menjadikan pembaca merasa dirinya terlibat dengan persoalan yang ingin diperkatakan oleh penyair. Dengan arti kata lain penyair berjaya mengajak pembaca supaya merasa dirinya terlibat dengan persoalan yang dikemukakan.

Melalui Sajak AAPDR Penyair melahirkan rasa kekecewaannya mengenai nasib Bahasa Melayu yang semakin terpinggir di tanah air sendiri. Perasaan yang sedemikian bukan sahaja di rasai oleh penyair tetapi juga oleh semua pencinta bahasa terlebih lagi penggiat sastera melayu. Mereka merasa amat kecewa kerana pihak yang diharapkan memperkasakan Bahasa Melayu telah melakukan sesuatu yang boleh melemahkan Bahasa Melayu.

Kita bimbang Bahasa Melayu akan menerima nasib yang sama seperti tulisan jawi yang kini hampir pupus. Usaha memupuskan tulisan jawi bermula kira-kira 30 tahun yang lalu bilamana mata pelajaran jawi tidak lagi di ajar di sekolah rendah dan kesannya dirasai sekarang. Anak-anak muda malah orang tua juga ramai yang buta jawi, surat kabar jawi yang dulunya menjadi kebanggaan orang Melayu kini cuma terbit seminggu sekali sahaja.

Mahu kutulis puisi
dalam bahasa yang dia tidak mengerti
agar di dalamnya dapat kusembunyi
suatu luka bangsa
yang terus meminggir bahasa sendiri

Agaknya lebih kurang beginilah sajak yang hendak ditulis oleh penyair. Tajuk sajak ini PAK PANDIR dan ia tidak ada kena mengena dengan yang hidup / mati.

PAK PANDIR

Bila bulan mengambang
Pak Pandir akan terjun dengan parang kontotnya
Mari kita bertepuk tangan
Biarkan-biarkan
berambuslah hang…

Bila bulan di pagar bintang
Pak Pandir tenggelam bersama labu dan labinya
Mari kita memukul gendang
Rasakan-rasakan
mampuslah hang…

Bila Pak Pandir tinggal nama
Kita buka gelanggang baru
Kita nobatkan Bahasa Melayu…
Senyumlah sayangku….

Bagi Penyair usaha untuk meminggirkan Bahasa Melayu samalah seperti melukakan Bangsa Melayu. Cuma mereka yang “ buta mata hati” sahaja yang sanggup bersekongkol dengan penghianat bahasa. Mungkin bahasa ini terlalu kasar tapi apakah bahasa yang sesuai digunakan untuk mereka?.

Lebih melukakan hati bila mereka yang memandang dingin bahasa Melayu itu terdiri daripada tokoh-tokoh yang disanjung oleh rakyat. Mungkin tidak lama lagi Askar Melayu, Kereta Api Tanah Melayu dan Baju Melayu yang menjadi kebanggaan Bangsa Melayu kini akan hilang nama melayunya.

Satu lagi kelebihan orang Melayu ialah kefasihan lidahnya, kerana itu ada yang suka berbahasa Inggeris lebih Inggeris dari Inggeris. Kerana itu alangkah gembiranya hati kita jika ada pemimpin kesayangan kita berucap di Majlis Perhimpunan Agong Bangsa-Bangsa Bersatu menggunakan Bahasa Melayu seperti yang dilakukan oleh Pemimpin German, Rusia dan lain-lain yang menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri.

Sedangkan dia berkelana ke mari
mengangkat khazanah bahasaku
dengan indah kata, indah rasa

Yang dimaksudkan oleh Penyair, dia berkelana ke mari, mengangkat khazanah bangsaku dengan indah kata dan indah rasa itu ialah Abdullah Pogadaev.

Kehadiran Abdullah Pogadaev di negara kita amat berarti kepada Penyair kerana beliau telah menterjemahkan puisi-puisi Melayu ke bahasa Rusia. Selain itu Abdullah Pogadaev juga menulis puisi dalam Bahasa Melayu dan keindahan bahasa “Kemelayuannya” setanding dengan penyair tempatan.

Abdullah Pogadaev juga menyedarkan kita bahawa negara Rusia yang menjadi kuasa bersar dunia yang memiliki teknologi canggih boleh bermegah tanpa menggunakan bahasa Inggeris. Selain Rusia, Perancis, German, dan Jepun juga boleh maju dan berkembang ilmu pengetahuan mereka walaupun tidak mengagongan Bahasa Inggeris.

Sebaliknya India yang sejak merdeka menjadikan bahasa Inggeris bahasa utama mereka, masih dianggap negara mundur hingga sekarang. Kerana itu sejauh manakah dakwaan yang mengatakan jika negara kita hendak maju mestilah menggunakan Bahasa Inggeris?.

Keringlah kesedihan
jangan kaubasahi kertas tulisku

Penyair merasa keringlah sudah airmata kesediahnnya melihat Bahasa Melayu masih dipandang sepi di negara sendiri. Kerana itu Penyair tidak mahu kesedihan itu berambah parah apabila semakin banyak usaha dibuat untuk meminggirkan Bahasa Melayu.

Seperti mana yang kita maklum, negara kita telah mencapai kemerdekaan hampir 50 tahun. Dalam perlembagaan negara Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Tetapi jika pelajaran yang terpenting di sekolah pun tidak di ajar dalam Bahasa Melayu, logo atau papan kenyataan di kedai dan di tepi jalan tidak di wajibkan menggunakan Bahasa Melayu malah surat perjanjian pinjaman Bank pun tidak dalam Bahasa Melayu, dan mereka lebih suka bercakap bahasa Inggeris dari Bahasa Melayu, apalah artinya Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita?. Benarlah kata Penyair bahasa Melayu telah terpinggir sejak merdeka…

tidakkan mampu kaubasuh
ego yang terus bernafsu
menyiat daging bahasa
dengan taring bisa

Penyair sedar jerit pekik tangis rayu pencinta bahasa tidak mampu mengatasi rasa ego mereka. Malah dengan kuasa yang ada mereka boleh berbuat apa sahaja. Dan keputusan “Carca Murba” yang dibuat oleh mereka hanya akan merugikan Bahasa Melayu dalam jangka masa panjang.

Kerana itu ramai yang merasa kurang senang bila matapelajaran Matematik dan Sains di ajar dalam Bahasa Inggeris bermula di sekolah rendah. Seperti mana yang kita maklum kedua mata pelajaran itu merupakan yang terpenting dan menjadi keutamaan pelajar. Mata pelajaran Sains pula merangkumi banyak bidang seperti kimia, bioloji, kajihayat dan sebagainya. Kerana itu ramai yang mempersoalkan, kalaulah mata pelajaran yang penting itu di ajar dalam Bahasa Inggeris di mana kedudukan Bahasa Melayu di mata pelajar kita?.

Jangan terkejut jika tidak lama lagi ada cadangan supaya Mata Pelajaran Sastera di sekolah dan Universiti di mansuhkan kerana bidang tersebut di katakan tidak membantu membangunan negara.

bagaimana mahu kujelaskan
jika Tuan Raffles bertanya
"Kenapa kaubiarkan
mereka memijak-mijak kedewasaan bahasa sendiri
bukankah sudah aku amanahkan
kau menobat bahasamu ke taraf dunia"

Penyair yang mempunyai rasa harga diri merasa malu dengan nasib yang menimpa bahasanya sendiri. Bagaimanakah slogan
“ Bahasa Jiwa Bangsa” itu hendak diterapkan kepada anak-anak bangsa jika bahasa Melayu dipinggirkan?.

Penyair mengandaikan jika Tuan Raffles bangkit semula dari kuburnya dia akan bertanya kenapakah para sasterawan, ilmuan dan cendikiawan melayu berdiam diri bila Bahasa Melayu di anak titrikan?. Tuan Raffles tentu bertanya, kemanakah menghilangnya Abdullah Munsyi / Munsyi Abdullah yang diasuhnya dulu?. Sudah tumpulkah pena Tun Seri Lanang?. Sudah kelukah lidah Pendeta Za’aba?.

Aku hilang kata-kata
untuk menjawabnya
kalau mungkin aku bicara
tentang suatu luka bangsa
akan aku lakukan
dalam bahasa yang tidak difahaminya
buat melindungi malu

Penyair seolah sudah kehilangan kata-kata untuk menjawab pertanyaan tersebut ibarat “ Anjing menyalak bukit “ atau “ Anjing menggonggong namun Kabilah terus berlalu.”

Hanya yang mampu dilakukan oleh penyair ialah menyatakan rasa hatinya dalam bentuk puisi. walaupu bahasa puisi tidak difahami oleh mereka tetapi itulah kemampuan Penyair.

tapi ini saja milikku
bahasa Melayu
yang kata mereka
masa depannya sudah tiada.

Bagi Penyair Bahasa Melayu tetap menjadi bahasa kesayangannya Kerana bahasa itu diwarisinya sejak turun temurun. Walau pun mereka bersikap dingin dan memandang serong terhadap Bahasa Melayu namun Penyair tetap merasa bangga kerana dia masih punya Bahasa.

KESIMPULAN

Penyair melalui puisi AKU, ABDULLAH POGADAEV, DAN RAFFLES, berjaya menyampaikan mesejnya kepada pembaca. Dan pembaca merasa turut terlibat dengan persoalan yang dikemuka-
kan.

Penyair tidak mementingkan unsur bunyi baik aliterasi dan asonansi serta bunyi rima kerana lebih menumpukan kepada persoalan yang ingin di sogok dan di sorotnya. Walaupun begitu masih terdapat bait-bait yang masih di kawal bunyi rimanya seperti rangkap pertama:.

1: ……… .puisi
2:……….. mengerti
3…………sembunyi
4:………. bangsa
5:…………sendiri

Dan pada rangkap akhir:
21:…….kata-kata
22:…….menjawabnya
23:…….bicara
24:…….bangsa
25:…….lakukan
26:…….difahaminya
27:…….malu
28:…….milikku
29:…….Melayu
30:…….mereka
31……. tiada.

Dari segi struktur sajak ini tidak terikat dengan bentuk puisi tradisional seperti pantut atau syair. Gayanya dibuat dalam bentuk bebas dengan jumlah baris tidak sama dalam setiap rangkap. Ini sesuai dengan perkembangan penciptaan Puisi mutakhir (contemporary).

Cuma puisi ini terasa agak panjang mengandungi 31 baris. Walaupun begitu kepanjangannya tidak mencacatkan puisi ini kerana Penyair berjaya mengatur Puisi ini dari awal hingga akhir dengan suatu urutan atau sekuen yang baik. Dan pada akhir Puisi ini Penyair berjaya menghadiahkan kata-kata yang pada saya cukup berkesan sehingga kalau di hayati boleh meremangkan bulu roma.

bahasa Melayu
yang kata mereka
masa depannya sudah tiada.

Selain itu Penyair juga penggunaan metafora atau perlambangan seperti:

Taring bisa
Daging bahasa

Sebelum mengakhiri ulasan ini saya turunkan sebuah puisi oleh Irwan Abu bakar untuk dijadikan renungan bersama.

Sejarah Orang Melayu.

Sejarah orang Melayu
Bukan hanya berkisar
Pada

 Tuah penjunjung titah

Sejarah orang Melayu
Di rencahi

 Jebat yang menyanggah
 Mahsuri yang meludah sumpah
 Seri Rama yang melembing sultan diperjulangan


Apabila dizalimi orang Melayu sentiasa

 bangun
 bermandi merah darah
 mewarnai sejarah

oleh : Irwan Abu bakar
Dewan Sastera Julai 1999.


Abdullatip
20/4/2003.



 

ULASAN SAJAK SANDARAN SUMPAHNYA

ULASAN SAJAK : SANDARAN SUMPAHNYA
HASIL KARYA : DR.IRWAN ABU BAKAR
TARIKH : 14/4/2003
WEB : PENYAIR
PENGULAS : ABDULLATIP
------------------------------------------------------------------------------


SANDARAN SUMPAHNYA
Aku melangkah yakin dan pasti
menoleh bukan tabiat diri
yang awas berjalan seiring
yang cuai tinggal.
Aku melangkah yakin dan pasti
tak mungkin kaupintas dengan kaki
yang dapat memintas hanyalah akal
yang cekap dan cekal.
Padaku tersandar sumpah-Nya
tentu rugi engkau
kecuali padamu ada percaya
ada amal
ada nasihat.
Irwan Abu Bakar
Kuala Lumpur, 14.04.2003


PENDAHULUAN

Apabila menatap sebuah puisi atau sajak berarti kita sedang masuk ke sebuah dunia bahasa yang agak asing dari bahasa harian yang kita gunakan. Keterasingan itulah yang membuatkan kita merasa seronok kerana sajak itu disusun dengan bahasa yang indah, pemilihan kata-kata yang padat dan penuh berarti. Untuk mentafsirkan maknanya kita terpaksa menggunakan akal fikiran dan pengalaman peribadi. Kebanyakan pembaca lebih berminat dengan puisi yang boleh mengajak kita berfikir serta boleh menambah ilmu pengetahuan selepas membacanya. Dan puisi yang berjaya menarik perhatian pembaca ialah puisi yang membawa sesuatu persoalan yang baru. Sebaliknya puisi yang membawa persoalan yang sama tidak dipedulikan oleh pembaca. Maksudnya apabila seseorang menulis puisi yang sama dengan karya yang terdahulu, samaada karyanya sendiri atau karya orang lain, maka perhatian terhadap puisi tersebut menjadi kurang atau mungkin tidak dipedulikan lansung. Inilah anggapan saya sebagai seorang pembaca.

Sajak “Sandaran Sumpah-Nya” tergolong sajak “Ketuhanan” yang jarang dihasilkan. Kebanyakan sajak yang dihasilkan ialah sajak kritik sosial yang sesetengah permbaca menganggap terlalu banyak dihasilkan. Pun begitu sajak kritikan sosial tetap menjadi perhatian jika di sajikan dengan penuh keindahan dan keilmuan. (Maaf. Pengulas pun tak mampu).

Sajak terbaru yang dihadiahkan oleh Drirwan untuk Komuniti Penyair ini mengandungi 13 baris, kenapa penyair memilih angka 13?. Angka ganjil ini amat ditakuti oleh kebanyakan masyarakat Barat dan Eropah sehingga mereka enggan memakai nombor
plat kereta atau nombor rumah yang berangka 13. Tetapi dalam islam angka ganjil termasuk angka 13 memberi banyak kelebihan. Contohnya, Allah itu satu (angka ganjil) surah al Fatihah 7 ayat (angka ganjil) Rukun Sembahyang 13 perkara dan banyak lagi contoh yang lain.

Setiap pembaca mempunyai berbagai cara untuk memahami sesebuah puisi. Bagi saya lebih mudah memahaminya dengan cara menukarkannya dalam bentuk prosa. Contohnya seperti berikut:

Ayat-ayat dalam kurungan ( ) adalah kata-kata asal puisi Sandaran Sumpah-Nya.

Allah Maha Pengasih dan Penyayang. (Sandaran) perjuanganku, hidupku dan matiku, berdasarkan ( SumpahNya) dalam kitab suci Al Quran.. Dengan keyakinan yang teguh itulah (Aku) terus (melangkah) untuk meneruskan kehidupan ini dengan penuh ke(yakin)an dan ke(pasti)an kerana Allah tidak akan memungkiri janjiNya. Berbekalkan keimanan dan keyakinan ini aku tidak akan (Menoleh ) lagi kebelakang kerana berpatah balik itu ( bukan tabiat diri)ku. Aku yakin sesiapa (Yang) ber(awas) dengan nafsu amarah dan tingkah lakunya akan (berjalan seiring) dengan mereka yang mendapat keredhaan Allah. Sebaliknyai mereka yang bersikap (cuai) dan melupakan perintah Allah akan di (tinggal) kan dalam kegelapan dan kesesatan. (Aku) berjanji dengan diriku bahawa aku akan terus (melangkah dengan) penuh ke( yakin)an dan ke(pasti)an. (tak mungkin kau) atau sesiapa yang boleh ( pintas) atau menghalang perjalananku ini (dengan kaki). Sesungguhnya (yang dapat memintas) perjuanganku ini ( hanyalah akal yang yang cekap dan cekal) kerana (Padaku) perjuangan ini (tersandar) dengan ( sumpah-Nya) kerana Allah berfirman dalam surah al Asr , Demi masa , sesungguhnya (Tentu rugi engkau) wahai manusia (Kecuali pada) diri mu (ada ) ke (percaya) an dan kamu (ada) membuat (amal) an yang soleh dan kamu (ada) memberi (nasihat) kepada manusia untuk membuat kebajikan.

SANDARAN SUMPAHNYA

Tajuk sajak ini menggambarkan penyair ingin menjadikan “sumpah” itu sebagai sandarannya. Tetapi sumpah itu bukan sumpah penyair berdasarkan adanya perkataan …nya…di hujung sumpah.

Sumpah yang dimaksudkan oleh penyair, ialah sumpah Allah dalam al Quran surah al_Asr yang artinya;

“ Demi Masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beramal Soleh. Dan berpesan (nasihat) dengan kebenaran dan berwasiat (berpesan)dengan kesabaran.”

Sumpah Allah dalam Al Quran ini dijadikan panduan oleh penyair untuk menjalani kehidupannya di dunia ini.

Aku melangkah yakin dan pasti
menoleh bukan tabiat diri

Dr Irwan memulakan rangkap pertama sajaknya dengan paradoks “Aku melangkah yakin dan pasti.” Ini menggambaran keazaman dan keyakinan penyair dalam menjalani kehidupan di dunia ini mesti berpandukan kitab suci al Quran. Penyair tidak akan menoleh ke belakang dengan mengambil ajaran atau fahaman dari kitab lain sebagai pedoman hidupnya.

Keyakinan seperti inilah yang sepatutnya dimiliki oleh setiap muslim yang ingin mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat. Tanpa keyakinan yang kukuh seseorang mukmin itu pasti mudah tepengaruh oleh unsur-unsur yang merosakkan kehidupannya.

yang awas berjalan seiring
yang cuai tinggal.

Penyair menasihatkan supaya kita sentiasa mengawasi tindak tanduk dan tingkah laku supaya hidup kita selamat di dunia dan juga di Akhirat. Pesanan ini bukan saja ditujukan ditujukan oleh penyair kepada orang lain tetapi juga merupakan peringatan untuk diri penyair sendiri. Hal ini dijelaskan oleh penyair alam rangkap berikutnya;;

Aku melangkah yakin dan pasti

Selan dari maksudnya yang jelas dan mudah difahami, ayat-ayat di atas juga merupakan bahasa perbandingan yang ironis yang amat disenangi. Baris ini dan beberapa baris lain menunjukkan bahawa penyair berupaya menghasilkan sajak yang kemas dan bertenaga.

Penyair benar-benar yakin bahawa mereka yang mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah swt akan selamat hidup di dunia dan di Akhirat.

Aku melangkah yakin dan pasti

Dalam sajak “Sandaran Sumpah-Nya” penyair mengulangi rangkap ini sebanyak dua kali. Kali pertama di baris yang pertama dan kali kedua di baris kelima. Ini menunjukkan penyair benar-benar sudah teguh keyakinannya dan kepastiannya untuk meneruskan kehidupan ini.


tak mungkin kaupintas dengan kaki
yang dapat memintas hanyalah akal
yang cekap dan cekal.

Drirwan tidak berfalsafah, sekadar mengingatkan sesuatu yang umum dan aksiomatik. Tak mungkin kau pintas dengan kaki bermaksud tidak sesiapa pun yang boleh mengubah secara paksaan keyakinan, pendirian, pegangan hidup penyair. Kecuali mereka yang beriman, berilmu pengetahuan dan sama-sama sanggup berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan.

Ayat yang ditulis oleh penyair “kaupintas dengan kaki” dan “memintas hanyalah akal” merupakan metafora yang menarik.
Seterusnya kata penyair lagi;

Padaku tersandar sumpah-Nya
tentu rugi engkau
kecuali padamu ada percaya
ada amal
ada nasihat.

Di sinilah letaknya pintu rahsia yang saya maksudkan itu. Penyair dengan bijak meletakkan pintu rahsia ini pada rangkap yang kesembilan. Dengan menulis “ Sumpah-Nya” itu jelas yang diaksudkan oleh penyair ialah Allah swt.

Ini dijelaskan lagi dengan adanya ayat-ayat “Rugi engkau” “Kecuali”
“Amal” dan “ Nasihat”

KESIMPULAN

Melaui Sajak “ Sandaran Sumpahnya” Penyair mengajak kita supaya menjadikan al Quran khususnya Surah Al Ashr itu sebagai pedoman hidup kita. Sesungguhnya manusia memang sentiasa dalam kerugian kecuali mereka yang beramal soleh dan mereka yang saling memberi nasihati.

Kenapa Allah swt bersumpah dengan firmannya “ Demi Masa manusia dalam kerugian?”. Allah menjadikan tiga golongan makhluk yang berbeza. Malaikat dijadikan ada akal fikiran tapi tidak ada nafsu. Kerana itu tidak hairanlah mereka makhluk yang taat. Mereka yang disuruh sujud akan bersujud hingga hari kiamat sebab mereka tidak ada nafsu yang berkehendakkan makan minum, tidur dan sebagainya. Makhluk binatang pula dijadikan ada nafsu tapi tak ada akal. Kerana itu mereka hidup bebas tanpa dosa pahala dan tidak ada istilah balasan di hari akhirat untuk mereka. Tetapi manusia dijadikan makhluk yang paling istimewa sebab ada akal dan ada nafsu. Ada sifat malaikat dan binatang dalam diri manusia.

Menurut kisahnya, nafsu itu satu makhluk yang dijadikan oleh Allah tersangatlah jahatnya. Dan sebelum di masukkan ke dalam diri Nabi Adam, makhluk yang bernama nafsu itu di rendam dulu oleh Malaikat selama seribu tahun dalam lautan yang tersangat sejuk kemudian direndam lagi ke dalam lautan yang teramat panas. Namun nafsu tetap tidak tunduk kepada Allah sambil berkata “ Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau.” Itulah nafsu yang ada dalam diri manusia.

Dengan adanya nafsu itulah manusia berkehendakkan makan minum, tidur, sex dan sebagainya. Dengan adanya nafsu juga manusia melakukan kerosakan di muka bumi kerana nafsu itu cenderung kepada hiburan, kesombongan, mengumpul harta dan sebagainya.

Dikatakan kerugian kerana ada manusia yang leka dengan bermain judi sehingga sanggup menghabiskan wang dan masanya yang berharga di meja judi. Ada manusia leka meminum arak sehingga akal warasnya yang amat bernilai itu dikuasai oleh alkohol. Ada manusia asyik mencari hiburan kerana menyangka hiburan itulah yang boleh membahagiakan hidupnya. Dan paling malang ada manusia asyik mengumpul harta sepanjang hidupnya seolah harta itulah Tuhannya.

Kabarnya Saddam Hussain yang berkuasa di Iraq selama 20 tahun berjaya mengumpulkan harta lebih RM38. bilion (lebih tiga puluh lapan ribu juta ringgit Malysia). Ada seorang raja membena sebuah istana yang mengandungi 1788 bilik dan setiap bilik sebesar kondo mewah. Kerana tersangatlah kayanya hingga tandas istana baginda pun bersalut emas. (maaf alaieffa). Kalaulah harta yang dimiliki oleh pemimpin-pemimpin di negara-negara islam hari ini , jika dikeluarkan wang zakatnya diberikan kepada yang berhak menerimanya nescaya tidak ada lagi umat islam yang miskin.

Sejarah Qarun menceritakan bagaimana seorang yang kaya raya hingga hartanya tidak terhitung jumlahnya akhirnya mati di telan bumi. Firaun yang berkuasa selama 500 tahun di Mesir sehingga sanggup mengaku Tuhan dan memaksa rakyat menyembahnya. Akhirnya mati dengan penuh kehinaan di telan laut merah.

Mereka itulah yang dimaksudkan dalam kerugian oleh Allah swt kerana kekayaan dan kekuasaan yang mereka miliki tidak kekal apabila mati semuanya akan ditinggalkan.

Sebaliknya mereka yang beramal soleh dan selalu mengajak manusia membuat kebaikan dan menyeru manusia jangan melakukan kerosakan di bumi ini akan mendapat keuntungan di dunia dan di akhirat.

Sebagai contoh, Nabi Muhammad saw walaupun usia baginda cuma 62 tahun, walaupun baginda tidak kaya raya harta, tidak menjadi raja atau menteri yang berkuasa namun kerana amal soleh yang baginda lakukan, baginda beroleh keuntungan di dunia dan akhirat. Semasa hidup baginda di sanjung selepas wafat baginda di kenang. Tidak ada pemimpin lain di dunia ini selain Nabi Muhammad yang makamnya diziarahi oleh jutaan manusia pada setiap tahun. Itulah yang dimaksudkan Allah mereka yang beramal Soleh dan berpesan-pesan untuk kebaikan itu yang mendapat kemenangan.

Akhir kata saya mengucapkan syabas kepada saudara Dr.Irwan kerana menghadiahkan kita sebuah sajak yang amat berharga. Dan saya yakin penyair juga mendapat pahala kerana sajak ini mengingatkan kita supaya insaf dengan sumpah Allah “Demi masa sesunguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali yang beramal soleh….”


Abdullatip
18/4/2003.
jumat 12 t/h


This page is powered by Blogger. Isn't yours?