Friday, January 14, 2005

 

ULASAN SAJAK ABDULLATIP OLEH HASIMAH

Ulasan Sajak Sahabat
SAHABAT

Kita bertemu di sini
tiba - tiba aku rasa gembira
ingin kupetik buah-buah ranum
dari pohon sahabat
Ingin ku cium semerbak harum
dari bunga sahabat

Saban hari ia bertiup padaku
sebab aku rindukan kabar
Senyum itu...memberi arti
Canda itu...melembut jiwa
rasa ini pun menjelma
diriku merasa aman
jiwaku rasa bahagia

kesunyian pasti mengamit jika tidak bertemu
walau cuma di alam mimpi
Tapi aku yakin Ini garis pertama
dan kita tidak boleh melangkah
Kerana takdir kita. adalah
sahabat

Sahabat yang kuharap jadi cermin diri
menegur jika aku silap
membela jika aku salah
dan arti sahabat ini
hingga ke akhirnya.


Pendahuluan:

Dalam ulasan ini saya tidak akan tumpukan kepada aspek bentuk, rima bunyi, asonansi, aliterasi, simile, metafora dsbnya kerana Abdullatip amat arif dalam bidang ini. Saya akan beri perhatian kepada aspek lain. Harap saya diberi kebebasan untuk mengulas sajak “ Sahabat.” Izinkanlah.

Makna setiap rangkap:

Rangkap satu menggambarkan harapan Abdullatip yang menginginkan sahabat yang baik berdasarkan pilihan perkataan “buah-buah ranum, pohon sahabat, semerbak harum, bunga sahabat”. Abdullatip sekarang dalam keadaan gembira kerana mungkin dia berasa hasrat dan cita-citanya dalam pencarian persahabatan akan atau telah ditemuinya.

Rangkap kedua menyatakan bahawa Abdullatip menyukai sahabatnya itu berdasarkan
binaan ayat ini “… aku rindukan khabar, senyum, canda.” Pada akhir rangkap kedua Abdullatip menegaskan bahawa memang dia berasa tenteram, damai, gembira, dan puas dengan sahabatnya itu.

Rangkap ketiga menyentuh tentang kemanisan dalam persahabatan dinikmati kerana Abdullatip akan berasa sepi jika tidak menemui sahabatnya. Dan yang uniknya, pertemuan mereka hanya wujud dalam khayalan, fantasi, dan ilusi sahaja, atau pertemuan itu di alam maya sahaja.
“aku yakin ini garis pertama…” Kurang faham Abdullatip, sorry! (tolong huraikan semasa memberi maklum balas nanti. Ini permintaan saya). Abdullatip menganggap bahawa sudah takdirlah yang menentukan bahawa mereka ialah sahabat.

Rangkap keempat, sekali lagi Abdullatip menyatakan harapannya yang sahabatnya akan membuat teguran jika dia terpesong dalam sebarang tindakan.
“membela jika aku salah” saya kurang “tangkap” bahagian ini kerana saya rasa seperti kurang tepat kalau sesuatu yang salah mesti dibela. Eloklah jika sesuatu yang salah kita betulkan. Abdullatip mengakhiri sajaknya dengan harapan bahawa persahabatan itu akan berkekalan dan berterusan hingga ke akhir hayat.

Perbincangan:

Sdr Abdullatip, saya mengulas tidak berdasarkan teori-teori kritikan kesusasteraan. Bukanlah ini suatu kebanggan. Ini suatu kekurangan yang mesti saya uruskan jika saya mahu serius dalam bidang penulisan ulasan. Walau bagaimanapun, setakat ini teruslah nampaknya saya menulis mengikut gerak hati seikhlas rasa. Di komuniti ini tempat saya belajar-belajar menulis dan kebetulan pula ada galakan daripada sahabat-sahabat semua. Saya tidak suka berpura-pura (orang lain begitu juga saya rasa). Kalau suka saya katakana suka. Kalau tidak suka , dan kalau tidak ada apa-apa keperluan untuk saya nyatakan perasaan “tidak suka”, saya pilih untuk berdiam diri. Jadi di sini saya ingin menegaskan bahawa saya suka perkataan “sahabat.” Sdr menghasilkan sebuah sajak yang berjudul “Sahabat” yang memang mengajak diri saya dengan rela hati untuk mengulasnya.

Sebenarnya pelbagai perkara yang boleh diperkatakan tentang sahabat. Sahabat sinonim dengan perkataan teman, taulan, rakan. Kalau dikatakan sahabat nabi, kita dapat bayangkan nama-nama agung seperti Abu Bakar as-Sidiq, Umar al-Khattab, Uthman Affan, dan Ali ibn Abi Talib. Mereka ini sanggup berbuat apa sahaja untuk mempertahankan keselamatan Nabi s.a.w dan menyebarkan Islam. Kalau dikatakan sahabat pena atau dalam era globalisasi ini disebut sahabat maya bererti sahabat melalui penulisan surat (sahabat pena) dan medium komputer dan internet (sahabat maya).

Personaliti sahabat adalah pelbagai. Ada yang pendiam, pemalu, peramah, suka bergurau, garang, berterus terang, baik hati dsbnya. Jadi lain orang lain pula prioritinya dalam memilih sahabat yang disukai. Bagi Abdullatip saya dapat kesan ciri-ciri orang yang dianggapnya sebagai sahabat : mukanya dihiasi senyuman (tidaklah masam dan muram), suka berjenaka (tidaklah boring sahaja), menegurnya jika dia salah (tidaklah membiarkan sahaja dia berbuat apa sahaja).

Di sini saya cuba turunkan ciri-ciri sahabat pada anggapan saya.(Maaf… saya tidak membuat rujukan kerana mahu menulis seikhlas-ikhlasnya mengikut sukatan ilmu yang sedia ada).
1. Kita gembira, dia gembira (tidak cemburu atau dengki dengan kejayaan kita).
2. Kita susah, dia simpati dan menolong (tidaklah dia lari tinggalkan kita seorang diri).
3. Kita tersilap menyinggung perasaannya, dia maafkan.
4.Kita bahagia, dia tidak ganggu kebahagiaan kita malah dia berusaha untuk menambah kebahagiaan kepada kita.
5.Kita ada kelebihan (kaya, berkedudukan, dll), dia tidak mengambil kesempatan.

Tetapi jangan pula disebabkan sahabat, maka kita asyik minta tolong kepadanya. “Eh… awak tak tolong saya, awak bukan sahabat saya.” Tak acilah macam itu. Pada saya, tidak wajar kita hendak uji sahabat dengan cara hendak pinjam duit misalnya. Seboleh-bolehnya, tidak usahlah kita berkelakuan seperti itu. Jangan susahkan sahabat. Mungkin di sini boleh kita anggap sebagai garis sempadan dalam persahabatan. Kita jaga etikanya.

Menyentuh tentang etika persahabatan, kalau dalam akhbar Berita Minggu misalnya, sering dipaparkan masalah-masalah rumah tangga, termasuklah kisah orang yang pada mulanya mengaku sahabat, selepas itu, dia sanggup pula kebas suami atau isteri sahabatnya. Saya sungguh kesal membaca berita-berita seperti ini, apatah lagi nampaknya kejadian seperti ini semakin berleluasa. Pada saya inilah petanda masyarakat sudah semakin bobrok. Saya amat takut akan kemurkaan Allah. Sudah tentu Allah amat murka dengan perlakuan yang menikam sahabat dari belakang, berpaling tadah, curang, dan tidak setia. Sebenarnya orang yang mengaku sahabat seperti itu ialah seteru yang akan memerangkap kita dalam sangkar sengsara dan kehancuran.

Sebagai orang dewasa, saya rasa kita semua amat mengerti erti sahabat. Tiada harga yang dapat diletakkan untuk sebuah persahabatan. Getaran persahabatan amat mujarad, tidak tersukat. Kita dapat menikmati dan merasainya. Dan jika kita mencapai tahap yakin bahawa “dia” ialah sahabat, kita cukup-cukup rasa terharu dan bersyukur kerana kuasa Allahlah yang mempertemukan kita.

Bagi wanita seperti saya yang telah diikat dengan beberapa “tali” iaitu tali perkahwinan (sehingga ada suami dan 7 orang anak), tali tugas (berkhidmat sebagai guru), tali persaudaraan (tanggungjawab terhadap ibu dan adik-beradik), saya hampir tidak ada masa berkawan-kawan. Maksud saya, pergi bertandang ke rumah kawan, bersembang-sembang dsbnya… kecuali rakan-rakan guru semasa berada di sekolah. Jadi, apabila adanya communityzero ini dan melalui lapangan penulisan, hati saya berkata bahawa saya menemui sahabat-sahabat sejati. Dan pada ketika ini saya berasa amat syahdu,
gembira, terhibur, bersyukur kepada Allah. Saya tidak menyangka sebenarnya dalam usia 45 tahun begini, saya diberi peluang dan kesempatan untuk mempunyai sahabat-sahabat di alam maya. Seperti Tuhan memberi keizinan dan peluang kepada saya untuk menikmati apa yang saya suka.

Saya suka bersunyi-sunyi. Duduk dalam bilik, atas katil, dikelilingi anak-anak dan suami. Saya tidak suka pergaulan luas, lepas, bebas. Ke mana-mana saya pergi, sama ada dengan suami atau anak-anak. Dengan kawan-kawan, jarang. Adalah sekali-sekala ‘hi-tea’ untuk guru /sahabat saya yang pencen. Dan sebenarnya saya tidak merungut. Saya sudah berpuas hati dengan perjalanan hidup seperti ini. Apalah lagi yang dimahukan oleh seorang wanita melainkan ketenteraman dalam berumah tangga. Tetapi apabila ada kesempatan untuk menulis sedikit sebanyak (bukanlah serius pun, main-main saja… mengisi masa yang ada), saya rasa ria ceria penulisan yang beroperasi di rumah, dikelilingi suami dan anak-anak. Saya sungguh gembira dan bersyukur, dan saya seperti Abdullatip juga berharap semoga
“erti sahabat ini
hingga ke akhirnya”

Kesimpulan:

Kalau saya hendak senaraikan nama sahabat-sahabat, bimbang pula jika saya tercicir mana-mana sahabat kita. Memandangkan saya mengulas sajak “sahabat” tulisan sdr, sukacita saya maklumkan bahawa sdr Abdullatip memenuhi kriteria sahabat yang saya maksudkan. Saya harap sdr sudilah menerima saya sebagai sahabat sdr. Biarlah sungai persahabatan yang jernih akan terus mengalir walaupun mungkin hanya di alam maya. Sudah tentulah maksud saya di sini bahawa kita tidak bersahabat berdua sahaja tetapi disertai juga oleh keluarga sdr dan keluarga saya. Allah jua yang maha mengetahui keikhlasan kita. Semoga keikhlasan ini akan terus terpelihara. Sekian ulasan saya. Wassalam.

Hasimah Harun
Kuala Lumpur, 9.5.03



Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?