Friday, January 14, 2005

 

ULASAN SAJAK SANDARAN SUMPAHNYA

ULASAN SAJAK : SANDARAN SUMPAHNYA
HASIL KARYA : DR.IRWAN ABU BAKAR
TARIKH : 14/4/2003
WEB : PENYAIR
PENGULAS : ABDULLATIP
------------------------------------------------------------------------------


SANDARAN SUMPAHNYA
Aku melangkah yakin dan pasti
menoleh bukan tabiat diri
yang awas berjalan seiring
yang cuai tinggal.
Aku melangkah yakin dan pasti
tak mungkin kaupintas dengan kaki
yang dapat memintas hanyalah akal
yang cekap dan cekal.
Padaku tersandar sumpah-Nya
tentu rugi engkau
kecuali padamu ada percaya
ada amal
ada nasihat.
Irwan Abu Bakar
Kuala Lumpur, 14.04.2003


PENDAHULUAN

Apabila menatap sebuah puisi atau sajak berarti kita sedang masuk ke sebuah dunia bahasa yang agak asing dari bahasa harian yang kita gunakan. Keterasingan itulah yang membuatkan kita merasa seronok kerana sajak itu disusun dengan bahasa yang indah, pemilihan kata-kata yang padat dan penuh berarti. Untuk mentafsirkan maknanya kita terpaksa menggunakan akal fikiran dan pengalaman peribadi. Kebanyakan pembaca lebih berminat dengan puisi yang boleh mengajak kita berfikir serta boleh menambah ilmu pengetahuan selepas membacanya. Dan puisi yang berjaya menarik perhatian pembaca ialah puisi yang membawa sesuatu persoalan yang baru. Sebaliknya puisi yang membawa persoalan yang sama tidak dipedulikan oleh pembaca. Maksudnya apabila seseorang menulis puisi yang sama dengan karya yang terdahulu, samaada karyanya sendiri atau karya orang lain, maka perhatian terhadap puisi tersebut menjadi kurang atau mungkin tidak dipedulikan lansung. Inilah anggapan saya sebagai seorang pembaca.

Sajak “Sandaran Sumpah-Nya” tergolong sajak “Ketuhanan” yang jarang dihasilkan. Kebanyakan sajak yang dihasilkan ialah sajak kritik sosial yang sesetengah permbaca menganggap terlalu banyak dihasilkan. Pun begitu sajak kritikan sosial tetap menjadi perhatian jika di sajikan dengan penuh keindahan dan keilmuan. (Maaf. Pengulas pun tak mampu).

Sajak terbaru yang dihadiahkan oleh Drirwan untuk Komuniti Penyair ini mengandungi 13 baris, kenapa penyair memilih angka 13?. Angka ganjil ini amat ditakuti oleh kebanyakan masyarakat Barat dan Eropah sehingga mereka enggan memakai nombor
plat kereta atau nombor rumah yang berangka 13. Tetapi dalam islam angka ganjil termasuk angka 13 memberi banyak kelebihan. Contohnya, Allah itu satu (angka ganjil) surah al Fatihah 7 ayat (angka ganjil) Rukun Sembahyang 13 perkara dan banyak lagi contoh yang lain.

Setiap pembaca mempunyai berbagai cara untuk memahami sesebuah puisi. Bagi saya lebih mudah memahaminya dengan cara menukarkannya dalam bentuk prosa. Contohnya seperti berikut:

Ayat-ayat dalam kurungan ( ) adalah kata-kata asal puisi Sandaran Sumpah-Nya.

Allah Maha Pengasih dan Penyayang. (Sandaran) perjuanganku, hidupku dan matiku, berdasarkan ( SumpahNya) dalam kitab suci Al Quran.. Dengan keyakinan yang teguh itulah (Aku) terus (melangkah) untuk meneruskan kehidupan ini dengan penuh ke(yakin)an dan ke(pasti)an kerana Allah tidak akan memungkiri janjiNya. Berbekalkan keimanan dan keyakinan ini aku tidak akan (Menoleh ) lagi kebelakang kerana berpatah balik itu ( bukan tabiat diri)ku. Aku yakin sesiapa (Yang) ber(awas) dengan nafsu amarah dan tingkah lakunya akan (berjalan seiring) dengan mereka yang mendapat keredhaan Allah. Sebaliknyai mereka yang bersikap (cuai) dan melupakan perintah Allah akan di (tinggal) kan dalam kegelapan dan kesesatan. (Aku) berjanji dengan diriku bahawa aku akan terus (melangkah dengan) penuh ke( yakin)an dan ke(pasti)an. (tak mungkin kau) atau sesiapa yang boleh ( pintas) atau menghalang perjalananku ini (dengan kaki). Sesungguhnya (yang dapat memintas) perjuanganku ini ( hanyalah akal yang yang cekap dan cekal) kerana (Padaku) perjuangan ini (tersandar) dengan ( sumpah-Nya) kerana Allah berfirman dalam surah al Asr , Demi masa , sesungguhnya (Tentu rugi engkau) wahai manusia (Kecuali pada) diri mu (ada ) ke (percaya) an dan kamu (ada) membuat (amal) an yang soleh dan kamu (ada) memberi (nasihat) kepada manusia untuk membuat kebajikan.

SANDARAN SUMPAHNYA

Tajuk sajak ini menggambarkan penyair ingin menjadikan “sumpah” itu sebagai sandarannya. Tetapi sumpah itu bukan sumpah penyair berdasarkan adanya perkataan …nya…di hujung sumpah.

Sumpah yang dimaksudkan oleh penyair, ialah sumpah Allah dalam al Quran surah al_Asr yang artinya;

“ Demi Masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beramal Soleh. Dan berpesan (nasihat) dengan kebenaran dan berwasiat (berpesan)dengan kesabaran.”

Sumpah Allah dalam Al Quran ini dijadikan panduan oleh penyair untuk menjalani kehidupannya di dunia ini.

Aku melangkah yakin dan pasti
menoleh bukan tabiat diri

Dr Irwan memulakan rangkap pertama sajaknya dengan paradoks “Aku melangkah yakin dan pasti.” Ini menggambaran keazaman dan keyakinan penyair dalam menjalani kehidupan di dunia ini mesti berpandukan kitab suci al Quran. Penyair tidak akan menoleh ke belakang dengan mengambil ajaran atau fahaman dari kitab lain sebagai pedoman hidupnya.

Keyakinan seperti inilah yang sepatutnya dimiliki oleh setiap muslim yang ingin mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat. Tanpa keyakinan yang kukuh seseorang mukmin itu pasti mudah tepengaruh oleh unsur-unsur yang merosakkan kehidupannya.

yang awas berjalan seiring
yang cuai tinggal.

Penyair menasihatkan supaya kita sentiasa mengawasi tindak tanduk dan tingkah laku supaya hidup kita selamat di dunia dan juga di Akhirat. Pesanan ini bukan saja ditujukan ditujukan oleh penyair kepada orang lain tetapi juga merupakan peringatan untuk diri penyair sendiri. Hal ini dijelaskan oleh penyair alam rangkap berikutnya;;

Aku melangkah yakin dan pasti

Selan dari maksudnya yang jelas dan mudah difahami, ayat-ayat di atas juga merupakan bahasa perbandingan yang ironis yang amat disenangi. Baris ini dan beberapa baris lain menunjukkan bahawa penyair berupaya menghasilkan sajak yang kemas dan bertenaga.

Penyair benar-benar yakin bahawa mereka yang mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah swt akan selamat hidup di dunia dan di Akhirat.

Aku melangkah yakin dan pasti

Dalam sajak “Sandaran Sumpah-Nya” penyair mengulangi rangkap ini sebanyak dua kali. Kali pertama di baris yang pertama dan kali kedua di baris kelima. Ini menunjukkan penyair benar-benar sudah teguh keyakinannya dan kepastiannya untuk meneruskan kehidupan ini.


tak mungkin kaupintas dengan kaki
yang dapat memintas hanyalah akal
yang cekap dan cekal.

Drirwan tidak berfalsafah, sekadar mengingatkan sesuatu yang umum dan aksiomatik. Tak mungkin kau pintas dengan kaki bermaksud tidak sesiapa pun yang boleh mengubah secara paksaan keyakinan, pendirian, pegangan hidup penyair. Kecuali mereka yang beriman, berilmu pengetahuan dan sama-sama sanggup berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan.

Ayat yang ditulis oleh penyair “kaupintas dengan kaki” dan “memintas hanyalah akal” merupakan metafora yang menarik.
Seterusnya kata penyair lagi;

Padaku tersandar sumpah-Nya
tentu rugi engkau
kecuali padamu ada percaya
ada amal
ada nasihat.

Di sinilah letaknya pintu rahsia yang saya maksudkan itu. Penyair dengan bijak meletakkan pintu rahsia ini pada rangkap yang kesembilan. Dengan menulis “ Sumpah-Nya” itu jelas yang diaksudkan oleh penyair ialah Allah swt.

Ini dijelaskan lagi dengan adanya ayat-ayat “Rugi engkau” “Kecuali”
“Amal” dan “ Nasihat”

KESIMPULAN

Melaui Sajak “ Sandaran Sumpahnya” Penyair mengajak kita supaya menjadikan al Quran khususnya Surah Al Ashr itu sebagai pedoman hidup kita. Sesungguhnya manusia memang sentiasa dalam kerugian kecuali mereka yang beramal soleh dan mereka yang saling memberi nasihati.

Kenapa Allah swt bersumpah dengan firmannya “ Demi Masa manusia dalam kerugian?”. Allah menjadikan tiga golongan makhluk yang berbeza. Malaikat dijadikan ada akal fikiran tapi tidak ada nafsu. Kerana itu tidak hairanlah mereka makhluk yang taat. Mereka yang disuruh sujud akan bersujud hingga hari kiamat sebab mereka tidak ada nafsu yang berkehendakkan makan minum, tidur dan sebagainya. Makhluk binatang pula dijadikan ada nafsu tapi tak ada akal. Kerana itu mereka hidup bebas tanpa dosa pahala dan tidak ada istilah balasan di hari akhirat untuk mereka. Tetapi manusia dijadikan makhluk yang paling istimewa sebab ada akal dan ada nafsu. Ada sifat malaikat dan binatang dalam diri manusia.

Menurut kisahnya, nafsu itu satu makhluk yang dijadikan oleh Allah tersangatlah jahatnya. Dan sebelum di masukkan ke dalam diri Nabi Adam, makhluk yang bernama nafsu itu di rendam dulu oleh Malaikat selama seribu tahun dalam lautan yang tersangat sejuk kemudian direndam lagi ke dalam lautan yang teramat panas. Namun nafsu tetap tidak tunduk kepada Allah sambil berkata “ Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau.” Itulah nafsu yang ada dalam diri manusia.

Dengan adanya nafsu itulah manusia berkehendakkan makan minum, tidur, sex dan sebagainya. Dengan adanya nafsu juga manusia melakukan kerosakan di muka bumi kerana nafsu itu cenderung kepada hiburan, kesombongan, mengumpul harta dan sebagainya.

Dikatakan kerugian kerana ada manusia yang leka dengan bermain judi sehingga sanggup menghabiskan wang dan masanya yang berharga di meja judi. Ada manusia leka meminum arak sehingga akal warasnya yang amat bernilai itu dikuasai oleh alkohol. Ada manusia asyik mencari hiburan kerana menyangka hiburan itulah yang boleh membahagiakan hidupnya. Dan paling malang ada manusia asyik mengumpul harta sepanjang hidupnya seolah harta itulah Tuhannya.

Kabarnya Saddam Hussain yang berkuasa di Iraq selama 20 tahun berjaya mengumpulkan harta lebih RM38. bilion (lebih tiga puluh lapan ribu juta ringgit Malysia). Ada seorang raja membena sebuah istana yang mengandungi 1788 bilik dan setiap bilik sebesar kondo mewah. Kerana tersangatlah kayanya hingga tandas istana baginda pun bersalut emas. (maaf alaieffa). Kalaulah harta yang dimiliki oleh pemimpin-pemimpin di negara-negara islam hari ini , jika dikeluarkan wang zakatnya diberikan kepada yang berhak menerimanya nescaya tidak ada lagi umat islam yang miskin.

Sejarah Qarun menceritakan bagaimana seorang yang kaya raya hingga hartanya tidak terhitung jumlahnya akhirnya mati di telan bumi. Firaun yang berkuasa selama 500 tahun di Mesir sehingga sanggup mengaku Tuhan dan memaksa rakyat menyembahnya. Akhirnya mati dengan penuh kehinaan di telan laut merah.

Mereka itulah yang dimaksudkan dalam kerugian oleh Allah swt kerana kekayaan dan kekuasaan yang mereka miliki tidak kekal apabila mati semuanya akan ditinggalkan.

Sebaliknya mereka yang beramal soleh dan selalu mengajak manusia membuat kebaikan dan menyeru manusia jangan melakukan kerosakan di bumi ini akan mendapat keuntungan di dunia dan di akhirat.

Sebagai contoh, Nabi Muhammad saw walaupun usia baginda cuma 62 tahun, walaupun baginda tidak kaya raya harta, tidak menjadi raja atau menteri yang berkuasa namun kerana amal soleh yang baginda lakukan, baginda beroleh keuntungan di dunia dan akhirat. Semasa hidup baginda di sanjung selepas wafat baginda di kenang. Tidak ada pemimpin lain di dunia ini selain Nabi Muhammad yang makamnya diziarahi oleh jutaan manusia pada setiap tahun. Itulah yang dimaksudkan Allah mereka yang beramal Soleh dan berpesan-pesan untuk kebaikan itu yang mendapat kemenangan.

Akhir kata saya mengucapkan syabas kepada saudara Dr.Irwan kerana menghadiahkan kita sebuah sajak yang amat berharga. Dan saya yakin penyair juga mendapat pahala kerana sajak ini mengingatkan kita supaya insaf dengan sumpah Allah “Demi masa sesunguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali yang beramal soleh….”


Abdullatip
18/4/2003.
jumat 12 t/h


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?