Friday, January 14, 2005

 

ULASAN SAJAK SRI DIAH

ULASAN PUISI DI MANA BINTANG BERADU
OLEH: ABDULLATIP
Setiap kata-kata yang diukir oleh penyair dalam puisi yang diciptanya merupakan luahan perasaan hatinya untuk di kongsi bersama dengan khalayak pembaca. Penyair membuka satu demi satu simpulan kegelisahan jiwanya melalui ungkapan-ungkapan yang penuh dengan siratan makna. Kekadang penyair menyembunyikan makna itu di balik pintu rahsia dan kita harus membuka pintu rahsia itu untuk menyelaminya. Walaupun begitu, betapa hebatpun seorang pengulas tidak akan dapat menyelami sepenuhnya isi hati penyair kerana penyair mempunyai kerahsiaan tersendiri.
Begitu jugalah dengan penyair mapan yang bernama Sri Diah telah meluahkan perasaannya melalui puisi yang berjudul “ DI MANA BINTANG BERADU”. Puisi ini dapat digelar sebagai puisi romantik yang sememangnya sukar di fahami makna sebenar disebalik kata-kata yang tersurat. Atau lebih tepat, kita amat sukar membuka pintu rahsia Penyair.

Membaca puisi ini segera mengingatkan saya makna “bintang” “bulan” dan “beradu”. Saya pasti bintang yang dimaksudkan oleh penyair bukan bintang dalam arti kata yang sebenar kerana bintang tidak beradu/tidor. Kerana itu saya yakin bintang yang dimaksudkan itu ialah manusia yang begitu istimewa dalam kehidupan penyair. Antara bulan dengan bintang maka bintanglah yang lebih istimewa kerana kita biasa dengan ungkapan “Bintang hatiku” atau “bintang pujaanku”. Tetapi kita tidak pernah mendengar orang berkata “bulan hatiku atau bulan pujaanku”. Manakala kata-kata “beradu” pula hanya digunakan untuk raja atau sultan. Dengan ini bintang yang dimaksudkan oleh penyair ialah seorang manusia yang begitu istimewa dalam hidupnya.Kerana Sri Diah sudah bersuami maka saya yakin bintang yang dimaksudkan oleh penyair ialah “suami tercinta”. Ini jelas digambarkan dalam baris akhir rangkap pertama yang berbunyi

Anak-anak bertanya bintang di mana?

Sebelum ini Sri Diah telah menlahirkan sebuah puisi berjudul KUALA LUMPUR DI MANA SUAMIKU dan telah di ulas oleh Sdr Nakhoda.
Mungkinkah puisi DI MANA BINTANG BERADU ada kaitan dengan puisi KLDMS?. Namun kita jangan salah anggap kerana setahu saya Sri Diah amat bahagia dengan suaminya. Mungkin penyair mendapat ilham untuk mencipta sajak ini dari cerita orang lain kerana tugas penyair banyak berkongsi kisah hidup dengan masyarakat pembaca.

DI MANA BINTANG BERADU Sri Diah memulakan kata-katanya seperti berikut:
Malam yang terang, ada bulan di sana
Jauhnya terasa. Dekatnya tangan tak sampai
Manusia berjejal. Kolam berkocak.
Anak-anak bertanya bintang di mana?

Barisan kata-kata ini membayangkan bahawa penyair ketika itu sedang dibuai perasaan gembira bercampur sayu. Gembira kerana malam itu nampak terang disinari cahaya bulan. Dalam masa yang sama hati penyair merasa sayu kerana anak-anak selalu bertanya ayah di mana?.

Lumrah alam apabila bintang tidak kelihatan maka bulan pun mengintai untuk menyinarkan cahayanya. Dengan kehadiran bulan itulah penyair merasa sedikit gembira walaupun hatinya masih berkocak (risau) dengan pertanyaan anak-anak. Dan kesayuan hati penyair boleh kita lihat dari kata-kata perlambangan yang digunakan seperti pekat malam/sunyi malam

Maka timbul pula persoalan…Kalau perlambangan bintang itu dimaksudkan sebagai “suami” maka apakah pula perlambangan bulan?. Secara harafiyah nya kita boleh tafsirkan dari kata-kata berikut:

Lama tak jumpa. Bertelefon bagai di depan mata
Menjalin cerita tak seperti menjalin mimpi
Apa kabar? Lama tak bersua bukan lupa segala
Anak berapa? Bila nak tambah?
Hartamu berapa?
Rahsia ini orang tak tanya.

Dari ayat-ayat yang digunakan itu maka kita pun mengerti bahawa “bulan” yang dimaksudkan oleh penyair ialah seorang manusia yang menjadi sahabat penyair. Hanya sahabat sahaja yang berani bertanya apa kabar?. Lama tak bersua. Anak berapa, bila nak tambah?. Kalau adik beradik malah kalau ibu bapa sekali pun mereka tak akan bertanya soalan-soalan itu.

Seterusnya pada rangkap berikut Sri Diah bercerita lagi tentang “bulannya”.
Bulan masih di kepala. Mari bertentang mata
Turunlah ke bumi. Aku masih di sini
Simpan semua ragu. Jangan malu.
Duduklah rapat. Kita tetap sahabat.

Nah, pasti sudah bahawa perlambangan bulan yang digunakan oleh penyair itu memang sahabat baiknya. Penyair juga menyatakan perasannya secara tidak lansung bahawa penyair ingin bertemu sahabatnya untuk mengeratkan lagi tali silaturrahim. Ini jelas dari kata-kata yang digunakan oleh penyair seperti

jangan malu.duduklah rapat.kita tetap sahabat.

Begitu ikhlas penyair kepada sahabatnya. Ini sudah semestinya kerana sahabatlah orang yang boleh kita menaruh kepercayaan dan harapan. Sahabatlah orang yang kita harapkan bantuan apabila diperlukan. Namun penyair merasa hampa kerana sahabatnya masih belum datang dan ini digambarkan dalam ayat berikut:

Bulan pun kembali tenggelam
Dalam malam.

Pengucapan romantik Sri Diah seperti malam yang terang/ langit kemaafan terbuka/ mari bertentang mata/aku masih disini/jangan malu/duduklah rapat merupakan kata-kata yang dipilih oleh penyair untuk menyatakan maksudnya. Namun Sri Diah dengan tegas pula mengungkapkan “ Berkatalah jujur dengan jujur sejujur jujur/ Berjanji kita perlukan sinar/jangan percaya pekat malam.ada rahsia didalamnya/berhatihati melangkah sudah ramai yang rebah.

Secara keseluruhannya, rangkap pertama adalah menyatakan isi hati penyair kepada “bulannya”. Rangkap kedua pula menggambarkan harapan penyair. Rangkap ketiga dan keempat melukiskan perasaan. Dan rangkap ke lima pula membayangkan bagaimana penyair memendam keresahan hatinya.

Pada pendapat saya Sri Diah berjaya melahirkan perasaan untuk dikongsi dengan khalayak. Walau bagaimanapun tafsiran “Bulan dan Bintang” itu
Hanya penyair sahaja yang lebih arif maknanya. Mungkin bagi Sdr Nakhoda bulan itu bermaksud kekasih bintang. Dan kalau kita hayati puisi BILA BULAN BINTANG BERTEMU karya Sdr Nakhoda sebagai balasan Puisi Sri Diah yang di didikasikan kepadanya maka jelas terdapat perbezaan tafsiran bulan bintang sdr Nakhoda dengan tafsiran saya. Ada baiknya saya kutip beberapa kata dalam sajak BBBB.

Bulan pun mengambang
Mengundang seri bintang
Pernah terbit di sisimu
Bulan pun bertemu bintang
Bulan sudah tidak tahu malu
Kerana ada gelora rahasia di dasarnya

Sdr Nakhoda menutup sajaknya dengan kata-kata berikut.

Bulan mengambang di wajahmu
Bintang bergemintang di mataku.

Saya tidak menyalahkan Sdr Nakhoda dalam membuat tafsiran bulan dan bintang dalam sajak DIMANA BINTANG BERADU. Ibarat kita melihat sebuah lukisan dari sudut yang berlainan. Lukisan tetap sama cuma tafsirannya yang berbeza.

Namun apa yang pasti Sri Diah telah bersetuju dengan tafsiran bulan dan bintang oleh Sdr Nakhoda. Penyair “Terkedu dan senyum tersipu” bila membaca BBBB. Dan kalaulah ini satu sayembara maka saya dengan senang hati turut meraikan kemenangan Sdr Nakhoda kerana ternyata sudah “tuah badan” tidak menyebelahi saya. Hehe.

Mengenai dakwaan Sdr Gravesdigger kata-kata dalam puisi Sri Diah seperti
Lama tak bersua/bukan lupa segala/ anak berapa/
Bila nak menambah/ hartamu berapa/rahsia ini orang tak
Tanya
Ada persamaan dengan dialog Hanim @ Zaidi dalam SM Tan Sri. Saya yakin ia berlaku secara kebetulan sahaja. Saya yakin sungguh Sri Diah bukan sengaja meniru dialog tersebut. Ada kemungkinan juga Sri Diah pernah membaca dialog tersebut dan amat berkesan di hatinya lalu tersimpan dalam memori ingatannya. Kemudian dialog itu keluar secara di bawah sedar oleh penyair ketika menulis puisi DI MANA BINTANG BERADU. Wallahua’lam.

Abdullatip
Isnin 17hb March 2003.



Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?