Thursday, January 13, 2005

 

ULASAN SAJAK-SAJAK WAN NOR AZLIN



ULASAN SAJAK-SAJAK WAN NOR AZLIN WAN SEDAP
Merujuk buku KURSUS KEPENYAIRAN E-SASTERA yang ditulis oleh Irwan Abu Bakar & Hasimah, puisi sanjungan, pujian atau pemujaan terhadap orang tertentu yang disukai, dihormati atau dikagumi, dinamakan corak puisi ODE. Dan saya yakin puisi yang akan saya ulas ini bercorak puisi ODE hasil karya WAN NOOR AZLIN BINTI WAN SEDAP.

Saya terpanggil untuk mengulas sajak-sajak Wan Nor Azlin Wan Sedap kerana dua sebab. Pertama bila membaca ulasan sajak “Berita Hairan” karya Tareht oleh drirwan. Kata drirwan pengulas prolifik hasimah dan abdullatif bercuti panjang dan nakhoda pula menghilang diri.

Kedua sebab saya dikejutkan oleh 4 sajak Wan Nor Azlin yang menyentuh hati saya. Kerana itu saya berasa terpanggil untuk mengulasnya.

Betul juga kata hasimah, bila lama tak mengulas rasa payah untuk memulakannya…

Terima kasih kepada drirwan dan wan noor azlin yang membuat saya rasa terpanggil untuk mengulas semula meskipun tidak mampu sekerap dulu.

Wan Noor Azlin nama baru di esastera.com. dia menyertai esastera bertarikh 11.2.2004 namun telah berjaya menghasilkan 9 sajak dan 2 haiku. Pada saya nama wan noor azlin masih misteri.

Sajak-sajak Wan Noor Azrin Wan Sedap yang akan saya ulas seperti berikut:

1. Bangsawan 1
2. Warkah untuk bapa
3. Sahabat sejati
4. Aku ingin intim denganmu.
5. Cinta
6. Semalam di kuala klawang

Setelah membaca sajak-sajak Wan Noor Azlin saya berpendapat dia seorang yang berbakat menulis sajak. Bangsawan 1 memuatkan persoalan duka dalam kehidupan manusia dan masyarakat. Tetapi kerana kata-kata dalam sajak ini terlalu ekonomi menyebabkan pembaca mungkin agak sukar memahami keseluruhan maknanya. Saya turunkan sajak ini sepenuhnya.

BANGSAWAN (1)

Sebiji permata terlepas ke laut
oleh gertakan sang jerung
setelah sekian kepayahan
berselindung di sebalik jari jemari
kepuraan
Kemilau permata
masih digenangi
kerdipan mata
gelama hiba

Sajak ini menyentuh kisah dunia politik yang dinamakan BANGSAWAN. Mereka yang berkuasa dan berpengaruh diibaratkan seekor jerung. Apabila jerung marah maka adalah yang jadi mangsa seperti kata penyair

Sebiji permata terlepas ke laut oleh gertakan sang jerung

Metafora permata boleh membawa makna seorang yang disayangi atau disukai telah teraninyanya akibat kemarahan mereka yang berkuasa.

Namun yang bersimpati hanyalah rakyat biasa seperti yang diungkapkan penyair;

Kemilau permata masih digenangi kerdipan mata gelama hiba

Sajak Warkah buat bapa juga masih memuatkan persoalan masyarakat. Sajak tersebut saya turunkan sepenuhnya.

WARKAH BUAT BAPA

Bapaku
sungguhpun aku tidak berkata-kata
tetapi tidak semestinya aku diam segala
Aku, hanya warismu, anak didikmu , anak bangsamu
ada kalanya jadi tidak menentu
namun aku , nafas bumi pijakku
yang berani mati untuk kebenaran
sanggup berkorban agar negaraku tidak digadaikan
Bapaku ,
sekiranya aku terjatuh , sambutlah aku
sekiranya aku tersesat , jadilah jurumudiku
sekiranya aku terlanjur ,maafkan sajalah aku.
Memang resmi manusia
lupa untuk berterima kasih
lupa untuk mengenang budi
Namun bapaku
janjimu tetap janjiku
pesanmu , kita harus berdiri teguh
harus ikhlas dalam berjuang
Usah risau , usah gundah
akan kuteruskan perjuanganmu
pendekar tetap pendekar
sumpah setia buat Malaysia.

Tema sajak ini mengenai kasih sayang terhadap bangsa agama dan negara. melalui sajak ini penyair memulakan kata-kata

sungguhpun aku tidak berkata-kata/tetapi tidak semestinya aku diam segala

Sebagai rakyat biasa penyair sedar suaranya tidak dapat mengubah suasana. Namun sikap berdiam diri bukan bermakna seuju dengan segala perkara. Malah dengan berani penyair berkata,

berani mati untuk kebenaran/sanggup berkorban agar negaraku tidak digadaikan.

Suatu tiupan semangat yang perlu ada dalam setiap anak muda yang akan jadi harapan negara.

Dan penyair akhiri sajak ini dengan kata-kata penuh bersemangat;

akan kuteruskan perjuanganmu/pendekar tetap pendekar/
sumpah setia buat Malaysia.

Sajak SAHABAT SEJATI pula membawa tema harapan serta impian penyair ingin bersahabat dengan seseorang. Saya turunkan sajak ini sepenuhnya.

SAHABAT SEJATI

Sesuatu yang terindah
dalam hidupku adalah ...
selalu bersamamu ...
menjadi sahabatmu
adalah anugerah bagiku

tiada sehangat senyum mesramu
tiada sebening gelak tawamu
seandainya kau beri izin
hendak ku menjadi
sahabat sejatimu
Menjadi harapanku
adalah bersama denganmu
Menjadikan aku cemas
adalah berpisah denganmu

Melalui Sajak SAHABAT SEJATI Wan Nor Azlin memuatkan tema arti persahabatan. Memang tidak dapat dinafikan mendapat sahabat adalah sesuatu yang terindah dalam hidup dan mendapat sahabat sejati merupakan satu anugerah seperti katanya;

Sesuatu yang terindah dalam hidupku adalah
selalu bersamamu ...menjadi sahabatmu…adalah anugerah bagiku

Apa yang kita harapkan dari sebuah persahabatan ialah kasih sayang. Simpati, saling hormat menghormati, berkasih sayang yang boleh membuat kita berasa bahagia, seperti yang diucapkan oleh penyair;

tiada sehangat senyum mesramu/tiada sebening gelak tawamu/seandainya kau beri izin/hendak ku menjadi
sahabat sejatimu

Apabila kita telah mendapat sahabat sejati sebolehnya kita sentiasa ingin bersama dengannya baik ketika susah atau pun senang. Ketika duka atau gembira. Dan saat paling mencemaskan apabila berjauhan dengan sahabat kerana kalau ditimpa sesuatu musibah tiada sahabat hendak mengadu sepertimana kata penyair;

Menjadi harapanku/adalah bersama denganmu
Menjadikan aku cemas/adalah berpisah denganmu

Sajak AKU INGIN INTIM DENGANMU bertemakan kasih sayang. Saya turunkan sajak itu sepenuhnya;

AKU INGIN INTIM DENGANMU

Aku ingin mengenalmu lebih dekat,
Sedekat antara tertawa dan tangisan
Aku ingin mengenalmu lebih dekat,
Sedekat antara kegilaan dan kebahagiaan
Aku ingin mengenalmu lebih dekat,
Sedekat antara suami dan isterinya
Boleh kan ? Kan…kan…kan…!

Dalam menjalani kehidupan sehari-hari kita memang perlukan seseorang yang begitu istimewa dalam kehidupan kita. Namun sebelum kita intim dengan seseorang kita perlu mengenali dirinya terlebih dahulu supaya ada kesesuaian dan tidak ada kesalan dikemudian hari nanti. Sajak ini diakhiri dengan pertanyaan nakal.

Boleh kan?. Kan kan kan.

Kalaulah intim yang dimaksudkan itu sebagai intim seorang sahabat sejati memang dibolehkan. Namun kalau intim sebagai kekasih memang tidak dibolehkan.

Sajak CINTA pula bertemakan cinta yang telah diperkatakan oleh manusia sejak zaman nabi Adam dahulu. Saya turunkan sajak ini sepenuhnya,

CINTA

Jangan tuturkan kata cinta
bila masih belum mampu menjalaninya
Jangan mengkhayalkan cinta
bila tak kan menjadi nyata
Cinta hanya menyiksa hidup
Bagi yang berharap penuh
Cinta hanya menggores luka
Bagi yang terlalu memilikinya
Cinta tak kan selamanya menembus ruang dan waktu
Cinta hanyalah permainan hidup yang menyenangkan
Cinta membuat kenyamanan dan kerindangan
tapi juga melukai tanpa memandang

Garapan sajak cinta ini jelas membuktikan Wan Nor Azlin memang berbakat dalam bidang penulisan sajak. Dia bukanlah penulis baru kerana dia dapat meluahkan isi hatinya dalam susunan kata-kata yang indah, romantik dan erotik.

jangan tuturkan kata cinta bila masih belum menjalaninya. Jangan mengkhayalkan cinta/ bila tak kan menjadi nyata

Secara harafiyah mungkin kata-kata itu bersifat umum. Ia boleh saja ditujukan kepada siapa sahaja. namun saya yakin penyair menujukan kata-kata itu kepada seseorang yang pernah memberi harapan serta pernah menuturkan kata-kata cinta kepadanya. Siapakah orang itu?.

Seterusnya penyair menyatakan pandangannya mengenai cinta seperti katanya,

Cinta hanya menyiksa hidup / Bagi yang berharap penuh/Cinta hanya menggores luka /Bagi yang terlalu memilikinya/Cinta tak kan selamanya menembus ruang dan waktu/Cinta hanyalah permainan hidup yang menyenangkan/Cinta membuat kenyamanan dan kerindangan/tapi juga melukai tanpa memandang

Begitu puitisnya kata-kata tersebut. Ungkapan hanya menggores luka/menembus ruang dan waktu/permainan hidup/kenyamanan dan kerindangan dan melukai tanpa memandang merupakan ayat yang amat mendalam maksudnya.

Dari kata-kata yang terdapat dalam sajak CINTA terbukti wan noor azlin sudah matang dalam soal cinta. Mungkin penyair pernah bercinta dan tahu akibat cinta. Persoalannya, kenapa siapa sajak ini ditujukannya?. Hanya Wan Nor Azlin sahaja yang tahu jawapannya.

Sajak SEMALAM DI KUALA KLAWANG adalah sajak yang sempurna struktur pembinaannya. Membaca sajak ini berkemungkinan penyair pernah bermalam di Kuala Klawang seperti katanya

Ketika malam menyelimuti Kuala Klawang/tersenyum anggun pada keramahan Kuala Klawang

Seterusnya penulis meluahkan rintisan rasanya terhadap Kuala Klawang dengan katanya;

Samar- samar ku dengar bisikan suara alam/memanggilku untuk selalu tersenyum manis/pada alam, kutuangkan sebongkah harapan/untuk selalu menyertaiku sepanjang hari

Demikianlah ulasan sacara rengkas sajak-sajak Wan Nor Azlin Wan Sedap Yang ternyata pandai berbahasa dan pandai bermain dengan kata-kata. Metafora bulan, suami isteri, senyum manis menjelaskan lagi maksud yang ingin disampaikannya.

Sekian.

20.2.2004




Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?