Friday, January 14, 2005

 

ULASAN SAJAK HASIMAH HARON

Subject: ULASAN SAJAK "HIDANGAN BUAT KEKASIH" KARYA HASIMAH HARUN. PENGULAS: ABDULLATIP.

From: abdullatip

ULASAN SAJAK “HIDANGAN BUAT KEKASIH”
KARYA HASIMAH HARUN OLEH: ABDULLATIP
HIDANGAN BUAT KEKASIH
Kurandai sungai rasa
untuk menjaring kata-kata
lama merandai
tiada mekar kata hinggap di jala.
Randai, kurandai terus
menyapu keringat berkaca
jeram rasa terus kuredah.
Deras arus
kuranduk jua
namun tiada juga kata mesra
datanglah... singgahlah
walau sekadar kulit frasa
sabar tekunku
bisa menggilap frasa kurang tercerna
frasa 'kan kubentuk menyentuh rasa
menenangkan minda
aku perlu hidangkan kepada kekasihku
yang sedang bersiul
twit, twit, twit
di tubir sepi.
HASIMAH HARUN
Kuala Lumpur, 19.5.03

BIODATA PENULIS

HASIMAH HARUN dilahirkan pada 6 November 1958 di Pasir Mas, Kelantan. Beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Rendah Sultan Ibrahim, Pasir Mas (1965-1970). Pendidikan menengahnya ialah di Sekolah Menengah Sultan Ibrahim, Pasir Mas (1971-75) diikuti Maktab Kadir Adabi, Pasir Mas (1976-77). Selepas Tingkatan 6, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dalam bidang Pengajian Asia Tenggara di Fakulti Sastera dan Sains Sosial (1978-1980). Kemudiannya beliau telah mengikuti kursus Diploma Pendidikan di universiti yang sama (1981). Tamat kursus diploma, beliau telah dilantik menjadi guru di Sekolah Menengah Seri Garing, Rawang (1982-83). Selepas itu, beliau bertukar ke Sekolah Menengah Sultan Abdul Samad, Petaling Jaya sehinggalah sekarang. Beliau ialah Guru Cemerlang (GC) Bahasa Melayu dan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan 6. Semasa di Tingkatan 1, beliau mewakili sekolah dalam pertandingan "elocution contest" peringkat negeri Kelantan. Beliau juga terlibat dalam pertandingan berbahas dan pertandingan mentafsir al-Quran (pidato). Dalam pertandingan tafsir al-Quran itu, beliau telah dua tahun berturut-turut (1974 & 1975) mewakili Pantai Timur ke peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur. Karya puisi beliau telah tersiar di akhbar Mingguan Malaysia dan Berita Harian. Antara pencapaian utama beliau dalam bidang puisi ialah mendapat tempat kedua dalam peraduan mencipta puisi anjuran Persatuan Guru-guru Bahasa Melayu Negeri Selangor (Perubah), 2002. Beliau ialah pencipta lagu "Ilmu Cahaya Kecemerlangan", iaitu lagu rasmi untuk SMK Subang, Selangor, dan pencipta lagu "Berilmu, Beramal, Berbakti", iaitu lagu rasmi SMK Taman Kosas, Ampang, Selangor. Beliau sering mendeklamasi puisi di sekolahnya dan sering menjadi juruacara majlis-majlis penting di sekolahnya dan di tempat-tempat lain seperti Hotel PJ Hilton, Rumah Puspanita, dan Hotel Sunway Pyramid. Karya sastera beliau di Internet dapat digapai di http://communityzero.com/penyair . (2 September 2002)

PENDAHULUAN

Apabila kita membaca sebuah sajak perkara utama yang diperhatikan ialah isi dan bentuk sajak tersebut. Yang terkandung dalam isi ialah tema, persoalan atau disebut juga mesej yang hendak disampaikan oleh Penyair kepada pembaca.

Manakala bentuk pula ialah struktur yang membangunkan sebuah sajak termasuk gaya/style dan emosi, metafora atau bahasa perbandingan, kata atau diksi, ayat atau bahasa yang digunakan, rangkap atau bait, unsur bunyi seperti asonansi, aliterasi, rima, unsur personifikasi atau perorangan, similie atau bahasa yang sama maknanya.
.
ULASAN

Sajak “Hidangan Buat Kekasih” boleh dikategorikan sebagai sajak bebas yang agak sukar untuk difahami. Sebab itulah kali pertama membacanya saya tidak bercadang hendak mengulasnya takut tersasar ke arah yang boleh disalah anggap oleh pembaca. Paling bimbang jika ulasan itu menimbulkan syak wasangka pembaca terhadap penyair sedangkan puncanya dari kesilapan tafsiran oleh pengulas.

Sekali imbas judul sajak ini cukup romantik iaitu “HIDANGAN BUAT KEKASIH” boleh membawa maksud layanan mesra atau kasih sayang yang telah, sedang atau akan diberikan oleh penyair kepada orang yang dikasihinya (kekasih). Dan saya boleh terus berpegang kepada pemahaman itu dalam membuat ulasan ini dengan alasan hak sebagai pengulas. Namun ada satu prinsip yang perlu ada kepada pengulas iaitu niat baik, jujur memberi ulasan dan menjaga maruah.

“Hidangan Buat Kekasih” juga boleh membawa maksud penyair mempunyai sekor burung peliharaannya yang terkurung dalam sangkar besi. Ini berdasarkan siulan twitt…twitt…twitt pada baris kedua terakhir. Hidangan yang dimaksudkan oleh penyair ialah makanan yang diberikan kepada burung kesayangan tersebut.

Dan pada tahap ketiga pemahaman kita ialah, tema sajak ini menceritakan susah payah penyair menghasilkan sebuah sajak. Penyair ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca bagaimana sukarnya penyair mencari kata-kata yang terindah dan sesuai untuk membangunkan sajaknya. Adapun Kekasih yang dimaksudkan oleh Pernyair ialah Komuniti penyair atau persada sastera tanah air. Dengan ini “Hidangan Buat Kekasih” membawa maksud sajak atau puisi yang hendak dipersembahkan oleh penyair ke alam sastera atau komuniti Penyair. Atau boleh juga diandaikan kekasih itu suami Penyair dan sajak ini untuk suami dan juga kekasih tersayang penyair.

Walaupun ketiga pemahaman itu menasabah dan boleh berdiri sendiri jika ingin mengulasnya dari sudut yang berbeza namun saya merasa lebih munasabah fahaman yang ketiga kerana sebab-sebab berikut:

1) Tidak mungkin Hasimah mempunyai kekasih selain dari suami kesayangannya.
2) Tidak mungkin orang yang jiwanya halus dan kaya dengan perasaan kasih sayang sanggup menyeksa seekor burung dalam sangkar besi hanya untuk memuaskan hati sendiri. Sifat semulajadi seekor burung ialah hidup lepas bebas terbang ke angkasa dan melayah ke mana sahaja yang disukainya. Sifat seorang penyair yang suka kepada kebebasan dan kaya dengan perasaan belas kasihan pasti tidak tergamak menyeksa seekor burung.
3) Kerana itu saya berpendapat lebih menasabah mengambil fahaman yang ketiga iaitu sajak ini bertemakan susah payah penyair mencari idea dan kata-kata yang indah untuk melahirkan sajaknya.

HIDANGAN BUAT KEKASIH

Penyair memilih perkataan “Hidangan” berbanding “makanan” atau “Santapan” kerana biasanya dalam satu hidangan lengkap dengan semua keperluan seperti makanan, air minuman dan buah-buahan. Kalau makanan sekeping biskut kering pun sudah boleh dinamakan makanan. Manakala santapan pula khas untuk raja atau sultan sahaja.

Inilah kelebihan orang Melayu berbanding bangsa asing. Perkataan yang sesuai untuk budaya dan bahasa Melayu perlu dijaga kerana inilah kelebihan bahasa kita. Orang Melayu dengan sopan santun bangsa Melayu tidak tergamak memanggil ibu atau bapanya kau atau awak berbanding orang putih dengan perkataan “You” sahaja.

Satu lagi contoh betapa halusnya budi bahasa Melayu iaitu penggunaan perkataan mati, meninggal dunia, mangkat dan wafat. Bagi orang Melayu yang halus budi bahasanya perkataan mati sesuai untuk binatang, meninggal dunia untuk manusia, mangkat untuk raja dan wafat untuk Nabi dan Rasul. Dan bagi orang Melayu adalah kurang sesuai jika perkataan wafat yang sepatutnya untuk Nabi dan Rasul digunakan kepada orang lain apatah lagi mereka yang bukan Islam. Inilah antara budi bahasa Melayu yang mesti difahami.

Berbalik kepada sajak “ Hidangan Buat Kekasih” hidangan yang dimaksudkan bukanlah makanan tetapi sebuah sajak atau puisi dan kekasih yang dimaksudkan ialah CommunityZero atau komuniti penyair. Dengan arti kata lain, tajuk sajak itu membawa madsud, sajak atau puisi yang hendak dipersembahkan oleh penyair terhadap komuniti penyair.

Komunitui ini dianggap kekasih oleh penyair kerana disinilah tempatnya meluah perasaan suka dukanya, Penyair merasa rindu jika lama tidak “merayau” meminjam istilah yang digunakan oleh Penyair. Kerana itu tidak salah jika Penyair mengangap komuniti ini sebagai kekasihnya. Dan kekasih ini pastinya tidak menimbulkan rasa cemburu di hati suami kesayangannya.

Kurandai sungai rasa
untuk menjaring kata-kata
lama merandai
tiada mekar kata hinggap di jala.

Kata-kata di atas jelas menggambarkan betapa sukarnya Hasimah mencari idea serta memilih kata-kata yang sesuai untuk membina sebuah sajaknya. “ Kurandai sungai rasa untuk menjaring kata-kata” membawa maksud penyair terpaksa menumpukan sepenuh perhatian serta perasaan untuk melahirkan sajaknya. Ayat demi ayat dicari untuk membena sajaknya. Dan Penyair meneruskan kata-katanya.

“ Lama merandai tiada mekar kata hinggap di jala” membawa maksud walaupun sudah lama bermenung dan berusaha mencari kata-kata yang indah dan bermakna untuk membina sajaknya namun masih dirasakan belum diperolihi. (hinggap di jala).


Randai, kurandai terus
menyapu keringat berkaca
jeram rasa terus kuredah.

Namun Hasimah tidak berputus asa dan terus menumpukan perhatian sepenuh perasaan untuk menyiapkan sajaknya. “Randia, kurandai terus.”
Penyair banyak menggunakan perkataan “Randai”.

Di Negeri Sembilan ada sejenis tarian bernama “ Tarian Randai” berasal dari Minangkabau. Dinamakan tarian randai kerana ia dilakukan dengan lemah lembut dan perlahan. Mungkin randai yang dimaksudkan penyair ialah beliau dengan tekun dan sabar terus berusaha untuk melahirkan sajaknya.

Menyentuh “Tarian Randai” Kekadang rasa malu juga kerana Negeri Sembilan selalu dikaitan dengan Minangkabau. Sedangkan bahasa yang digunakan bukan Bahasa Minangkabau, pakaian dan sebaginya tidak ada kaitan lagi dengan Minangkabau. Kalau Pulau Pinang boleh berbangga dengan “Boria” Negeri Johor dengan “Kuda Kepang” atau “Ghazal”, Melaka dengan “Joget” Kelantan dengan “Dikir Barat” Terengganu dengan…oppp nanti kena buang daerah pulak. Stop. Maaf tersasar di luar tajuk ulasan.

“Menyapu keringat berkaca jeram rasa terus kuredah” walaupun penyair merasa payah untuk melahirkan sebuah sajak namun tidak pernah merasa jemu atau putus asa. Dan pengalaman seperti ini bukan sahaja dialami oleh Hasimah tapi oleh semua penyair.

Kekadang Idea sudah ada, persoalan yang hendak disampaikan kepada pembaca sudah ada cuma untuk menyusun kata-kata yang sesuai sahaja yang belum bermula. Semasa zaman menggunakan mesin taip Penyair terpaksa bermenung lama sebelum mengetuk mesin taipnya. Bila merasa tidak puas hati, kertas dikeroyok lalu dibuang ke dalam bakul sampai. Namun zaman sekarang lebih mudah menggunakan komputer. Sekiranya ada kata-kata yang nak dibuang atau ditambah lebih mudah melakukannya.

Deras arus
kuranduk jua
namun tiada juga kata mesra

Setelah sekian lama berusaha namun Penyair merasa masih belum berpuas hati dengan sajak yang dihasilkannya. Bagi Penyair kata-kata dalam sajaknya dirasakan masih belum begitu sempurna.

Sikap berhati-hati dan tidak mudah berpuas hati dengan karya yang dihasilkan adalah baik dalam usaha untuk menghasilkan karya yang bermutu. Sebaliknya sikap sambil lewa dan mudah berpuas hati dengan karya yang dihasilkan adalah merugikan.

Kerana itulah kabarnya penyair yang terkenal seperti Usman Awang, A.Samad Said, Rahman Saari, sekadar menyebut beberapa nama, mereka tidak terburu-buru menghantar karya sebaliknya dibaiki, disemak dan dibaiki lagi sehingga dirasakan sempurna.

Kabarnya ada penyair yang menampalkan kertas sajaknya di dinding bilik bacaan dan apabila pulang ke rumah terus membaca dan menyemak sajak tersebut. Di zaman cyber ini tentulah lebih canggih yang mana sajak tersimpan dalam komputer dan setiap kali balik ke rumah boleh terus mengadap komputer.

datanglah... singgahlah
walau sekadar kulit frasa

peyair berharap dan terus mengharap agar apa yang sedang dicarinya akan diperolihi sekurang-kurangnya pembentukan awal dalam sajaknya. Tidak mustahil ada masanya hampir setengah jam mengadap komputer namun sajak yang hendak digarap masih belum menjadi. Sebaiknya jangan memaksa diri kerana kerja berkarya tidak boleh dibuat dalam keadaan tertekan. Cubalah tenangkan perasaan supaya apa yang kita cari mudah mendapatnya.

Mencipta atau melahirkan sebuah sajak bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia melibatkan pengalaman, ilmu pengetahuan serta keseluruhan kuasa mental penyair. Paling sukar hendak membentuk imej dan imejan yang boleh mengusik perasaan pembaca.

sabar tekunku
bisa menggilap frasa kurang tercerna

Akhirnya berkat kesabaran dan ketekunan pemyair berjaya juga dia menyiapkan sebuah sajak namun dirasakan masih belum sempuirna. Dan biasanya penyair akan terus memperindahkan lagi sajaknya dari masa ke semasa.

frasa 'kan kubentuk menyentuh rasa
menenangkan minda

“Frasa kan kubentuk menyentuh rasa menenangkan minda” bermaksud penyair akan terus membaiki mutu sajaknya sehingga dia sendiri merasa berpuas hati dengan karyanya. Selagi sajak itu dirasakan masih ada cacat celanya maka selagi itulah Penyair akan membaikinya.


aku perlu hidangkan kepada kekasihku

“Aku Perlu hidangkan kepada kekasihku” membawa maksud, setelah penyair merasa berpuas hati dengan sajak yang dihasilkannya barulah disiarkan di komuniti sastera atau dihantar kepada editor Majalah atau surat khabar.
Hidangan yang dimaksudkan oleh Penyair ialah sajak yang dihasilkannya untuk tatapan pembaca.

yang sedang bersiul
twit, twit, twit
di tubir sepi.

Pada mulanya saya sangka inilah kunci rahsia sajak ini. Tetapi kembali saya sedar ini bukanlah kunci rahsianya. Sebaliknya ia sengaja dibuat untuk mencabar minda pembaca supaya berusaha untuk memahami maksudnya. Ini sesuai dengan sajak ini jenis absurd yang sengaja dicipta untuk sukar difahami. " Di tubir sepi" bermaksud komputer yang menanti untuk digunakan oleh penyair terletak di satu sudut dalam bilik.

KESIMPULAN

Dalam penulisan cerpen saya masih berpegang dengan pendapat antara ciri-ciri cerpen yang baik ialah mudah difahami. Namun dalam penulisan sajak atau puisi saya terpaksa akui sajak yang sukar difahami ayatnya juga adalah baik kerana disitulah terletak keindahannya. Tambahan pula Puisi atau Sajak biasanya tidak sepanjang cerpen. Susunan kata-katanya juga indah dan menarik kerana itu pembaca mempunyai sifat ingin tahu apa makna yang tersirat di sebalik yang tersurat. Berbading cerpen yang mengambil masa yang agak lama.

Sajak “Hidangan Buat Kekasih” membawa idea dan persoalan yang biasa namun sajak ini menjadi menarik kerana bahasanya yang indah, segar dan romantik. Sajak ini juga membawa makna yang berlapis-lapis. Dan ulasan ini saya tumpukan pada lapis yang ketiga sahaja.

Sekian terima kasih.

Abdullatip
21.05.03a






Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?