Friday, January 14, 2005

 

ULASAN SAJAK DRVICTOR

ULASAN SAJAK
JUDUL SAJAK : NAMAKU ABDULLAH
KARYA : DRVICTOR POGADAEV
TARIKH TERSIAR : 13/4/2003
WEB PENYAIR : ESASTERA
PENGULAS : ABDULLATIP.

---------------------------------------------------------------------------

NAMAKU ABDULLAH

Bapa angkat aku tinggal di Pahang Tua,
Ibu angkat aku tinggal di Pahang Tua,
Saudara angkat aku tinggal entah di mana

Namaku Abdullah.
Bayu memanggil Abdullah,
Ombak memanggil Abdullah,
Hutan belantara memanggil Abdullah,
Bulan purnama memanggil Abdullah.

Namaku Abdullah.
Di sinilah hati aku
Di sinilah jiwa aku

Tanah yang suci,
Tanah yang murni.

Malaysia –
Rumahku yang kedua
Malaysia-
Cintaku yang pertama

-----------------------------------------------------------------------

CATATAN DRVICTOR DI PAPAN NOTA

Sdr Abdullatip, pasti boleh. Saya dari Rusia. Tamat Institut Bahasa-Bahasa Timur, Universiti Moscow. Pada tahun 70an pernah menuntut di Universiti Malaya dalam rangka pertukaran mahasiswa dan selama satu bulan tinggal di satu keluarga Melayu di kampung Tanjung Pahang Tua. Berminat terhadap budaya, bahasa dan sastera. Berkecimpung dalam bidang terjemahan. Sekarang pensyarah bahasa dan budaya Rusia di UM

PRAKATA

Sajak “Namaku Abdullah” terasa seolah ditulis oleh orang Melayu atau orang Malaysia. Dan saya lebih kagum bila mendapat tahu drvictor bangsa Russia, yang berminat terhadap bahasa dan sastera. Sekarang bertugas sebagai pensyarah bahasa dan budaya Rusia di UM. Beliau juga berkecimpung dalam bidang terjemahan. Drvictor telah menterjemahkan puisi Aziz Deraman ke bahasa Rusia dan:

Pada hari Kamis, 17 April pukul 3 petang di Pusat Kebudayaan Rusia (205, Lorong Ampang Dua, off Jalan Ampang) akan diadakan pelancaran buku puisi Aziz Deraman Kembara Penyair yang baru diterbitkan di Moscow dalam bahasa Rusia.

Usaha Drvictor menterjemahkan puisi Melayu ke bahasa Rusia amat diharga dan disanjung tinggi.


ULASAN:


NAMAKU ABDULLAH

Penyair memilih “Namaku Abdullah” sebagai judul sajak. Ini bukan bermakna nama sebenar penyair ialah Abdullah. Mungkin penyair bermaksud begini;

Namaku (yang sebenarnya bukan) Abdullah.
Nama (samaran)ku Abdullah
Nama (Timang-timangan)ku Abdullah
(Kekasihku Memanggil) Namaku Abdullah

Kerana itu sebelum membuat ulasan ini saya pastikan dulu nama sebenar dan berasal dari negeri mana kerana saya pernah menyangka “ Gravisdigger” itu Mat Saleh rupanya orang Melayu Malaysia.


Bapa angkat aku tinggal di Pahang Tua,
Ibu angkat aku tinggal di Pahang Tua,
Saudara angkat aku tinggal entah dimana

Penyair mengatakan bahawa beliau mendapat nama “Abdullah” itu semasa tinggal bersama keluarga angkatnya di Pahang Tua. Nama “bertuah” itu diguna pakai oleh bapa angkat, ibu angkat, saudara angkat, malah juga oleh “Bayu, Ombak, hutan belantara dan Bulan Purnama” turut memanggilnya “Abdullah”.

Kata-kata yang digunakan oleh penyair pada baris pertama dan baris kedua berjaya membuai perasaan pembaca kerana pengulangan ayat yang sama di hujungnya tetapi penyair berjaya mengejutkan pembaca pada baris yang ketiga dengan kata-kata “ Saudara angkat aku tinggal entah di mana” sedangkan pembaca menjangka kata-kata itu berbunyi begini “ Saudara angkat aku tinggal di Pahang Tua.” Kejutan kata-kata di baris yang ketiga itulah membuat pembaca ingin terus menghayatinya…

Kenapa penyair tidak menggunakan kata-kata begini? “ Bapa dan ibu angkat aku tinggal di Pahang Tua” bukankah itu menjimatkan dan tidak membazirkan kata-kata?. Sebagai ahli bahasa dan sastera kita yakin kata-kata itu sengaja dibuat oleh penyair kerana ada mesej yang hendak disampaikan.

Kata-kata yang dilontarkan oleh penyair itu membawa tafsiran yang berbagai-bagai. Ada kemungkinan penyair ingin memberitahu kita bahawa bapa angkat dan ibu angkat itu orang yang berlainan bukan suami isteri tetapi mereka berasal dari tempat yang sama. Bapa angkat penyair tinggal di rumah lain dan ibu angkat penyair tinggal di rumah lain. Mungkin juga bapa angkat penyair bapa tunggal dan ibu angkat penyair ibu tunggal. Atau kemungkinan juga penyair ada lebih dari seorang bapa dan ibu angkat di kampung yang sama. Dengan kata-kata lain, walaupun kata-kata itu nampak mudah tetapi sarat dengan berbagai tafsirannya…

Ini dikuatkan lagi dengan kata-kata dibaris yang ketiga “ Saudara Angkat aku tinggal entah dimana.”

Kata-kata ini membawa maksud kerana ramainya “Saudara Angkat” maka penyair tidak tahu dimana mereka tinggal sekarang. Tambahan pula mereka sudah besar dan berkeluarga masing-masing keluar dari kampung halaman untuk merantau mencari rezeki. Ini menjadikan penyair sering bertanya “ saudara angkat aku tinggal entah di mana”.

Hubungan baik dengan saudara mara itu boleh sahaja terputus setelah bapa dan ibu angkat penyair meninggal dunia kerana kebiasaannya apabila ayah dan ibu sudah tidak ada maka anak-anak seolah melupakan kampung halaman.

Namun bagi Penyair , walaupun sudah 30 tahun berlalu, penyair masih tidak melupakan bapa dan ibu angkatnya malah masih ingat nama tempatnya. Mungkin banyak kenangan manis yang tak dapat di lupakan selama sebulan bersama keluarga angkatnya.

Kebanyakan orang Melayu memang sayang kepada anak angkat apatahlagi kalau anak angkat itu pandai mengambil hati sehingga sanggup membahagikan hartanya sama seperti anak sendiri.

Namaku Abdullah.
Bayu memanggil Abdullah,
Ombak memanggil Abdullah,
Hutan belantara memanggil Abdullah,
Bulan purnama memanggil Abdullah.
Namaku Abdullah.

Perlambangan Bayu, Ombak, Hutan Belantara. dan Bulan Purnama yang memanggilnya Abdullah itu menggambarkan penyair merasa dirinya sebahagian daripada anggota masyarakat di kampung tersebut. Bayu berarti saudara mara keluarga ibu dan bapa angkat penyair, Ombak pula mewakili kawan-kawan sepermainan penyair, Hutan belantara berarti mereka yang tidak dikenali manakala Bulan itu maknanya mereka yang berpengaruh di kampung Tanjung pahang Tua, semua memanggil penyair dengan nama Abdullah. Ini menjadikan penyair merasa diterima oleh masyarakat kampung tersebut.


Di sinilah hati aku
Di Sinilah jiwa aku

Kata-kata itu menggambarkan penyair merasa terharu dengan penerimaan dan layanan baik yang diberikan oleh keluarga angkat dan masyarakat setempat.

Dalam masyarakat Melayu nama Abdullah begitu istimewa dan dipandang mulia kerana dikaitkan dengan Agama Islam yang menjadi anutan orang-orang Melayu sekarang. Selain itu Abdullah juga dikaitkan dengan bapa Nabi Muhammad saw. Muhammad bin Abdullah. Dalam bahasa Arab, Abdullah artinya Hamba Allah. Kerana itu tidak hairanlah ramai ibu bapa menamakan anak mereka dengan nama abdul/abdullah atau muhammad di pangkal nama.

Orang Melayu juga membinkan “ Abdullah” kepada saudara barunya yang memeluk agama Islam (muallaf). Malah anak luar nikah yang tidak diketahui ayahnya juga akan dibinkan dengan Abdullah. Ini bukan satu penghinaan malah ini satu penghormatan kerana nama Abdullah begitu mulia di kalangan masyarakat Melayu.

Tetapi amat jarang sekali orang Melayu menamakan orang yang bukan melayu dengan nama abdullah. Apatah lagi kalau belum memeluk agama Islam. Malah mereka yang masuk Islam sekalipun tidak dinamakan Abdullah, kerana tidak mahu nama itu bertindih menjadi Abdullah bin Abdullah.

Kerana itu bila Drvictor mengaku dalam sajaknya dia dipanggil Abdullah oleh ayah dan ibu angkatnya, maka ini sesuatu yang amat menarik. Tambahan pula ibu dan bapa angkat Drvictor orang Pahang yang terkenal dengan darah pahlawan Mat Kilau dan Datok Bahaman. Kerana itu tentulah Drvictor begitu istimewa kepada mereka.

Pada andaian saya ada dua sebab kenapa mereka memanggil drvictor “Abdullah”. Pertama, dalam tahun 70an, negara Russia belum begitu dikenali oleh rakyat Malaysia terutama yang duduk di kampung. Dengan itu kedatangan “ Orang Russia “ di kalangan mereka begitu istimewa sekali apatah lagi bila “Abdullah” sanggup bergaul mesra bersama mereka.

Bila mereka dapati “Orang Asing” itu menganggap dirinya sama rata dengan masyarakat tempatan seperti makan pakai tangan, tidur atas tikar mengkuang, sama-sama makan sambal belacan dan sambal tempoyak, mandi di sungai, ke sawah ladang, makan ikan masin dan ulam petai yang menjadi kegemaran orang Pahang maka mereka merasakan kehadirannya sungguh istimewa lalu memanggilnya Abdullah.

Kedua, ada kemungkinan wajah drvictor mirip orang yang disayangi oleh keluarga angkatnya lalu mereka namakan Abdullah supaya rasa kasih itu berterusan. Walau apapun yang pasti tentu ada sesuatu sebab mereka memanggil “ Abdullah.”

Tanah yang suci
Tanah yang murni

Tanah yang dimaksudkan oleh penyair ialah bapa dan ibu angkatnya yang mewakili sikap orang melayu bersih hatinya menerima tetamu walau mereka tidak ada hubngan darah. Baik budi bahasanya dan tingah lakunya serta menghormati tetamu.

Tanah juga boleh diartikan sebagai anak gadis kampung yang masih suci jiwa raganya dan murni tingkah lakunya serta baik budi bahasanya. Kesemaunya itu memikat hati Penyair.

Malaysia
Rumahku yang kedua
Malaysia
Cintaku yang pertama

Sekali lagi penyair mengejutkan kita dengan kata-kata yang mengandungi banyak makna. “Malaysia rumahku yang kedua” apakah penyair mempunyai dua orang isteri seorang di Russia dan seorang di sini?. Atau penyair menganggap layanan yang diberikan kepadanya seolah berada di negara sendiri?.

Pada barisan akhir kata-kata yang kita jangka ialah “Malaysia cintaku yang kedua” sesuai denga ayat sebelumnya “ malaysia Rumahku yang kedua”.

Kenapa Malaysia dianggap seperti rumah yang kedua tetapi menjadi “cintaku” yang pertama?.

Cinta pertama biasanya berlaku apabila seseorang itu jatuh kasih dan sayang kepada orang lain, bukan ibu, adik dan kakak kerana mereka tidak boleh dikatakan “Cinta Pertama”.

Ada kemungkinan Malaysia negara pertama yang dikunjungi oleh Penyair. Di Sini penyair menimba ilmu pengetahuan, di sini Penyair mendapat Bapa/ibu dan saudara angkat dan disini Penyair mencari rezeki, maka berputik cintanya kepada negara ini.

Atau mungkin juga penyair sudah pergi ke banyak negara namun tidak ada yang menarik cintanya melainkan negara Malaysia. Namun kata orang “Hujan Emas di negara Orang” negara sendiri mustahil dilupakan. Kerana itu penyair menganggap negara Rusia adalah rumah pertama dan malaysia rumah kedua.

KESIMPULAN

Sajak “Namaku Abdullah” dibena dengan ayat yang sederhana sahaja tetapi mengandungi pintu-pintu rahsia yang hanya di fahami oleh penyairnya sahaja. Ayat-ayat yang digunakan oleh penyair mudah difahami tetapi mencabar minda kita untuk mentafsirkan maknanya.

Kita mengalu-ngalukan sumbangan seorang ilmuan dari Russia ini untuk memperkasakan lagi sastera dan budaya kita,. Akhir kata saya mohon maaf jika ulasan ini terdapat kelemahan atau kekurangan atau menyinggung perasaan. Syabas saya ucapkan kepada drvictor. Semoga selepas ini akan muncul lagi karya beliau yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Abdullatip
15/4/2003



Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?