Friday, January 14, 2005

 

ULASAN SAJAK DRIRWAN ABU BAKAR

Tajuk Puisi : MENOLAK REZEKI / Karya Prof Dr Wan Abu Bakar /
Pengulas : abdullatip.
Menolak Rezeki

Tong sampah besar sebiji dikunjungi setiap hari mencari rezeki
sehari dia cuti terbuang selori rezeki, dimakan api atau bumi
pernah dia berjumpa sebuah beg plastik berisi wang selaksa milik
si cuai yang kaya
tapi hingga kini peristiwa ini masih lagi baginya suatu babak
mimpi siang hari.

Hari ini dalam kesibukan kerja biasa
terjumpa dia bungkusan berisi bayi yang tersengih sumbing
melihat matanya.

"Ah, yang ini susah nak jual," kuis tangan kirinya
lalu ia terusi tugas sehari-hari mengais isi tong mencari rezeki.

Saya belum dapat memiliki majalah Dewan Sastera April 2003 tapi saya ingin mengucapkan tahniah kepada drirwan kerana puisi berjudul “Menolak Rezeki” hasil karya beliau tersiar di majalah tersebut.

Mungkin ramai yang telah membaca ulasan oleh sdr nakhoda pada sajak tersebut di komuniti ini dan saya rasa ulasan itu amat menarik kerana itu bukanlah maksud saya hendak menyainginya. Cuma apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah terdapat kelainan pada tafsiran makna disebalik apa yang tersurat dari yang tersirat.

E.D HIRSCH mengatakan bahawa makna karya ialah makna penghasilnya. Pembaca memperoleh signifikan karya setelah akal fikiran melakukan kerja mentafsirkannya.

A BAKAR HAMID pula mengatakan bahawa seseorang pengulas atau pengkritik mentafsirkan karya “saudaranya” dengan apa yang ada dalam karya. Oleh itu pernah berlaku penyair atau sasterawan mengagumi tafsiran yang dibuat oleh pengkritik atau pengulas kerana makna yang dikemukakan tidak terfikir oleh penyair ketika karya itu dihasilkan. Dalam keadaan ini pengulas atau pengkritik sebenarnya melakukan dua kerja serentak iaitu mengeluarkan makna yang ada dalam karya dan juga memberikan makna kepada karya tersebut.

Kali pertama membaca puisi “Menolak Rezeki” dari ulasan Nakhoda, saya nampak hanya yang lahir sahaja. Tetapi setelah membacanya berulang-kali barulah kita dapat merasakan ada sesuatu “kelainan” kerana itulah saya ingin berkongsi pendapat.

Dalam puisi “ Menolak Rezeki” ada tiga perlambangan yang perlu kita fikirkan maknanya; pertama “Tong Sampah Besar Sebiji” kedua “Dia” pencari rezeki dan ketiga “Bayi Yang Tersengeh Sumbing”

Secara zahirnya puisi ini mengisahkan seorang pengutip sampah (dia) mencari rezeki dengan menyelongkar barang-barang terbuang yang terdapat dalam tong sampah. Kerja seperti ini biasa kita lihat dimana-mana, cuma kebiasaanya orang kurang siuman sahaja yang menyelongkar tong sampah tetapi orang yang agak waras lebih suka mencari rezeki di tempat pembuangan sampah. (tempat terbuka)

Saban hari “dia pencari rezeki” akan menyelongkar tong sampah untuk mencari sesuatu yang boleh dijual. Walaupun kerja itu agak menjijikkan namun tidak menyalahi undang-undang dan tidak siapa boleh menghalang. Kabarnya ada yang bernasib baik mendapat barang berharga yang dibuang oleh orang kaya yang cuai. Tetapi “dia” dikatakan menolak rezeki kerana tidak menghiraukan bayi yang dijumpainya dalam tong sampah kerana menganggap bayi itu “susah nak dijual.”

Maka disinilah timbulnya istilah menolak rezeki kerana kalau bayi itu dibawa pulang ke rumah, dibuat lapuran polis dan dibuat permohonan sebagai anak angkat, atau dijual kepada mereka yang memerlukan maka akan timbuil pula istilah “mendapat rezeki.”.
.
Persoalannya, kalau tin buruk, botol kosong, besi buruk dan surat kabar lama boleh dijual oleh pengutip sampah, kenapa tidak dengan bayi?. Kecuali kalau bayi itu sudah mati, tetapi bayi dalam puisi ini masih hidup kerana tersengeh sumbing semasa dijumpai. Maka di sinilah kita berpendapat ada makna yang tersurat di sebalik yang tersirat.

Cuba kita perhatikan kata-kata dipermulaan puisi tersebut;

Tong sampah besar sebiji
dikunjungi setiap hari
mencari rezeki

Makna “Tong sampah besar sebiji” itu bukanlah tong sampah dalam arti kata yang sebenar kerana kalau tong sampah sebenar, ayatnya “Sebiji Tong Sampah Yang Besar”. Tetapi bila disebut “Tong Sampah Besar Sebiji” boleh membawa maksud sebuah parti politik yang berpengaruh di negara kita. (maaf kerana saya tak sebut nama)

Mungkin ada yang mengatakan itu sekadar permainan kata-kata penyair, tapi bagi saya ayat itu boleh diartikan sebagai ada makna disebaliknya. Mungkin juga nanti drirwan akan kata maksud sebenarnya memang ‘Tong Sampah’ dan puisi ini tidak ada kaitan dengan politik. Tetapi sebagai pembaca yang ingin memahami makna disebalik kata-kata itu tidak salah kan kalau saya mentafsirkannya begitu. Mungkin juga nanti akan ada yang menuduh saya sengaja mempolitikkan sajak “ Menolak Rezeki”. Walau apapun saya akan terima kerana itulah perspektif saya dalam usaha mencari kelainannya.

Pencari rezeki (dia) yang dimaksudkan dalam puisi ini pula ialah seorang ahli politik yang berjuang hanya untuk kepentingan diri sendiri. Manakala bayi yang dijumpai itu ialah anak bangsa sendiri yang naif terbiar mengharapkan pembelaan namun tidak dipedulikan kerana sang politik sentiasa sebuk dan lebih mengutamakan kepentingan sendiri.

Seperti mana yang kita maklum, sekarang ini ramai yang masuk politik dengan berbagai tujuan atau matlamat. Ada yang menceburkan diri di gelanggang politik untuk mendapatkan kuasa dan harta. Ada pula masuk politik kerana marahkan seseorang atau membela “heronya” yang dirasakan dizalimi. Malah ada juga yang menjadikan agama sebagai cara untuk meraih sokongan. Tetapi di zaman Allahyarham Tun Abdul Razak, perkara ini jarang berlaku. Ahli politik berjuang untuk bangsa, agama dan negara. Contohnya, ketika orang-orang Melayu tidak mempunyai tanah maka dibuka tanah rancangan FELDA, FELCRA dan sebagainya. Ketika orang-orang Melayu tidak mendapat pendidikan tinggi maka di wujudkan Universiti-Universiti dan anak-anak Melayu diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Ketika orang-orang Melayu lemah di bidang ekonomi maka di wujudkan DASAR EKONOMI BARU, ditubuhkan MARA dan sebagainya..

Tetapi apabila masa berubah maka perjuangan politik juga turut berubah. Kalau dulu mereka berjuang semata-mata untuk bangsa, agama dan tanah air tetapi sekarang ada diantara mereka hanya memperjuangkan nasib sendiri. Ibarat pengutip sampah seperti yang digambarkan dalam puisi itu, lebih mementingkan duit dari nyawa seorang bayi.. Jika pengutip sampah menjadian tong sampah sebagai sumber rezekinya maka ahli politik menjadikan partinya sebagai landasan untuk mengubah taraf hidupnya. Namun kita akui tidak semua ahli politik begitu kerana masih ada yang ikhlas berjuang demi untuk bangsa agama dan tanah air. Ahli politik seperti itu akan disanjung semasa hidupnya dan akan dikenang budinya setelah kematiannya.
.

Sehari dia cuti
terbuang selori rezeki,
dimakan api atau bumi

Bagi ahli politik yang tamakkan harta dan kuasa, tidak ada istilah cuti dalam kerjayanya. Dia sanggup bekerja siang dan malam. Setiap saat baginya amat berharga dan tidak mahu rezeki terlepas ke tangan orang lain ketika dia bercuti. Yang dimaksudkan dengan dimakan api atau bumi itu ialah dia takut rezekinya akan dirampas oleh pihak lawan atau saingannya dalam parti semasa dia bercuti. Atau boleh juga dikatakan, kalau dia melepaskan peluang nescaya orang lain akan merebutnya.

pernah dia berjumpa
sebuah beg plastik berisi wang selaksa
milik si cuai yang kaya

Mengikut apa yang tertulis ialah “ berjumpa” bukan “terjumpa”. Ayat berjumpa dengan terjumpa ada kelainan maknanya. Dalam puisi tersebut, dia (pencari rezeki) berjumpa sebuah “beg plastik berisi wang”. Ini bermakna beg plastik berisi wang itu bukanlah beg plastik dalam arti kata yang sebenarnya. Ia boleh diistilahkan sebagai “orang kaya” yang dijumpainya setelah mendapat tempat dalam parti. Dia tertarik berjuang dalam politik bila melihat kawan-kawannya menjadi kaya raya setelah aktiv dalam politik kerana mendapat “tongkat” dari mereka yang berkuasa. Dia juga berharap akan beroleh laba seperti kawannya..

tapi hingga kini peristiwa ini masih lagi baginya suatu babak
mimpi siang hari.

Namun impian itu hanya tinggal impian ibarat mimpi di siang hari kerana harapannya untuk mendapat yang bulat datang menggolek atau yang pipih datang melayang, masih belum menjadi kenyataan. Namun dia masih tidak putus ada dan terus berusaha.

Hari ini dalam kesibukan kerja biasa
terjumpa dia bungkusan berisi bayi yang tersengih sumbing
melihat matanya.

Politikus yang berjuang hanya untuk kepentingan diri sendiri sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan yang pastinya mendatangkan “laba”. Dia lupa diri dan mabuk dengan kuasa dan kekayaannya. Akibatnya dia tidak menghiraukan nasib anak bangsanya yang mengharaapkan bantuan dan pembelaan. Paling malang bila ada rakyat marhain yang ingin meminta pertolongan dianggap hanya membuang masa dan tidak membawa keuntungan kepada dirinya.

Terjumpa dia bungkusan berisi bayi yang tersengeh sumbing

Dalam ayat ini perkataan yang digunakan ialah “Terjumpa” berbanding dipermulaan tadi “Berjumpa”. Bungkusan berisi bayi yang tersengeh sumbing itu boleh membawa makna, anak bangsanya yang terbuang, terbiar, tidak dipedulikan. “Dia” dimaklumkan perkara itu namun hatinya merasa meluat melihat muka anak bangsanya yang serba kekurangan.

Pada kebiasaannya, wajah seorang bayi amat menawan. Mukanya jernih matanya bercahaya tanpa sedikit pun dosa. Tetapi apa yang dilihat oleh pencari sampah itu ialah muka bayi yang “Tersengeh Sumbing” menyakitkan mata memandang.

Kalau diibaratkan seorang pemimpin atau ahli politik, dia pasti merasa belas kasihan jika melihat anak bangsanya dalam keadaan lemah, miskin, mundur dan tidak berilmu pengetahuan. Sepatutnya dia membela anak bangsanya, bukan mencaci dan menghina ….opss.

"Ah, yang ini susah nak jual," kuis tangan kirinya
lalu ia terusi tugas sehari-hari mengais isi tong mencari rezeki.


Di sinilah letaknya keindahan puisi ini. Sesuai dengan tajuknya “ Menolak Rezeki” rezeki yang berharga itu hanya dikuisnya degan tangan kiri. Tangan kiri mempunyai perlambangan tertentu kerana tugasnya juga hanya untuk yang tertentu pula. Sebab itulah dikatakan kurang sopan kalau bersalam atau mengambil barang pemberian menggunakan tangan kiri.

Kalau seorang pemimpin mengambil berat nasib anak bangsanya, maka keuntungannya bukan sahaja oleh anak bangsanya tetapi juga terhadap dirinya juga kerana dia akan terus disanjung sehingga ke akhir hayat. Sebaliknya jika dia hanya asyik mementingkan perut sendiri akhirnya dia akan ditolak.. Maka di sini letaknya kewajaran istilah “Menolak Rezeki”.

Persoalannya, adakah wajar parti politik yang pernah berjasa suatu ketika dulu kini hanya diibaratkan sebagai “Tong Sampah?”. Adakah wajar semua ahli politik dianggap seperti pengutip sampah di tong sampah?.

Walaupun begitu saya harap ulasan ini tidak menyinggung mana-mana pihak terutama keluarga ahli politik. Anggaaplah ini cuma tanggapan seorang pembaca setelah meneliti puisi karya Drirwan yang berjudul “ “Menolak Rezeki”. .

Saya tidak akan menyentuh seni bunyi (pengulangan vokal), Inversi dan Hiperbola kerana telah disentuh dengan jelas oleh saudara nakhoda dalam ulasannya. Saya rasa dia lebih arif lagi dalam hal ini.

Kesimpulan

Puisi “Menolak Rezeki” memang menarik untuk diperkatakan dan tafsirannya terpulang kepada kita sendiri. Mungkin benarlah seperti kata tokoh saterawan tanah air kita yang mengatakan “ kekadang makna yang dikemukakan oleh pengulas tidak terfikir ketika karya berkenaan dihasilkan.” Akhir kata yang baik itu datangnya dari Allah SWT tapi yang silap itu daripada diri saya sendiri. Wassalam.

Pemarkahan: 5 *****

Abdullatip
9/4/2003





Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?