Friday, January 14, 2005

 

ULASAN SAJAK ABDULLATIP OLEH HASIMAH HARON

ULASAN SAJAK “JIKA AKU JATUH CINTA” KARYA ABDULLATIP (Ulasan Oleh Hasimah Harun)
JIKA AKU JATUH CINTA

Ya Rabbi…
Jika aku jatuh cinta
aku mohon padamu
sirami hatiku dengan kasihMU
yang tak terbatas.

Ya Rahman.…
jikaku cinta pada makhlukMU
aku mohon padaMU
Jangan biarkan cintaku
padaMU berkurang
hingga aku lalai pada zatMU

Ya Rahim…
jika aku jatuh cinta
temukan aku seorang yang
hatinya rindu pada kasihMu
dan aku semakin kagum
dengan kewujudanMu

Ya Aziz...
Jika aku jatuh cinta
Jangan palingkan wajahMU
aku perlukan RahmanMU
aku harapkan RahimMU
aku pohonkan RahmatMU

Ya Jabbar...
Jika aku jatuh cinta
anugerahkan cintaMU
yang abadi
itulah matlamat hidupku.


Ulasan

Sajak ini sajak ketuhanan. Ada lima rangkap dan kelima-limanya dimulai dengan istilah ketuhanan:
Ya Rabbi (Wahai Tuhanku)
Ya Rahman (Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah)
Ya Rahim (Wahai Tuhan Yang Maha Penyayang)
Ya Aziz (Wahai Tuhan Yang Maha Perkasa)
Ya Jabbar (Wahai Tuhan Yang Maha Berkuasa)

Sajak ini penulisannya mantap dan penuh kecintaan dalam lingkungan batas keredaan Tuhan. Penyair bermohon agar Allah memenuhi hatinya dengan kasih sayang kerana hanya Allah yang berkuasa melakukannya. (Rangkap satu).
Doa penyair seterusnya ialah jika dia jatuh cinta terhadap seseorang, janganlah nanti dia leka mengingati Allah.(Rangkap dua).
Penyair mengharapkan agar dia ditemukan dengan wanita solehah dan beriman. Dengan demikian penyair akan bersama-sama mengingati Allah (Rangkap tiga).
Doa penyair seterusnya ialah jika dia jatuh cinta, janganlah menyebabkan dia melakukan kemungkaran, malah pada ketika itu penyair lebih mengharapkan pertolongan, belas kasihan dan rahmat Allah (Rangkap empat).
Kemuncak doa penyair adalah agar dia dianugerahi cinta abadi daripada Allah kerana itulah tujuan utama hidup. (Rangkap lima).
Pada amnya, kita mendapat gambaran bahawa penyair ialah seorang yang beriman. Dia tidak mahu sebarang kecintaan duniawai mengganggu kecintaannya terhadap Allah.

Sajak ini bukan sekadar sajak biasa malah boleh dibaca dengan penuh penghayatan sebagai berdoa. Sajak ini memberi keinsafan kepada kita bagaimana seharusnya bercinta. Cinta kasih secara keseluruhan hati perlulah kita serahkan kepada Allah. Allahlah tempat kita mengadu. Sebab itulah jika kita berhadapan dengan sebarang masalah, kita perlu bertenang. Saya tahu bahawa bercakap memang senang tetapi betapa sukarnya hendak dilaksanakan. Tarik nafas panjang, duduk diam-diam. Jika tidak berjaya, cepat-cepat ambil air sembahyang dan duduk diam-diam semula. Kalau ada kekuatan, eloklah dirikan solat yang tertentu seperti solat hajat, solat tahajjud, atau solat-solat sunat lain. Jika tidak berupaya, duduk diam-diam. Rasa hendak menangis, menangislah untuk memberi kelegaan kepada hati.
Daripada pengalaman saya, semasa menghadapi sesuatu musibah, selalu terdetik di hati saya: “Mahu kuadukan kepada siapakah persoalan ini? Bolehkah “dia” aku percaya? Bolehkah “dia” menolong? Aah… kalau diadukan kepada sesama manusia, dalam perjalanan masa, cerita yang putih akan menjadi kelabu, akan menjadi hitam, akan bertambah kusut. Dalam menghadapi situasi ini keimanan kitalah yang akan mendorong kepada pendekatan diri kepada Allah. Terasa seperti kita duduk bersimpuh tertib di hadapan Tuhan yang Maha Agung. Pada ketika kita sarat memikul masalah, amat berertinya kata-kata penyair Abdullatip ini, “sirami hatiku dengan kasih-Mu, yang tidak terbatas.”

Pada ketika permasalahan membelit jiwa, kita berasa sayu dan insaf bahawa kita sebenarnya tidak tekun mengingati Allah ketika gembira. Hendak cepat sahaja ke sana ke mari. Gelak ketawa, makan berselera, ooh.. dunia ini aku yang punya. Tetapi ketika ada sesuatu krisis yang menghunjam benak rasa, amat berertilah kata-kata penyair Abdullatip ini.
“Aku mohon pada-Mu
jangan biarkan cintaku
pada-Mu berkurang
hingga aku lalai pada zat-Mu”

Beralih kita kepada persoalan mereka yang belum berkahwin. Bagi seseorang gadis atau teruna yang sudah sampai masa dan ketika untuk berumah tangga, ini juga suatu penentuan yang penuh perjudian. Manalah kita tahu seseorang gadis itu mulia atau teruna itu kuat beragama atau tidak. Mungkin dia buat-buat alim sahaja untuk memikat kita. Pada ketika itu amat berertinya kata-kata penyair Abdullatip ini.
“Temukan aku seorang yang
hatinya rindu pada kasih-Mu”
Jika kita ikhlas melafazkan doa, insya-Allah Tuhan yang Maha Mengasihani akan memakbulkan doa kita.
Bercinta memanglah amat mengasyikkan. Tetapi jika seseorang itu beriman, dalam asyik maksyuk bercinta, dia terus berusaha menambatkan hati kepada Allah dan teruslah dia berdoa.
“Jika aku jatuh cinta
jangan palingkan wajah-Mu
aku perlukan Rahman-Mu
aku harapkan Rahim-Mu
aku pohonkan Rahmat-Mu”
Orang beriman tahu bahawa cabaran dalam bercinta sememangnya hebat. Hati mungkin dirayapi perasaan bimbang curiga, cemburu, apatah lagi jika datang pula titik-titik fitnah yang cuba menimbulkan keraguan. Seribu satu persoalan yang timbul. Semuanya menuju ke arah kekeruhan, kekusutan, dan pecah belah. Di sinilah kita mesti segera dapatkan pertolongan Allah Yang Pemurah dan Penyayang. Menangislah. Allah menyukai orang yang ikhlas meminta dan mengharapkan pertolongan-Nya. Allah Maha Mendengar. Mengadulah. Tiada buruk sangka Allah terhadap manusia yang merendah diri yang mengharapkan Ihsan-Nya.

Wajar sekali sebagai sebuah sajak keagamaan Abdullatip mengingatkan kita bahawa tujuan hidup kita adalah untuk mendapat cinta kasih Allah. Bayangkanlah jika Allah sudah membenci kita. Tidak ada gunanya lagi hidup ini.

Penutup:
Sajak ini datang tepat pada waktunya ketika saya terkapai-kapai mencari kekuatan. Tiada tempat rasanya hendak mengadu. Siapakah kawan, siapakah sahabat, makin keliru dan tidak tahu. Sukar juga mengurus perasaan dalam saat-saat seperti itu. Tetapi alhamdullilah, apabila awan kelabu sudah berarak pergi, kekuatan diri ditemui, saya berasa ringan dan lega. Kembalilah saya laksanakan aktiviti-aktiviti yang saya gemari. Salah satunya ialah kegiatan menulis ulasan. Maaf kerana terlupa hendak memberi tumpuan kepada pemilihan kata, frasa, klausa, dan ayat. Saya kira semuanya okey dari segi simile, perlambangan dan kosa kata. Dalam sukar yang saya hadapi, di sini saya temui ubatnya. Terima kasih.

Markah: 4.5 bintang

HASIMAH HARUN
Kuala Lumpur, 28.05.03



Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?