Friday, January 14, 2005

 

ULASAN SAJAK HARI IBU

ULASAN 8 PUISI SEMPENA HARI IBU
TAJUK PUISI
BISIKAN HATI UNTUK IBU OLEH : ALAIEFFA
KITA SAMA BERDIRI MEMAYUNGI : SRI DIAH
SETELAH DIA BERNAMA IBU : DAHRIE
KERANA DIA BONDAKU :MSHUKRINASIAR
SEJUNJUNG KASIH BONDA : NILAMSARI
SELAMAT HARI IBU : JOKERFC3
BONDA : ARISEL BA
IBU SANJUNGAN JIWA : NAKHODA
WEB: PENYAIR
PENGULAS: ABDULLATIP

PRAKATA

11 Mei pada setiap tahun adalah “ Hari Ibu “ yang disambut oleh seluruh masyarakat dunia tanpa mengira bangsa atau agama dan pada tahun 2003 ini temanya ialah “ Ibu Sihat Keluarga Bahagia.”
Menurut sejarahnya hari ibu mula disambut di Amerika Syarikat dan diamalkan oleh pengaut agama Kristian sebagai memperingati perngorbanan seorang ibu. Namun pada hari ini masyarakat yang beragama Islam juga merayakannya kerana tidak ada ulamak yang mengatakannya haram kerana bertujuan untuk memberi penghormatan kepada seorang ibu.
Walaubagaimanapun, Islam menyarankan supaya anak-anak menghormati ibu sepanjang masa bukan pada 11 Mei sahaja dan alangkah malangnya nasib seorang ibu jika pada hari ibu pun anak-anak tidak mahu menghormati dan mengingatinya.
Pada hari ibu ini kunjungilah ibu anda dan hormatilah dia walau sekadar mencium tangannya atau lebih baik lagi jika anda tunjukkan kasih sayang dengan mencium pipinya sambil memohon kemaafan dan lebih baik lagi jika anda berikan dia hadiah sekadar yang termampu pasti mengembirakan hatinya.
Sempena Hari Ibu yang jatuh pada hari ini, Komuniti Penyair disajikan dengan 8 puisi yang bertemakan ibu dihasilkan oleh 8 penyair, 3 penyair wanita dan 5 penyair lelaki.

BISIKAN HATI UNTUK IBU - HAJAH SITI
Oleh: Alaieffa

Ampuni dosaku
Kerana kelahiran ku
Darah mu tumpah ke bumi

Ampuni dosaku
Kerana sakit, sedih ku
Airmata mu membasahi pipi

Ampuni dosaku
Kerana membesarkan ku
Resah gelisah selalu kau alami

Terima kaseh ku pada mu
Atas jasa mu membesarkan ku
Atas segala kasih sayang mu

Terima kaseh ku pada mu
Atas bimbingan dan ajaran mu
Aku dapat menjadi ibu seperti mu

Doakan dan restuilah diriku agar berjaya
Mejadi ibu seperti mu jua
Melahirkan anak bangsa yang berwibawa

Setinggi gunung seluas lautan
Bukan dapat jadi ukuran
Pengorbanan ibu tak ada batasan
Kasih sayangnya tetap berkekalan

Doaku untuk mu ibu
Agar ALLAH memberi restu
Atas segala jasa dan bakti mu
Pahala Syurga ganjaran untuk mu

Alaieffa, atau nama penuhnya Syarifah Mariani Malai Othman lahir di Negeri Brunei Darus Salam pada 6 ogos 1955. Walaupun baru di bidang penulisan namun telah menunjukkan minat dan kesungguhan. Selain puisi beliau juga menulis cerpen yang pernah disiarkan di kumuniti Cerpenis. Beliau juga berkebolehan menulis sajak jenaka (sajen) yang banyak disiarkan di ruangan komuniti sajen.
Ibu kepada tiga orang anak, 2 lelaki dan 1 perempuan, dan isteri kepada seorang pegawai tertinggi polis negara Brunei ini walaupun mula menghasilkan puisi di ketika usia lewat 48 tahun namun dengan kematangan fikiran disertai pula oleh pengalaman menjadikan karyanya menarik.
Alaieffa melalui sajaknya BISIKAN HATI UNTUK IBU memulakan kata-katanya seperti berikut:

Ampuni dosaku
kerana kelahiranku
darahmu tumpah ke bumi”.

Sempena hari ibu ini Penyair ingin mengingati pengorbanan seorang ibu yang menanggung kesakitan ketika melahirkannya. Di samping itu Penyair juga ingin memohon ampun dan maaf jika ada salah dan silap terhadap ibunya.

Ampuni dosaku
Kerana sakit, sedih ku
Airmata mu membasahi pipi

Seperti yang kita maklum, saat yang paling mencemaskan bagi seorang ibu ketika hendak melahirkan bayinya. Dan saat yang paling membahagiakan bagi seorang ibu pula apabila telah berjaya melahirkannya. Ketika itu hilang segala kesakitan yang dirasakannya. Allah swt dengan rahmatNya telah memberikan rasa kasih sayang di hati seorang ibu kepada anaknya sehingga si ibu walaupun tahu ketika bersalin ibarat bersalin nyawa namun tidak pernah serik untuk terus melahirkan lagi cahaya mata dari zuriat suaminya.

Ampuni dosaku
Kerana membesarkan ku
Resah gelisah selalu kau alami

Selain melahirkan anak, si ibu juga sanggup bersusah payah memelihara anak sejak dilahirkan hinggalah besar. Si Ibu sanggup berjaga malam apabila anak menangis dan Si Ibu turut merasa sakitnya jika anak jatuh sakit, seperti kata penyair “ Kerana sakit, sedihku, air matamu membasahi pipi”.
Penyair juga merakamkan penghargaan kepada ibu yang telah bersusah payah mendidik dan membesakan dengan kata-katanya “ kerana membesarkan ku, resah gelisah selalu kau alami.”
Pada rangkap pertama kedua dan ketiga, penyair memulakan ayat dengan “ Ampuni dosaku…”. Mungkin timbul persoalan, adakah seorang ibu boleh mengampun dosa anaknya?. Bukankah Allah yang mengampunkan dosa?.
Di Zaman Rasullullah saw pernah terjadi satu kisah seorang pemuda bernama al Qomah mengalami masalah ketika hendak meninggal dunia. Berita itu disampaikan kepada Rasullulah saw, dan setelah di siasat baginda dapati ibu kepada pemuda itu merasa sakit hati akibat perbuatan anaknya. Dan setelah si ibu memaafan kesalahan anaknya barulah pemuda itu meninggal dunia dengan mudah.
Kita juga selalu mendengar bahawa “ Syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu” yang menunjukkan begitu besarnya peranan seorang ibu terhadap anak yang dikandungnya.
Dari kisah tersebut menunjukkan bahawa kemaafan dari ibu adalah penting sebelum mendapat keampunan daripada Allah swt. Walaubagaimanapun Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Terima kaseh ku pada mu
Atas jasa mu membesarkan ku
Atas segala kasih sayang mu

Di rangkap seterusna penyair mengucapkan terima kasih kepada ibu yang telah memberi bimbingan serta tunjuk ajar sehingga penyair juga mampu menjadi ibu kepada anak-anaknya. Lalu penyair merakamkannya begini;

Terima kaseh ku pada mu
Atas bimbingan dan ajaran mu
Aku dapat menjadi ibu seperti mu

Selain mengucapkan terima kasih penyair juga memohon keredhaan daripada ibunya dengan kata-kata;

Doakan dan restuilah diriku agar berjaya
Mejadi ibu seperti mu jua
Melahirkan anak bangsa yang berwibawa

Bagi Penyair kejayaan yang dicapainya adalah dengan berkat doa dan restu dari seorang ibu. Kejayaannya menjadi ibu kepada anak-anaknya juga adalah dari tunjuk ajar dari seorang ibu.
Penyair memohon doa restu dari ibunya semoga dia juga berjaya di dunia dan akhirat. Dan akhir sekali penyair memohon doa semoga Allah swt mengampunkan dosa ibunya dan menempatkannya di dalam Syurga.

Setinggi gunung seluas lautan
Bukan dapat jadi ukuran
Pengorbanan ibu tak ada batasan
Kasih sayangnya tetap berkekalan

Pengorbanan seorang ibu amat bernilai dan tentulah tidak mampu dibayar upahna oleh anak. Penyair menganggap sekiranya di berikan kepada ibu segunung emas sekalipun tidak sama nilainya dengan jasa seorang ibu melahirkan anaknya. Dan penyair mengakhiri puisinya dengan sebuah doa semoga ibunya mendapat rahmat daripada Allah swt dan seterusnya di tempatkan ke alam Syurga.

Doaku untuk mu ibu
Agar ALLAH memberi restu
Atas segala jasa dan bakti mu
Pahala Syurga ganjaran untuk mu


PUISI SRI DIAH

KITA SAMA BERDIRI, MEMAYUNGI
(Dedikasi untuk bonda – Hajah Halijah Ibrahim
Sempena Sambutan Hari Ibu)

Aku harum berkembang dalam wangi tamanmu, bonda
Telah tersebar keseluruh alam, engkau selamanya ratu
Di sisiku kita sama-sama berdiri, memayungi
Bonda, sinambungkan nafiri, laungkan gema
Kita sama; siang dan malammu kita serupa
Kau ibu dan aku kini mama buah cintaku
Sesekali aku tersadung, rebah aku di ribaanmu
Engkau membalut luka hatiku, bonda
Tanganmu hangat memanjakan
Bibirmu santun menabur pesan;
Hidup adalah keras perasaan
Ya, aku hanya ada seorang bonda, kamu
Hidup ini manis, mari kita hirup bersama
Kemanisan sepanjang zaman
Dipenghujung hayat nikmatnya milik kita
Walau ke dunia mana
Kujunjung setingginya hormat rasa
Dirgahayu untukmu, bonda...

Sri Diah
7 Mei 2003

Sri Diah atau nama penuhnya Radhiah Saharuddian anak kelahiran negeri Kedah Darul Aman pada 10 July 1962,beliau seorang penulis yang sudah mencipta nama di bidang penulisan. Beliau antara penulis wanita yang mampu bertahan dan banyak menghasilkan novel, cerpen dan puisi. Sri Diah bertugas sebagai Managing Editor Kumpulan Karangkraf dan beliau bertanggung jawab menjaga 30 buah majalah keluaran syarikat gergasi itu.
Ibu kepada 3 orang anak ini (semuanya putera) telah menghasilkan hampir 20 buah novel dan 100 buah cerpen dan 100 buah puisi yang pernah tersiar di akhbar dan majalah tempatan dan beliau juga pernah memenangi 7 hadiah pertandingan menulis cerpen dan puisi.

ULASAN

Sri Diah pula tampil dengan tajuk puisinya “ Kita Sama Berdiri, Memayungi.” Dan sebelum itu penyair dalam intro puisi ini menuliskan “ Seorang wanita itu lebih memahami hati seorang ibu setelah dia menjadi seorang ibu.”
Tajuk puisi ini membawa maksud, dengan asuhan, bimbingan serta kasih sayang seorang ibu maka sekarang anakmu juga sudah berjaya menjadi seorang ibu.
Sri Diah memulakan Puisinya dengan ayat-ayat berikut:

Aku harum berkembang dalam wangi tamanmu, bonda
Telah tersebar keseluruh alam, engkau selamanya ratu
Di sisiku kita sama-sama berdiri, memayungi

Penyair merasakan dirinya membesar dengan kasih sayang dari seorang ibu. Kerana itu bagi Penyair ibulah “Ratu” hatinya buat selamanya kerana di Dunia dan di Akhirat ibu cuma satu sahaja.
Seterusnya penyair berbangga kerana tunjuk ajar dari ibu menyebabkan dia juga mampu menjadi seirang ibu dan dia juga akan mengasuh anak-anaknya dengan penuh kasih sayang seperti yang dilakukan oleh ibunya.
Walaupun penyair kini sudah boleh berdikari, mempunyai rumah tangga dan anak-anak sendiri namun Penyair masih memerlukan perhatian dan tunjuk ajar dari ibu seperti katanya

“ Sesekali aku tersadung, rebah aku di ribaanmu. Engkau membalut luka hatiku, tanganmu hangat memanjakan, bibirmu santun menabur pesan. Hidup adalah keras perasaan.”

Ya, aku hanya ada seorang bonda, kamu
Hidup ini manis, mari kita hirup bersama
Kemanisan sepanjang zaman
Dipenghujung hayat nikmatnya milik kita

Penyair merasakan kejayaan yang dicapainya pada hari ini berkat doa restu dari seorang ibu. Kerana itu Penyair merasakan ibunya juga berhak untuk menikmati kejayaan yang dinikmatinya.
Bagi Penyair di penghujung usia ibunya ini biarlah dia merasa bahagia dan merasa senang setelah bersusah payah membesarkan anak-anak. Alangkah bertuahnya seorang ibu mendapat anak yang tahu membalas jasa dan dapat menumpang kasih untuk menghabiskan sisa-sisa umur di hari tuanya.

Penyair menutup puisinya dengan kata-kata

Walau ke dunia mana
Kujunjung setingginya hormat rasa
Dirgahayu untukmu, bonda...

Penyair berjanji tidak akan melupakan jasa seorang ibu yang telah melahir dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang.
Kasih sayang dari seorang ibu bukan sahaja dihargai oleh anak perempuan malah anak-anak lelaki juga turut serta kerana dalam mendidik anak-anak bagi ibu tidak ada perbezaan kasih sayang antara anak lelaki dengan anak perempuan.

SETELAH DIA BERNAMA IBU
Oleh: Dahri Zakaria

Tiba-tiba dia bernama ibu.
Setelah lelah membawa si anak ke sana sini
sembilan bulan lamanya, dia mula bernama ibu.

Susu di tubuh, peluh di dahi, nyamuk di tangan, sunyi di mulut, kantuk di mata, lelah di kaki, - apalah sangat bagi yang bernama ibu.

Dan kemudian bertahun dijaga, dibaja, dididik, diasuh,
akhirnya si anak menjadi manusia.

Apakah lagi yang diharapkan oleh seorang ibu,
setelah semua ini menjadi milik seorang anak?

Sungguh aku fikir, inilah sebenar yang bernama ibu!

Dahrie atau nama penuhnya Mohd Dahri Zakaria, anak kelahiran Negeri Terengganu Darul Iman. Di lahirkan pada 4 jun 1998 di bawah naungan bintang Gemini dan memegang diploma khusus dalam bidang sastera dan kini melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di sebuah Universiti di Kuala Lumpur. Mula menulis semasa berada di tingkatan tiga dan bidang penulisan beliau ialah cerpen dan sajak dan karyanya pernah tersiar di media tempatan. Kini Mohd Dahri menjadi kolumnis “Galeri Seni” mahasiswa net.


ULASAN:

Sempena menyambut Hari Ibu, Mohd Dahri menyiarkan sajaknya berjudul “SETELAH DIA BERNAMA IBU”.
Melihat tajuk Puisi ini dan idea yang ingin disampaikannya saya berpendapat Mohd Dahri seperti sudah mempunyai isteri. Ayat setelah dia menjadi ibu membawa dua maksud, pertama Penyair ada bersama seorang wanita sebelum dia menjadi ibu. Kalau dia sudah berkahwin, yang dimaksudkannya ialah si isteri yang apabila sudah melahirkan anak maka isteriah yang dimaksudkan setelah dia menjadi ibu.
Tetapi kalau Mohd Dahri masih bujang, maka tentulah ada seseorang yang dikenalinya telah menjadi seorang ibu. Walau apapun status Mohd Dahri, saya ingin mengulas mengikut tafsiran sendiri secara bebas berdasarkan puisi ini.
Mohd Dahri membawa idea yang agak berlainan dengan Puisi-puisi yang dihasilkan oleh Alaieffa, Sri Diah, Mshukri dan Nilamsuri. Walaupun temanya sama iaitu “ibu” namun bagi Mohd Dahri ibu yang dimaksudkannya ialah isterinya yang sudah bergelar ibu. Ini saya kesan dari ayat dipermulaan puisi ini:

Tiba-tiba dia bernama ibu.
Setelah lelah membawa si anak ke sana sini
sembilan bulan lamanya, dia mula bernama ibu.

Ayat tiba-tiba “dia” menjadi ibu ini menguatkan tafsiran saya bahawa ibu yang dimaksudkan oleh penyair ialah isterinya atau orang lain seperti kawan, kakak, saudara atau sesiapa sahaja tetapi bukan ibunya sendiri.
Hujah saya begini, biasanya anak yang halus budi bahasanya tidak memanggil ibunya “Dia” di depan atau di belakang ibunya,paling kurang si anak akan kata “Dia ibuku”. Namun bagi suami perkataan “Dia” itu biasa digunakan sebagai pengganti nama isterinya.
Ayat setelah lelah membawa si anak kesana sini sembilan bulan lamanya menguatkan lagi tafsiran saya bahawa ibu yang dimaksudkan penyair ialah isterinya. Hanya suami sahaja yang mengetahui berapa lama isterinya mengandung kerana biasa berlaku usia kandangan tidak sampai sembilan bulan malah ada juga yang melebihi sembilan bulan. Kalau tidak silap saya Nabi Muammad saw dikandungkan ibunya selama dua belas bulan.

“Susu ditubuh, peluh didahi, nyamuk ditangan, sunyi dimulut, kantuk dimata, lelah dikaki,” adalah gambaran bagaimana kasih sayang seorang ibu terhadap anak kesayangannya. Bagi seorang ibu dia merasa satu kepuasan apabila si anak meminum susu dari badannya. Si Ibu rela berpenat lelah kerana anak, dan si ibu tidak rela anaknya di gigit walau oleh seekor nyamuk.
Ketika si anak sedang tidur si ibu akan menjaganya dengan rapi, suasana biarkan sunyi supaya anak jangan terkejut dari tidur. Si Ibu juga akan pastikan keselamatan anak semasa tidur dimana kalau boleh seekor semut pun tidak mahu menjalar di badan anaknya.
Di waktu malam apabila anak menangis kerana hendak menyusu atau lampinnya basah oleh kencing atau mungkin juga perutnya kembung, maka si ibu rela bersengkang mata sehingga si anak nyenyak tidurnya.

Dan kemudian bertahun dijaga, dibaja, dididik, diasuh,
akhirnya si anak menjadi manusia.

Kasih seorang ibu bukan setakat melahirkan anak sahaja tetapi juga memelihara, mengasuh serta mendidik si anak supaya apabila sudah dewasa menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. itulah impian seorang ibu terhadap anak-anaknya.
Bagi seorang suami pula apabila dia melihat bagaimana susah payahnya si isteri mengandungkan anak, kemudian melahirkannya, kemudian membesarkannya maka dia akan sedar begitulah pemgorbanan yang telah dilakukan oleh ibunya sendiri.
Malah ramai suami yang mengatakan setelah mempunyai anak barulah dia terasa bagaimana susahnya mendidik anak. Dengan arti kata lain, puisi ini juga menyedarkan kita betapa besarnya pengorbanan isteri setelah menjadi ibu.

Apakah lagi yang diharapkan oleh seorang ibu,
setelah semua ini menjadi milik seorang anak?

Setiap ibu mengharapkan anaknya apabila sudah dewasa kelak menjadi orang yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia dan bahagia hidupnya di dunia dan di akhirat. Dengan arti kata lain, Tidak ada ibu yang mahu anaknya hidup sengsara atau menjadi sampah masyarakat.
Si Ibu yang mendidik dan mengasuh anaknya bukanlah mengharapkan upah atau balasan daripada anaknya. Apa yang dilakukannya berpunca dari rasa kasih sayang dan tanggung jawab seorang ibu.
Kerana itu tidak semua ibu sanggup menumpang hidup dengan anak-anak apabila mereka sudah berjaya. Kebanyakan ibu lebih suka terus tinggal di rumah lama kerana disanalah tempat yang paling selesa dirasakanya dalam meniti usia tuanya.
Lebih takjub ada ibu yang sudah tua sanggup tinggal seorang diri di kampung kerana tidak mahu menyusahkan anak-anak di bandar.
Bagi penyair “ Inilah sebenar yang bernama ibu!” kerana mereka tidak meminta balasan daripada anak-anak tetapi terpulang kepada anak-anak untuk membalas jasa mereka.

MSHUKRINASIAR
Kerana Dia Bondaku

Bukan, kau bukan seperti kekasihku,
yang bijak menuang kisah kasih lalu,
dari cangkir terhias indah,
di bawah lingkar bulan malam,
mengadukkan tabir racun di celahan haus, tak kusedari telah pun kureguk ia di runcing hari.
Kau bondaku, telah semikan aku dengan limpah kasih mawar setanggi,
tak mungkin kutemui cangkir itu lagi,
buat kutuang kembali ke raut resahmu, sepertimana telah kautuang untukku, di musim-musim lukaku, dulu.
Tuhan, aku takkan jadi racun untuknya,
dan harapku melimpah pada-Mu, jangan Kau jadikan dia racun untukku, kerana jika itu benar, rela jua kutelan pahitnya takdir itu.
Kerana dia bukan bandingan berkasih,
kerana dia adalah bondaku.


Mshukrinasiar, berasal dari negeri Jelapang Padi. Mendapat pendidikan awal di SM Pokok Sena, SM Teknik Alor Setar dan seterusnya dianugerahkan Ijazah Kejuruteraan Awam(UTM) pada tahun 1990. Sekarang bekerja dengan sebuah syarikat perunding kejuruteraan awam di utara tanah air. Berminat di bidang sains dan sastera. Mula menulis sewaktu di sekolah menengah dan amat meminati pantun atau puisi yang indah-indah gaya bahasanya.
Karya-karyanya pernah di siarkan dalam majalah kampus, akhbar Berita Harian/ Berita Minggu, Mingguan Famili, Radio Malaysia JB dan Radio Malaysia Kawasan Utara(Kedah/Pulau Pinang). Pernah menghadiri perhimpunan puisi di sekitar Lembah Kelang dan juga di Pulau Mutiara. Pernah menggunakan nama ringkas Mosna.

ULASAN

MshukriNasiar pula muncul dengan puisi “ KERANA DIA BONDAKU”
Penyair memulakan puisinya dengan kata-kata berikut:

Bukan, kau bukan seperti kekasihku, yang bijak menuang kisah kasih lalu,

Bagi Penyair Mshukri, kasih seorang ibu tidak sama seperti kasih seorang kekasih. Kasih ibu adalah kasih sejati yang tidak boleh bertukar ganti. Dalam dunia ini hanya seorang sahaja insan yang bergelar ibuku.
Ayat “yang bijak menuang kisah kasih lalu” dimaksudkan kepada kekasih yang pandai memujuk rayu sehingga mereka berkasih sayang seperti mengulangi kisah percintaan sejak zaman Adam dan Hawa.

dari cangkir terhias indah, di bawah lingkar bulan malam, mengadukkan tabir racun di celahan haus, tak kusedari telah pun kureguk ia di runcing hari.

Ayat “ dari cangkir terhias indah, di bawah lingkar bulan malam” itu bolehlah ditafsirkan sebagai pesona cinta yang didambakan bersama kekasih menjadikan penyair merasa indah dan bahagia. Namun ayat “ Mengadukkan tabir racun dicelahan haus,” itu agak mengelirukan. Adakah ayat “mengadukkan” itu berasal dari perkataan “adu?”. Atau dari perkataan campur “aduk?”.
Ayat “ Tak kusedari telah pun kureguk ia diruncing hari,” membawa maksud penyair menikmati kasih sayang yang diberikan oleh kekasih setelah dia dewasa dan pandai berdikari. Berbanding kasih ibu yang diperolihinya sejak dilahirkan.
Penyair juga ingin menyatakan bahawa kasih sayang dari seorang kekasih ada madu dan racunnya. Ada kalanya sikap kekasih membuatkan kita menangis dan rasa terseksa.
Berbanding kasih seorang ibu adalah kasih selamanya.

Kau bondaku, telah semikan aku dengan limpah kasih mawar setanggi, tak mungkin kutemui cangkir itu lagi, buat kutuang kembali ke raut resahmu,

Ayat ini tidaklah begitu sukar untuk mentafsirkan maknanya kerana seperti Penyair yang lain, Mshukrinasiar juga menghargai jasa seorang ibu dan Penyair menganggap kasih sayang seorang ibu tidak ada bandingannya dan tidak boleh ditukar ganti.
Kasih sayang seorang ibu adalah kasih semata tidak mengharapkan apa balasan tetapi kasih sayang seorang kekasih meminta balasan sekurangnya perhatian dan kasih sayang.
Walaupun ada perkara yang kekasih boleh lakukan tetapi ibu tidak mampu lakukan namun Penyair tetap meletakkan kasih ibu di tempat yang paling atas.
Bagi penyair kasih sayang yang diberikan oleh kekasih datang kemudian setelah dia berjaya dalam hidup sedangkan kasih ibu sejak dia tidak memiliki apa-apa.
Kerana begitu agongnya kasih seorang ibu, Penyair tidak sanggup melukakan hati seorang ibu apatah lagi menjadi racun hidup kepada seorang ibu yang sudah tua.

Penyair berjanji dengan mengatakan “ Tuhan, aku takkan jadi racun untuknya” dengan arti kata lain penyair tidak akan menyusahkan lagi ibunya cukuplah dengan kesusahan yang dialami oleh ibunya ketika dia masih kecil.
Namun penyair sanggup buat apa sahaja demi seorang ibu walaupun itu menyusahkan dirinya seperti kata penyair
“ jangan Kau jadikan dia racun untukku, kerana jika itu benar, rela jua kutelan pahitnya takdir itu. Kerana dia bukan bandingan berkasih, kerana dia adalah bondaku.”

Bertuahlah bagi seorang ibu jika melahirkan anak yang pandai mengenang budi. Sebaliknya malanglah nasib seorang ibu jika tidak ada anak-anak yang sanggup membela nasibnya di hari tua.
Benarlah kata orang tua-tua, seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak tetapi 10 orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.

Tambahan pula di zaman yang serba sibuk ini apabila anak-anak sudah berkeluarga dan mempunyai kerja maka kesibukannya menyebabkan perhatian kepada seorang ibu/ayah seolah tidak ada masa.Kerana itu sering kita dengar ibu-ibu yang sudah tua menumpang hidup di rumah kebajikan.Alangkah baiknya jika sikap yang ada kepada penyair ini juga dimilik oleh semua anak-anak yang masih mempunyai ibu /bapa.
Berkaitan dengan perakara ini saya ingin menceritakan 2 kisah bagaimana balasan Allah terhadap anak yang taat kepada ibunya.

Di zaman para sahabat, tiga orang pemuda terperangkap dalam sebuah gua. Mereka cuba menolak batu besar yang jatuh dan menutup pintu gua itu namun tidak berjaya. Akhirnya salah seorang daripada mereka mencadangkan supaya berdoa dengan menyatakan kebajikan yang telah mereka lakukan dengan harapan Allah akan mempernankan doa mereka.
Salah seorang pemuda menceritakan bahawa dia pernah membuat kebajikan kepada kedua orang tuanya dengan berkata,
“ Ya Allah, pada satu hari aku pulang ke rumah membawa susu. Ketika itu anak-anakku sedang kelaparan. Namun aku tidak berikan susu itu kepada anak-anakku selagi ayah dan ibuku tidak meneguknya dan ketika itu mereka sedang tidur. Aku terus menunggu mereka terjaga dari tidur walaupun anak-anakku menangis kehausan. Apabila ayah dan ibuku sudah terjaga dari tidur dan mereka telah minum susu itu barulah aku berikan kepada anak-anakku. Ya Allah, jika itu ada kebajikannya maka lepaskan kami dari bahaya ini.”
Selesai berdoa mereka menolak batu yang besar itu dan dengan takdir Allah swt batu itu bergerak hingga mereka boleh keluar dengan selamat.
Kisah kedua berlaku di zaman Nabi Sulaiman as. Pada suatu hari Nabi Sulaiman berjalan di tepi laut lalu dia melihat di dasar laut itu ada satu kubah berwarna putih. Sebenarnya antara kelebihan Nabi Sulaiman dia boleh memahami bahasa semua haiwan yang melata termasuk bahasa semut. Nabi Sulaiman juga boleh melihat sesuatu hingga tembus seolah matanya ada kuasa X-Ray.
Nabi Sulaiman memerintahkan Jin menyelam ke dalam lautan untuk membawa kubah putih itu ke darat.Setelah berjaya di bawa maka Nabi Suklaiman berdoa kepada Allah untuk mengetahui apa yang ada dalam kubah tersebut.
Tiba-tiba pintu kubah itu terbuka dan keluar seorang pemuda. Apabila ditanya bagaimana pemuda itu boleh berada dalam kubah itu yang terletak di dasar laut, maka pemuda itu bercerita dimana ketika ibunya sudah terlalu tua, dialah yang menjaga ibunya. Dia yang menyuap makaan ke mulut ibunya dan dia yang memandikan ibunya.
Sebelum ibunya meninggal dia berdoa supaya Allah menempatkan anaknya si satu tempat yang belum pernah ditempatkan manusia.

Pada suatu hari pemuda itu berjalan ke tepi pantai lalu menjumpai sebuah kubah berwarna putih lalu masuk ke dalamnya. Dan sejak hari itu pemuda tersebut tidak pernah keluar lagi. Ketika di tanya bagaimana dia mendapat makanan dan minumnya pemuda itu mengatakan setiap hari dengan izin Allah akan memancut mata air di dalam kubah itu dan tumbuh sepohon kayu yang buahnya paling lazat dan apabila memakannya dia tidak akan merasa lapar lagi.
Itulah balasan berbuat baik terhadap seorang ibu.

NILAMSATRI PULA MELAHIRKAN PUISI BERJUDUL “SEJUNJUNG KASIH UNTUKMU IBU”


SEJUNJUNG KASIH UNTUKMU IBU

Ini aroma kecintaan milikmu, ibu
izinkan kuhidu narwastu sayangmu
dari haruman mimpi yang melintas
di jalanan tidurku. Sejunjung kasih
terhias dari sehimpunan sirih pedoman
indah tersusun di jambangan pengalaman.
Sejunjung kasih ini
kupersembahkan untukmu, ibu
dan keramat ungkap ini terucap ikhlas
setulus rasa dari percikan wangi katamu.
Ibu, betapa getir pengorbanan dan pesanan
menjadi penyuluh pekerti dalam sedarku.

NilamsuriÒ
11.55 Malam
10 Mei 2003
Kamar Ilham, Kuala Perlis

Nilamsuri atau nama sebenarnya Haniza binti Hamzah dilahirkan di Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.

Pernah mengikuti Perkampungan Penulis Rakan Muda Seni Budaya Peringkat Kebangsaan pada tahun 1995. Bermula dari sinilah beliau terus bergiat menulis sehingga kini. Merupakan ahli Persatuan Penulis Perlis (3P) sejak 1995 dan kini menjadi Ahli Jawatankuasa 3P (dilantik menjadi Pengerusi Biro Penulisan Puisi) dan Ahli Jawatankuasa Sekretariat Penulis Muda Persatuan Penulis Perlis (SPM-3P).
Nama beliau ikut tersenarai di antara 250 penyair Malaysia yang turut mendeklamasikan puisi di dalam acara besar ‘Ratib 1000 Syair’ yang diadakan di halaman rumah GAPENA, Kuala Lumpur dan telah tercatat di dalam ‘The Malaysian Book Of Records’.
Karya-karya beliau seperti puisi pernah tersiar di dalam beberapa penerbitan seperti akhbar Suara Perlis, Wadah, Berita Harian, Berita Minggu, Tunas Cipta, Keluarga dan Mingguan Malaysia. Antologi bersama cerpen dan puisi (DBP), antologi bersama cerpen (Pustaka Prinsip) dan skrip drama radio (Radio Malaysia Perlis). Beliau juga turut berminat di dalam penulisan cerita kanak-kanak.

Ulasan

Bila membaca keseluruhan puisi ini ternyata kasih sayang Nilamsari kepada ibunya bukan sekadar sejunjung kasih sahaja malah tak terkira junjungan kasihnya terhadap ibu yang tercinta. Sesungguhnya kasih sayang seorang ibu terhadap anak tidak terkira banyaknya dan kita tidak sepadan kalau membalasnya hanya dengan sejunjung kasih. Kerana itu saya rasa lebih tepat kalau tajuk puisi ini “Junjungan kasih untukmu Ibu?” kerana junjungan kasih lebih banyak dari sejunjung kasih. Itulah persepsi saya.
Penyair berbakat dari negeri Perlis Indera kayangan ini membuka kata-kata pada baris pertama puisinya;

Ini aroma kecintaan milikmu, ibu

Penyair dapat merasakan betapa kasih sayang seorang ibu tercurah kepadanya. Dia dibesarkan dengan penuh kasih sayang dari seorang insan bernama ibu.

izinkan kuhidu narwastu sayangmu
dari haruman mimpi yang melintas
di jalanan tidurku. Sejunjung kasih

Bagi penyair selagi hayat ibu masih di kandung badan biarlah kasih itu dapat dinikmatinya dan sebagai anak kasih ibulah yang dirasakan paling agung sekali. Dan seterusnya Penyair tidak mahu kasih itu hilang dalam hidupnya.

terhias dari sehimpunan sirih pedoman
indah tersusun di jambangan pengalaman.

Sehimpunan sirih pedoman yang dimaksudkan oleh penyair ialah kata-kata nasihat serta tunjuk ajar dari si ibu dan di jambangan penglaman itu bermaksud apa yang ditunjuk ajar oleh si ibu adalah dari pengalaman hidup untuk dijadikan teladan bagi mengharungi cabaran masa depan.

Sejunjung kasih ini
kupersembahkan untukmu, ibu
dan keramat ungkap ini terucap ikhlas
setulus rasa dari percikan wangi katamu.

Sempena hari ibu ini Penyair ingin mengucapkan terima kasih dengan seikhlas hati kepada seorang ibu sebagaimana tulus ikhlasnya kasih seorang ibu terhadap dirinya.

Ibu, betapa getir pengorbanan dan pesanan
menjadi penyuluh pekerti dalam sedarku.

Susah payah ibu membesarkan anak akan diaingati oleh peyair dan tunjuk ajar yang diberikan oleh ibu akan dijadikan ingatan sepanjang hayat.


SELAMAT HARI IBU
Begitu dalam makna Bagi ku,
Aku terharu ungkapan itu,
Ibu kaulah sumber ilham,
Penerang di kala malam,
Pelindung di waktu susah,
Pendorong bila gundah,
Aku terharu ungkapan itu,
Begitu dalam makna bagi ku,
Selamat Hari Ibu

Mohd Fauzie B. Ramlee atau lebih di kenali sebagai jokerfac3. Lahir pada 07-07-1987 di Segamat, JOHOR. Pendidikan awal di SK Temenggong Ibrahim Penggaram. Melanjutkan persekolahan menengah di SMK Dato Bentara Luar. Kini beliau sedang mengambil peperiksaan muzik ABRSM Grade 3 atau lebih dikenali sebagai The Associated Board of the Royal School of Music. Cita-cita beliau ialah ingin memasuki BERKLEE COLLEGE, US dan menjadi ahli muzik. Beliau ialah anak pertama daripada tiga orang adik-beradik. Ayah beliau adalah salah seorang ahli komuniti ini, iaitu NAKHODA. Moto hidup beliau ialah "sentiasa berfikiran terbuka".

Mohd fauzie atau Jokerfac3, merupakan penyair yang paling muda iaitu baru berusia 16 tahun. Beliau kerap menyiarkan puisi di komuniti ini di bawah asuhan dan bimbingan ayahnya Nakhoda. Sempena hari ibu Jokerfac3 menghasilkan puisinya berjudul “ SELAMAT HARI IBU”.

Begitu dalam makna Bagi ku,
Aku terharu ungkapan itu,

Bagi Penyair ucapan Selamat Hari Ibu bukan sekadar ucapan manis di bibir sahaja. Baginya ucapan itu begitu mendalam maknanya dan beliau merasa terharu dengan ucapan tersebut. Memang sewajarnya ucapan selamat hari ibu itu difahami dan dihayati oleh semua yang masih ada ibu terutama anak-anak muda dengan harapan penghargaan dan rasa kasih sayang terhadap seorang ibu tertanam di jiwanya.

Ibu kaulah sumber ilham,
Penerang di kala malam,
Pelindung di waktu susah,
Pendorong bila gundah,

Ibu sebagai sumber ilham yang dimaksudkan oleh Penyair ialah segala yang dilakukannya mendapat perhatian, bimbingan dan kasih sayang daripada seorang ibu. Bagi penyair ibulah yang menjadi pendorong untuk mengejar cita-citanya. Apabila dalam kesulitan maka kepada ibulah tempat mengadu atau meminta bantuan. Dan apabila mendapat kesusahan seperti kesakitan, ketakutan dan sebagainya kepada ibulah tempat bergantung harapan.

Aku terharu ungkapan itu,
Begitu dalam makna bagi ku,
Selamat Hari Ibu

Pernyair mengulangi lagi perasaan terharunya dengan ucapan tersebut. Beliau seolah ingin memahatkan ucapan itu ke dalam jiwanya supaya tidak melupakan pengorbanan seorang ibu.
Ingin juga saya bertanya apakah yang dilakukan oleh Penyair terhadap ibunya sempena hari yang bersejarah ini?. Kalaulah penyair sekadar mengucapkan selamat hari ibu sahaja kepada ibunya bermakna ucapan tersebut masih belum sempurna dihayati.
Sebaiknya selepas mengucapkan Selamat hari ibu, penyair bersalaman dengan ibu kemudian mencium tangannya. Paling baik berikan ciuman juga di pipi ibu sebagai tanda kasih sayang dan penghormatan. Dan paling baik lagi berlutut di kaki ibu dan tidak keterlaluan jika seorang anak mencium kaki ibunya. Tapi apa yang penting hendaklah meminta ampun dan maaf jika ada terdapat sebarang kesilapan atau kersalahan terhadap ibu.
Dalam Islam seorang anak yang mengucapkan “ ah “kepada ibunya sudah berdosa apatah lagi kalau melawan atau engkar dengan suruhan ibunya. Anak yang menderhaka kepada ibunya mendapat pembalasan di dunia lagi.
Sebagai contoh di negara kita terdapat kisah si Tenggang anak derhaka yang menjadi batu akibat sumpahan ibunya. Di Indonesia pula terdapat cerita Malim Kunang anak derhaka yang akhirnmya mati akibat disumpah oleh ibunya. Begitu juga di Brunei terdapat cerita Nakhoda Manis yang mana ada persamaan ceritanya seperti Si Tenggang.
Kerana itu janganlah disakiti hati seorang ibu kerana dia yang melahirkan kita dan dia yang membesarkan kita. Tanpa ibu siapalah kita.

Sekarang kita cuba hayati pula puisi yang ditulis oleh penyair yang ibunya sudah tiada. Arisel dengan puisinya berjudul BONDA.


BONDA

pusara bondaku
puas sepi hening muzika hijau
pada nesannya kutitipi rindu
pasti bonda sonder kasam
praja lena panjang yang diam

dikala hayatmu, cintakasih bondaku
dihempas episod dukalara dan ilu
demi baktimu kutitipi puisi semara
dipusaramu bonda, bening membisu
dihala-kebala rohmu, tasbih nirmala
11 Mei 2003
Kuantan, Pahang


Arisel Ba, atau nama sebenarnya Subari bin Ahmad, dilahir pada 11 Ogos 1953 di Ladang Selborne, Kuala Lipis. Mulai menulis pada tahun 1976 apabila puisinya Gua Bama tersiar di majalah Dewan Sastera, April 1977. Selain puisi, Arisel menulis cerpen, drama pentas, berita dan rencana. Karya Arisel telah terbit di akhbar, majalah dan antologi puisi/cerpen bersama. Arisel Ba pernah menjadi Setiausaha Agung DPMP selama 10 tahun (1983 - 1993) dan Setiausaha Hari Sastera 1987. Kini Arisel menjadi ahli PENA di samping sebagai Ketua Pemberita Daerah, akhbar tabloid Pentas Dunia. Arisel Ba telah diberi anugerah Pingat Jaksa Kebaktian (PJK) pada 24 Oktober 1997 atas jasanya terhadap bahasa, sastera dan budaya Melayu di Pahang. Nama-nama pena yang lain yang selalu digunakan ialah: Ismail Al-Selbornei, Olie Dharma, Rodong Siber, Gus Tranum, Pena Cempaka dan Ismail Ahmad. Arisel Ba boleh dihubungi melalui telefon/fax: 609-5144328 atau Handphone 010-9867590 atau melalui email: arisel5356@hotmail.com
atau subaria@skali.com. Kini sedang mengikuti pengajian Komunikasi

ULASAN

Penyair menamakan tajuk puisi ini BONDA.

Dalam bahasa Melayu selain dari panggilan “ibu” di sebut juga emak atau mak. Selain itu ada juga yang menyuruh anak memangil “ummi”. Panggilan Bonda walaupun jarang di sebut namun nama itu satu penghormatan daripada anak terhadap seorang ibu. Umpamanya dalam surat si anak akan memulakan ayatnya dengan “menemui bondaku…”


Oleh kerana ibu penyair telah meninggal dunia maka beliau memanggil “Bonda” sebagai satu penghormatan.

pusara bondaku
puas sepi hening muzika hijau

penyair memulakan puisinya dengan kata-kata “Pusara bongaku” lantas kita terbayang sebuah kawasan perkuburan yang mana disitu terdapat pusara seorang ibu kepada penyair. Pada baris kedua puisi itu terdapat kata-kata “Puas sepi hening muzika hijau”.
Kata-kata itu merupakan sebuah gambaran di satu kawasan perkuburan yang suasananya cukup sepi dan hening. Tambahan pula kalau terletak di kawasan kampung yang mana kesepian dan keheningannya amat menyentuh perasaan.
Ayat muzika hijau membawa maksud, walaupun suasana di tanah perkuburan itu hening dan sepi namun sesekali kedengaran bunyi kicauan burung-burung yang sedang mencari makan, di selang seli bunyi riang-riang dan berbagai seranga hutan. Sayup-sayup kedengaran bunyi siamang atau ungka dan juga kokokan ayam jantan.Dan biasanya kawasan tanah perkuburan juga di kelilingi pokok-pokok hutan dan kawasan belukar yang menghijau.

pada nesannya kutitipi rindu
pasti bonda sonder kasam
praja lena panjang yang diam

Sempena menyambut hari ibu, Penyair mengambil kesempatan menziarahi pusara bondanya sebagai tanda ingatan dan penghormatan. Pada nisannya kutitipi rindu membawa maksud, penyair duduk bersimpuh di pusara bondanya sambil membacakan al fatihah dan surah Yasin dan pahala bacaannya di hadiah kepada arwah ibunya yang sedang mengharapkan hadiah dari anak yang soleh.
Bagi penyair hanya itu sahaja yang mampu dilakukannya sebagai mengingati arwah ibu di alam sana. Penyair berdoa kepada Allah swt semoga roh ibunya tenang dan mendapat keampunan dari yang Maha Esa.
Pasti bonda sonder kasam praja lena panjang yang diam itu membawa maksud, penyair yakin ibunya pasti gembira apabila anak yang soleh membacakan surah al fatihah dan surah yasin dan mendoakan kesejahteraannya di alam kubur. Dan Penyair yakin Roh bondanya tenang dan tenteram di alam sana.

dikala hayatmu, cintakasih bondaku
dihempas episod dukalara dan ilu

Penyair teringat bagaimana bondanya ketika masih hidup memberikan sepenuh cinta kasih sayang terhadap suami dan anak-anak. Dalam usaha membesarkan anak-anak bonda penyair menempuh berbagai kesusahan dan keperitan hidup. Namun demi kerana anak-anak bonda sanggup berkorban bersusah payah asalkan anak-anak bahagia.

demi baktimu kutitipi puisi semara
dipusaramu bonda, bening membisu
dihala-kebala rohmu, tasbih nirmala

sempena hari ibu ini juga penyair menulis sebuah puisi ditujukan khas kepada bonda sebagai mengenang jasanya. Selain menulis puisi penyair juga menzarahi pusara bondanya di tempat persemadiannya yang hening dan tenteram.
Maaf pak, saya cuba tafsirkan ayat “ Dihala kebala rohmu, tasbih nirmala”. Sebagai tanda ingatan kepada bonda yang telah tiada maka Penyair membuat kenduri arwah dan bacaan tahlil untuk bonda yang dirinduinya.

nakhoda
IBU SANJUNGAN JIWA
Kasihmu ibu mesraku rindu
Sayangmu ibu riangku selalu
Pilumu ibu rasaku sayu
Dukamu ibu laraku sendu.
Ibu, engkau bagai tetes embun
Ibu, engkau nagai mawar rimbun
Ibu, engkau bagai dingin salju
Ibu, engkau bagai lembut baldu.
Siapalah aku tanpamu, ibu
Kosong jiwaku ketiadaanmu
Kemanalah aku tanpamu, ibu
Kesasar arahku kehilanganmu.
Ibu, engkaulah kekasih jiwaku
Walau kemana aku pergi
Akan kukenang jasamu
Budimu mekar kekal abadi.


RAMLEE BIN WAHAB lahir pada:25-02-1960 dan tanah kelahiran: Segamat, Johor. Bersekolah di Sek. Rendah Bkt. Hampar dan lulusan Sek.Tinggi Muar, Johor-1979 (MCE) kemudian bekerja sebagai kerani di sektor perbankan (Bank Bumiputra), mengambil kursus PJJ jurusan B/Inggeris: Dip.Business English-UK/Dip.bEnglish For Everyone-UK/Dip.bEveryday English-UK dan Dip.bCommunication English-UK dan kini menyandang pangkat Eksekutif-CSO (Bumiputra-Commerce Bank Bhd - Batu Pahat, Johor). Pernah menjadi pensyarah sambilan (B/Inggeris) di Maktab Infotech Mara, Batu Pahat, Johor.
Menjadi ahli PJJ (waktu sekolah - kini tidak lagi), masih lagi ahli PENA hingga kini.
Karya pertama berupa cerpen 'Kebebasan' tersiar di Berita Minggu tahun 1979, beberapa buah cerpen tersiar di akhbar Warta Tebrau, berita/rencana/kritikan sastera banyak tersiar di akhbar Mingguan Famili serta Berita Minggu, 'Visi Sebuah Generasi' (puisi) Dewan Sastera 1982, dua buah puisi tersiar di majalah Nona dan terbaru di majalah Wanita (puisi) 'Kalau Aku Berbadan Dua'.
Hobi masa lapang: membaca dan menulis karya sastera
serta melayari laman web yang menyiarkan karya sastera seperti;
melayu.com, anjungcafe.com, gedung puisi.com, sekolah.com, dll., dan terkini ialah communityzero.com/penyair.
Moto penulisan: Hidup Sentiasa Kreatif.
Nama samaran lain: Ramayana, Flora, Rawa, Nakhoda.
Laman Web(dipersilakan melawat):
www.geocities.com/halamansastera/ramayanaflora.html
"Harapan semoga laman sastera ini akan terus bertapak dan berkembang maju dalam memberikan sokongan kepada karya-karya sastera anak watan, demi memartabatkan bahasa kebangsaan dan dunia kesusasteraan"
"Bersama-sama kita memelihara @ memulihara dunia sastera ibunda tercinta sebagai harta warisan bangsa
berbudaya dan negara bangsa merdeka"
Karya beliau di Internet dapat dibaca di http://www.communityzero.com/penyair.
Nakhoda @ Flora: Batu Pahat/13-10-02

IBU SANJUNGAN JIWA

Dari luahan hati seorang anak yang merindui seorang ibu yang telah tiada maka Penyair memilih judul puisinya “Ibu Sanjungan Jiwa” membawa arti segala budi dan jasa ibu akan tetap disanjung dan dikenang, pasti tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Kasihmu ibu mesraku rindu
Sayangmu ibu riangku selalu
Pilumu ibu rasaku sayu
Dukamu ibu laraku sendu.

Walaupun ibu sudah tiada namun kasih dan kemesraan yang diberikan oleh seorang ibu semasa hayatnya tetap menjadi ingatan. Tambahan pula pada hari ibu ini maka rasa rindu itu semakin mencengkam jiwa.
Walaupun pepatah ada mengatakan “sayang anak tangan tangankan” dan itu yang kerap dilakukan oleh seorang ibu terhadap anaknya dalam usaha untuk mengasuh dan mendidik anak. Namun apa yang dilakukan oleh ibu akan tetap dihargai oleh anak apabila dia sudah dewasa. Kerana sayanglah maka ibu menegur apa yang tak kena di hatinya. Kerana sayanglah maka seorang ibu kekadang merotan si anak.

Ibu, engkau bagai tetes embun
Ibu, engkau nagai mawar rimbun
Ibu, engkau bagai dingin salju
Ibu, engkau bagai lembut baldu.

Kata-kata seperti “Tetes Embun, Mawar Rimbun, Dingin Salju, Lembut baldu” itu sebagai gambaran betapa kagumnya Penyair kepada ibunya. Keikhlasan seorang ibu terhadap anak diibaratkan sejernih embun di waktu pagi tanpa dicemari oleh sebarang kekotoran. Kasih sayang yang diberikan oleh seorang ibu ibarat kuntum-kuntum mawar yang menghiasi jambangan. Marah dan rajuk seorang ibu bukan seperti api yang membakar malah bagaikan salju yang menyejukkan anak. Kata-kata nasihat yang diberikan oleh seorang ibu bagaikan selembut baldu yang akan menjadi hamparan kehidupan.

Siapalah aku tanpamu, ibu
Kosong jiwaku ketiadaanmu
Kemanalah aku tanpamu, ibu
Kesasar arahku kehilanganmu

Memang tidak dinafikan bahawa ajal maut seseorang itu Allah yang menentukan. Apabila telah sampai ajalnya maka tidak lambat sesaat atau tidak cepat walaupun sesaat. Namun kematian adalah sesuatu yang amat mengharukan perasaan apatah lagi jika kematian itu melibatkan orang yang kita sayang.
Seorang anak yang kehiangan seorang ibu tentulah merasa hidup ini bagaikan kosong kerana ibu yang menjadi tempat bergantung harapan dan kasih sayang telah pergi buat selamanya.
Ibarat anak ayam kehilangan ibu, begitulah gambaran seorang anak apabila kematian seorang ibu, apatah lagi jika anak-anak masih kecil. Namun sebagai seorang Islam kita kenalah yakin setiap yang berlaku ada hikmahnya. Kekadang dengan ketiadaan ibu menjadikan anak-anak lebih berdikari dan yakin untuk meneruskan kehidupan. Ramai juga anak-anak yang berjaya dalam hidup walaupun tanpa kasih sayang seorang ibu. Dan ada pula anak-anak yang hiang pedoman walaupun sejak kecil di asuh dan diberikan sepenuh kasih sayang oleh seorang ibu.

Penyair mengakhiri Puisinya dengan kata-kata “Ibu, engkaulah kekasih jiwaku, walau kemana aku pergi, akan ku kenang jasamu, budimu mekar kekal abadi.”

Begitulah gambaran betapa kasih sayangnya penyair terhadap ibunya. Walaupun ibu sudah tiada namun kasih sayang kepada seorang ibu tetap bersemi di hati. Dan sebagai anak sudah sewajarnya kita mengenang jasa seorang ibu. Tanpa ibu kita tidak dilahirkan ke dunia…

KESIMPULAN

8 buah puisi yang menghiasi komuniti Penyair ditujukan khas sempena menyambut hari ibu. Puisi-puisi ini ditulis oleh 8 orang penyair dan walaupun temanya sama namun dihidangkan oleh setiap Penyair dengan cara yang berbeza. Masing-masing dengan gaya sentuhannya.
Bagi penyair wanita dengan sentuhan jiwa halusnya manakala penyair lelaki pula dengan curahan kerinduan dan kasih sayangnya. Kita juga dapat berkongsi perasaan dengan Jokerfac3 yang mana begitulah perasaan anak yang sedang mendapat perhatian dan kasih sayang dari seorang bonda.
Kita juga dapat berkongsi pengalaman dengan Mohd Dahri bagaimana perasaan seorang suami apabila isterinya bergelar seorang ibu. Dan akhir sekali kita dapat berkongsi perasaan dengan Pak Arisel bagaimana perasaan mereka yang sudah kehilangan seorang ibu.
Namun yang pasti setiap penyair melakukan berbagai cara sempena menyambut hari ibu. Kabarnya Alaieffa menjemput ibunya ke rumah dan menghadiahkannya sejambak bunga dan sebuah puisi siap bergambar. Bila puisi itu dibacakan di depan ibunya, dia mengalirkan air mata.
Sri Diah pula memasak bubur kacang seperiuk untuk dimakan di rumah ibunya manakala dia sendiri mendapat hadiah sepasang kasut dari anak-anaknya.
Pak Arisel pula selain menulis sebuah puisi untuk bonda, turut menziarahi pusara bonda dan menghadiahkan bacaan tahlil untuk arwah bonda.
Akhir sekali saya mohon maaf jika tafsiran saya tersasar. Namun sebagai pengulas saya mengulas mengikut kefahaman saya berdasarkan apa yang saya baca. Maafkan saya jika ada salah dan silap. Wassalam.

ABDULLATIP
11.5.2003
(AHAD: 11.45 MALAM).





Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?